Tuesday, April 5, 2011

Video seks tersebar:6 soalan tetap tidak terjawab, kata Nik Nazmi

Sementara Menteri Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz menyokong cadangan Pengerusi DAP Karpal Singh untuk menayangkan klip video seks yang didakwa membabitkan Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim itu di parlimen, sebahagian daripada klip tersebut telah disebarkan di laman internet, Youtube.
Bagaimanapun, Nazri Aziz (gambar kiri) menyerah kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memutuskan sama ada memberikan lampu hijau kepada cadangan tersebut atau tidak.  Selain itu, Peguam Negara Abdul Gani Patail mencadangkan agar Akta Penapisan Filem diteliti, sebelum menayangkan video yang kontroversi ini.
Namun demikian, satu klip yang panjangnya 1 minit dan 47 saat telah dimuatkan ke dalam laman Youtube, dan mula dikongsi dan disebarkan oleh laman-laman pro-UMNO.  Klip ini tidak mengandungi aksi persetubuhan, dan berakhir apabila lelaki dalam klip tersebut memeluk seorang perempuan di dalam video.  Klip tersebut dimuat-naik oleh seorang yang mendaftar dengan nama "thepowercam".
Nik Nazmi: 6 soalan yang tidak terjawab
Sebelum satu sidang media yang bakal diadakan pada jam 10 pagi oleh Johari Abdul, ahli parlimen Sungai Petani di parlimen esok, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi telah mengeluarkan kenyataan medianya, seperti yang berikut:
Sewaktu "Dato T" mula-mula menayangkan video skandal seks yang kononnya melibatkan pemimpin pembangkang di Carcosa Seri Negara dan saya tegaskan bahawa video tersebut palsu, tukang sorak-tukang sorak UMNO bertanya bagaimana saya yakin bahawa video tersebut bukan melibatkan Anwar Ibrahim apabila saya belum menontonnya.
Hari ini saya terpaksa menonton sedutan video tersebut.  Selepas menonton video tersebut, kenyataan awal saya terbukti benar memandangkan sosok dan lenggok badan watak utama termasuk perut yang menonjol jelas sekali bukan sosok badan Anwar.
Hakikat ini mungkin tidak jelas bagi mereka yang tidak mengenali Anwar secara dekat, tetapi sebagai bekas Setiausaha Sulit beliau selama dua tahun saya tahu bahawa itu bukan Anwar.  Apatah lagi saya mengenali keperibadiannya sebagai seorang Muslim dan pemimpin keluarga yang baik.
Jelas sekali video ini dibuat untuk tujuan politik.  Tarikh video ini ditayangkan kepada wartawan dan seterusnya kini didedahkan sedutannya kepada umum dibuat untuk tujuan strategik sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak.
Enam persoalan asas masih belum terjawab:
1. Mengapa Rahim Tamby Chik, Shazril Eskay dan Shuib Lazim tidak berani mendedahkan diri mereka ketika mula-mula menayangkan video kepada editor-editor kanan milik Barisan Nasional di Carcosa?
2. Siapakah individu ketiga dalam video tersebut?  Kehadiran lelaki ketiga yang bertindak seperti pengarah video menggambarkan ini bukan rakaman CCTV rahsia sebagaimana didakwa Dato' T.
3. Adakah mereka tidak yakin dengan kewibawaan moral mereka sendiri ataupun khuatir bahawa rakyat akan menyimpulkan video ini satu lagi usaha UMNO-Barisan Nasional untuk menyerang Anwar memandangkan ketiga-tiga mereka mempunyai hubungan dengan UMNO khususnya Mahathir Mohammad dan Najib Razak?
4. Dato' T mendakwa video ini dirakam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.  Namun tulisan di dalam video tersebut (di dalam bahasa Thai) apabila diterjemah menyebut "Phaholyothin Road Bangkok, Thailand 10400, Copyright 2011".  Adakah video ini sebenarnya video lucah Thai yang tiada kaitan dengan Malaysia?
5. Mengapa UMNO diam membisu tentang pandangan tiga mufti: Juanda Jaya (Perlis), Tamyes Abd Wahid (Selangor) dan Mohammad Shukri Mohammad (Kelantan) yang meminta umat Islam mengesahkan dulu sebarang maklumat yang datang daripada pihak yang fasik?  Malah, Harussani Zakaria (Perak) juga mengeluarkan pandangan serupa tetapi menurutnya tidak dilaporkan Utusan Malaysia.
6. Mengapa pihak polis yang tegas memberi amaran kepada orang ramai jangan mengedar video Chua Soi Lek dahulu (yang diakui Soi Lek sendiri benar) tidak mengambil pendekatan sama kali ini?
Sudah sampai masanya kita menghentikan politik fitnah kotor dan keji yang merendahkan wibawa politik negara kita.  Pada awal tahun ini rakyat menaruh harapan terbitnya Buku Jingga Pakatan Rakyat akan memulakan budaya baru politik mengenai idea dan polisi yang menandakan kematangan masyarakat negara kita. Malangnya bukan sahaja Najib menolak berbahas mengenai buku jingga, tetapi dalam keadaan beliau terdesak kini nampaknya membiarkan budaya politik busuk terus bermaharajalela.
Ketika arus demokrasi berkembang pesat di seluruh dunia, politik Malaysia nampaknya masih lagi pada takat yang lama.