Lim Hong Siang
Pengumuman Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti yang akan datang dijangka memberi "kesan yang lebih parah" kepada penyandang yang mempertahankan jawatan, iaitu Nasharuddin Mat Isa, berbanding dengan seorang lagi calon iaitu Mohamad Sabu, kata Profesor Abdul Aziz Bari. Sesetengah penganalisa menganggap Nasharuddin Mat Isa menang kerana kebanyakan perwakilan PAS meletakkan "kepimpinan ulamak" sebagai pertimbangan utama mereka, lantas Husam dan Mat Sabu yang bukan dari golongan ulama gagal mendapat tempatnya. Kali ini, apakah pula kesudahannya apabila Tuan Ibrahim yang berasal dari golongan ulama mengambil bahagian dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden? Beliau menambah, "Saya tidak fikir PAS akan mendapat lonjakan di peringkat nasional melalui Tuan Ibrahim atau Nasharuddin (gambar kanan). Logiknya saya fikir Tuan Ibrahim akan mengambil undi yang dijangka memihak kepada Nasharudin. Logiknya Nasharuddin yang akan menerima kesan lebih parah berbanding Mat Sabu." Penilaian terhadap Nasharuddin Ketika diminta untuk menilai prestasi penyandang jawatan Timbalan Presiden, Aziz Bari melontarkan kritikannya, "Beliau tidak banyak bekerja untuk memperkuat jentera parti. Nasha lebih banyak keluar negara. Di parlimen beliau tidak aktif. Kawasan parlimen juga tidak dijaga dengan baik sama ada di Yan (1999-2004) atau sekarang di Bachok. Nasha juga terlibat dengan usaha mendekati UMNO. Jadi Nasha bukan sahaja tidak memperkasa parti tetapi juga melemahkan PAS dan Pakatan Rakyat." Tuan Ibrahim mengumumkan bahawa kesediaannya untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PAS, pada pagi ini. Yang berikut adalah kenyataannya (dipetik dariHarakah Daily): Saya telah menerima surat rasmi dari Jawatankuasa Pemilihan PAS pada 22 Mei 2011. Saya telah mendapat pencalonan untuk dua jawatan, iaitu Jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden dengan jumlah pencalonan yang agak memberangsangkan. Walaupun saya telah berkali-kali menyatakan hasrat bahawa saya lebih berminat untuk diberi peluang bagi meneruskan kerja saya dalam parti sebagai Naib Presiden sekiranya ada pencalonan yang mencukupi, namun kawasan-kawasan terus juga mencalonkan saya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan jumlah pencalonan yang agak besar. Sebagai seorang pekerja parti, saya melihat keadaan ini sebagai kehendak sebahagian daripada ahli parti di peringkat akar umbi yang perlu dipertimbangkan, dihormati dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Setelah memikirkan secara mendalam, saya akur dan menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden dengan hati yang terbuka, pada masa yang sama amat terasa beratnya - dan menyerahkannya kepada perwakilan untuk membuat keputusan. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kawasan yang telah mencalonkan saya - dengan rendah diri, saya sedar saya bukanlah calon terbaik berbanding calon-calon lain, yang jauh lebih layak dari saya dengan pengalaman perjuangan yang panjang serta pengorbanan yang hebat untuk parti sekian lama. Sebagai sebuah parti besar dengan kekuatan tarbiyah dan kefahaman mendalam terhadap tanggungjawab yang diamanahkan, saya penuh keyakinan dan berdoa bahawa pemilihan ini akan berjalan dengan nilai ukhuwah yang sangat tinggi selaras dengan kedudukan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. *Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. |