Thursday, June 9, 2011

BN:Inilah Suara Hati Rakyatmu 1Malaysia



FORMULA SABAH AKHIRI PENJAJAHAN MALAYA? Oleh : MUTALIB M.D

FIXED Deposit yang disinonimkan sebagai Pengundi Hantu atau warga Asing yang direkrut sebagai ‘Rakyat Malaysia’ dan didaftarkan sebagai Pemilih Berdaftar bukan lagi Formula penentu kemenangan Barisan Nasional pada pilihanraya umum akan datang.
Kebanyakan ‘Warga Penyu’ iaitu yang mendapat Kad Pengenalan Projek ini telah melahirkan tiga generasi dan kebanyakannya telah berdaftar sebagai pemilih tidak lagi taat kepada BN ekoran kesilapan pemimpin BN di Sabah ‘bagaikan anjing yang menyorok ekor’ kerana ketakutan kehilangan kuasa politik mereka.
Generasi baru pendatang ini tidak tahu siapa saudara mara mereka di Filipina, India, Pakistan dan Indonesia kerana mereka bersekolah di Sabah, mendapat biasiswa, ijazah dan mendapat pekerjaan baik dan telah menumpahkan ketaat setiaan kepada Malaysia.
Sekalipun masih ramai yang mempersendakan 1Malaysia dengan menambah 1Filipina, 1Suluk, 1Bugis, 1Pakistan, 1India dan sebagainya, namun generasi baru mengatasi jumlah generasi lama lebih enam kali ganda.
Sikap patriotik mereka lebih kental daripada rakyat tulen Sabah kerana ibu bapa mereka pernah menceritakan mereka mendarat dengan kepala (terjun ke laut dan berenang ke pantai) atau bersembunyi dalam keranda (kontena, tong ikan san sebagainya) ketika menyeludup masuk ke Sabah; lalu tidak ingin mengulangi nasib yang sama.
Sikap pemimpin BN mengabaikan kebajikan ibu bapa mereka yang diternak sebagai Pengundi oleh Kerajaan BN, tetapi tidak diberikan sebarang kemudahan dan terus mengklasifikasi mereka sebagai ‘Kasta Terakhir’ di dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan; apatah lagi semua kampung mereka diklasifikasikan sebagai Setinggan sekalipun penempatan diwujudkan pemimpin BN.
Mereka dinafikan pelbagai hak asasi terutama bekalan air, elektrik dan jalanraya; seperti di Kampung Sundang, Sandakan, Sabah Baru di Lahad Datu, Simunul di Semporna, Pasir Putih di Tawau; sehingga menyebabkan mereka berdendam kepada pemimpin BN dengan mencuri bekalan air, elektrik (bilnya dibayar penduduk tempatan) dan masih bersampan untuk membeli barangan keperluan kerana jambatan kayu mereka sudah terlalu antik dan tidak mempunyai kemudahan jalan raya.
Manakala rakyat tempatan yang disuburkan dengan semangat parokial yang sempit masih berteriak untuk mencapai kemerdekaan kerana merasa terus dijajah oleh Kuala Lumpur, yang menggantikan penjajah Inggeris, sekalipun dari segi undang-undang Sabah telah merdeka pada 16 September 1963.
Kegagalan pemimpin BN untuk memikir di ‘luar kotak fikiran’ menyebabkan mereka gagal memacu pembangunan di kawasan yang mereka wakili sedangkan aspirasi rakyat begitu tinggi terhadap BN.
Hasrat melambung rakyat di luar bandar dan kekangan birokrasi yang semakin menjerut mereka menyebabkan BN semakin tidak popular di luar bandar kerana alunan gelombang demokrasi yang bagaikan gegak gempita pada pilihanraya umum Sarawak 16 April 2011, telah ‘menghisteriakan’ masyarakat Cina yang telah memihak kepada DAP.
Tempias berkenaan membasahi ramai pemimpin di Sabah yang mula memainkan sentiment perkauman dan meniupkan kembali ’20 Perkara’ yang dianggap setaraf dengan ‘Pertabalan Sultan Sulu’ dan menjadi bahan jenaka kerana rakyat Sabah tidak mempunyai Locus-standi untuk menuntut ’20 Perkara’ dari segi Perlembagaan, disebabkan tidak langsung disebut walau satu ayat berhubung dengan ‘20 Perkara’.
Tidak ada pihak yang mempunyai ‘Jurisdiksi’ untuk menyediakan forum yang sesuai agar rakyat dapat mengemukakan tuntutan menurut lunas undang-undang yang disulami dengan ‘political will’ bagi menjayakan misi sebuah ‘Kerajaan Berautonomi’ di dalam ‘Persekutuan Malaysia’ dan bukannya ‘Persekutuan Tanah Melayu’.
Bagaikan cerita ‘tujuh orang buta dengan sekor gajah’, para pemimpin politik di Sabah teraba-raba mencari modal politik untuk dibungkus, dijenamakan dan dipasarkan kepada para pengundi yang dianggap masih buta politik, termasuklah menggembar-gemburkan ‘20 Perkara’ yang tidak pernah dibawa ke mana-mana mahkamah, walaupun ketika itu mereka berkuasa melakukannya.
Sekalipun mereka malas untuk menuntut ‘20 Perkara’ dan mengambil sikap berkecuali, namun terhegeh-hegeh berebut jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah, sedangkan jawatan ‘Alice in Wonderland’ tersebut tidak pernah wujud di dalam Perlembagaan Negeri Sabah.
Jika jawatan Timbalan Ketua Menteri tidak pernah wujud dalam Perlembagaan Negeri Sabah, maka kenapa boleh diktiraf sebagai ‘wujud’ dan diterima pakai sebagai salah satu institusi politik yang sah melainkan untuk menjadi ‘umpan ikan tenggiri bersalut pancing’ yang gagal dilihat oleh ‘Jerung’ Politik di Sabah?
Anehnya, jika Sabah boleh melantik Tiga Timbalan Ketua Menteri untuk menjadi batu dacing timbangan bagi menstabilkan politik Sabah; kenapa Kerajaan Persekutuan tidak mencontohi Sabah dengan melantik Dua Timbalan Perdana Menteri lagi menjadi Tiga, bagi menghidupkan kembali semangat cintakan Malaysia, setelah rakyat Sabah dituba oleh pemimpin persekutuan dengan pembangunan ‘superficial’ dan pelencongan politik, pecah dan perintah.
Sekalipun jawatan Timbalan Perdana Menteri juga tidak disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan, namun dianggap sebagai ‘berinstitusi’ dan menikmati pelbagai kemudahan; maka adalah cukup elok jika Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang merupakan Perdana Menteri yang pertama di Malaysia yang mengiktiraf ‘Hari Malaysia’; memasuki fasa kedua memperkukuhkan ‘Fixed Deposit’ pasaran hadapan di Bursa Politik Malaysia, dengan melantik dua lagi Timbalan Perdana Menteri.
Dengan perlantikan dua lagi Timbalan Perdana Menteri, seorang dari Sabah dan seorang dari Sarawak, Barisan Nasional tidak perlu lagi membazirkan banyak wang untuk memenangi hati rakyat Sabah dan Sarawak kerana mereka telah memperolehi cita-cita politik untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pemimpin di Malaya yang disifatkan ‘berakal’ penjajah sebelum ini!