Wednesday, November 16, 2011

Apa Pendapat Anda?

Jurugambar: "Tak pernah saya lihat orang kaya dihukum mati"

Ong Vic Kee


 
Bagi sesetengah orang, hukuman mati wujud untuk tujuan mencegah penjenayahan.  Namun, andaian ini tidak tepat untuk Toshi Kazama, jurukamera yang menangkap gambar untuk banduan yang dihukum mati.  Misalnya, hukuman mati gagal menyelesaikan jenayah penyeludupan dadah, kerana dalang di sebalik tabir memperalatkan orang bawahan untuk mengedar dadah.  Malah, kebanyakan pembunuh tidak mempertimbangkan kewujudan hukuman mati, sebelum melakukan jenayah.

"Apabila mereka melakukan jenayah, mereka tidak terfikir, 'oh, adakah saya akan dihukum mati atau sebagainya.  Oleh itu, ia (hukuman mati) pada hakikatnya tidak memainkan peranannya sebagai pencegah...',"kata Toshi Kazama, juga seorang aktivis membantah hukuman mati.

Malah, orang Jepun ini mendapati beberapa persamaan daripada banduan-banduan yang bakal dihukum mati, sepanjang pemerhatiannya.  "Hukuman mati dijatuhkan ke atas golongan yang paling 'lemah' dalam masyarakat.  Maknanya mereka sangat miskin, tidak berpendidikan.  Tak pernah saya nampak di mana-mana tempat, bahawa orang kaya dijatuhkan hukuman mati," tambahnya.

Pada masa yang sama, Toshi Kazama mendapati bahawa banduan yang dihukum mati ini berasal dari keluarga yang kekurangan kasih, keluarga tunggal, atau anak tiri, malah sering didera.  "Kes-kes ini menunjukkan bahawa banduan yang dihukum mati kekurangan kasih.  Seandainya anda membesar dalam suasana tanpa kasih, anda tidak akan mengambil kisah diri anda, secara perbandingannya, anda juga tidak begitu ambil kisah dengan orang lain.  Keadaan ini menjurus kepada berlakunya penjenayahan, malah pembunuhan," kata Toshi Kazama.

Demikianlah pemerhatian dan pengalaman Toshi Kazama (gambar kanan) yang dikongsikan dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 25 Oktober 2011.  Sehingga kini, terdapat 139 buah negara di dunia yang telah memansuhkan atau menghentikan untuk sementara (moratorium) hukuman mati.  Hanya kira-kira 58 buah negara yang masih mengekalkan hukuman mati.  Di Amerika Syarikat, 33 atau 34 daripada 50 buah negeri masih mengekalkan hukuman mati.

Hukuman mati tidak menceriakan keluarga mangsa

Untuk Toshi Kazama, situasi yang dialami keluarga si mangsa pada hakikatnya tidak banyak berbeza dengan banduan yang dihukum mati.  Bezanya hanya satu dikurung dalam penjara, dan satu lagi bebas bergerak ke mana-mana.  Namun demikian, keluarga si mangsa terkurung dalam "kelukaan", kerana tidak mudah untuk membebaskan diri dari perasaan yang menyelubunginya.

"Mereka (yang menyokong hukuman mati) berfikir, hukuman mati adalah baik untuk keluarga si mangsa.  Keluarga si mangsa akan memulakan hidup yang baru.  Tolonglah, tiada keluarga yang sembuh dari 'luka' dengan hukuman mati..."

Meskipun ramai yang menganggap bahawa si pembunuh telah menerima hukuman yang setimpal dengan hukuman mati itu, namun tiada yang berani untuk melaksanakan hukuman itu.  Toshi Kazama mendapati ramai pelaksana hukuman mati yang meronta-ronta dalam hatinya, dan mustahil mereka gembira kerana menjalankan pembunuhan itu.

Toshi Kazama berkata, untuk negara yang bergantung kepada hukuman mati, mereka mahu menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap penjenayah ketika pembunuhan berlaku, agar pelaku menerima balasannya.  "Itu sahaja yang mampu difikirkan.  Namun, apa yang penting sebenarnya, adalah iktibar daripada penjenayahan - bagaimana kita mengelakkan jenayah yang sama berulang."

Menurut Toshi Kazama, negara yang mengamalkan hukuman mati tidak akan memikirkan masalah ini.  Mereka menganggap tugas mereka selesai seandainya hukuman yang setimpal dijatuhkan ke atas penjenayah.  Namun, di negara yang tidak mengamalkan hukuman mati, rakyatnya akan menumpukan kepada persoalan bagaimana untuk mencegah jenayah.

"Dengan kata lain, apabila tiada lagi hukuman mati, maka masyarakat itu akan memikirkan bagaimana untuk mengelakkan kes bunuh.  Kerana kamu tidak boleh lagi menjatuhkan hukuman mati.  Dan kamu tidak berharap untuk menjadi mangsa.  Maka kamu akan membina satu masyarakat yang tumpu untuk membanteras jenayah."

Toshi Kazama menyedari bahawa mungkin tidak mudah untuk memupuk kesedaran agar semua orang menumpu untuk membanteras jenayah, memandangkan Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama.  "Namun, apa yang penting, rakyat perlu sedar, bahawa adalah lebih baik untuk mencegah daripada menghukum."

Tidak berbeza dengan pembunuhan
Sebagai seorang jurukamera, Toshi Kazama telah menangkap gambar untuk 21 orang banduan Amerika Syarikat dan seorang banduan Taiwan, yang dijatuhkan hukuman mati.  Hampir 50% daripada mereka telah dijatuhkan hukuman.  Malah, beliau pernah dijemput oleh seorang banduan yang dihukum mati untuk menyaksikan proses dirinya dihukum.

Beliau hanya berjumpa kira-kira sejam bersama banduan tersebut.  Dan beliau menerima surat daripada banduan tersebut selepas itu, dengan permintaan agar Toshi Kazama hadir sebagai kawan untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman itu.  Bagaimanapun, Toshi Kazama menganggap dirinya gagal menahan tekanan itu.  Dalam surat yang dibalas kepada banduan itu, beliau berjanji untuk menunggu pada saat-saat itu di rumah, dengan senyap, memikirkannya.

"Saya berada di rumah... Duduk secara senyap.  Dari jam 12 tengah malam hingga 1 awal pagi, saya masih dalam keadaan baik.  Apabila waktu melepasi jam 1 pagi (waktu hukuman mati dilaksanakan), dalam hati saya, sudah sampai jam 1.  Ada orang telah meninggal..."

Untuk Toshi Kazama, ia tidak berbeza dengan pembunuhan secara halal - dengan tarikh dan waktu yang ditetapkan, atas nama keadilan.  Beliau berkata, semua manusia akan menemui ajal, tanpa mengetahui bilakah tarikhnya.  Namun, hukuman mati memaklumkan kepada kita bila nyawa kita akan diragut.

Pengalaman dirinya...

Toshi Kazama hampir menemui ajal di New York, pada lapan tahun yang lalu.  Beliau diserang pada bahagian kepala, sehingga mengalami kecederaan yang parah.  Malah, doktor pada ketika itu memberi amaran kepada isterinya agar bersedia kerana Toshi Kazama mungkin akan meninggal dunia.

Bagaimanapun, beliau tidak mati dan terus hidup sehingga hari ini, meskipun kesan kecederaan itu masih mengganggu hidup hariannya.  Toshi memberitahu anaknya, berdendam dengan jenayah, benci kepada keganasan, tetapi bukan pelakunya.  Untuk beliau, sudah cukup dengan kecederaan yang dilakukan ke atas tubuh dirinya, beliau tidak mahu "hati perut" keluarganya juga dirampas.

"Seandainya saya membesar-besarkan dendam dan kemarahan saya, ia tidak membantu saya atau keluarga saya.  Seandainya saya membesar-besarkan perkara baik yang saya alami setiap hari, maka saya akan tumpu, dan menjalani kehidupan yang lebih baik...," katanya.

*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.