Thursday, November 3, 2011

Guna FBC Media RM84 juta, k’jaan nafi peranan kementerian

KUALA LUMPUR 2 Nov: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli mempertikaikan peranan Kementerian Luar Negeri mahupun kedutaan luar negara dalam usaha menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa.
Beliau mempersoalkan jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung  tindakan kerajaan menggunakan syarikat media asing bagi menonjolkan imej Malaysia.
“Adakah terdapat kekurangan kepada mereka yang telah dilantik untuk mewakili negara di luar sebagai kedutaan, Matrade dan juga Kementerian Luar sehinggakan kita terpaksa melantik media asing sebagai konsultan bagi menaikkan imej negara ini?
“Kita melihat lantikan media asing itu bukan mendatangkan kebaikan tetapi sebaliknya telah menjatuhkan imej negara di persada antarabangsa apatah lagi FactBased Communication (FBC) Media yang berada di United Kingdom itu telah dikenakan tindakan kerana salah laku yang dilakukan oleh mereka,” katanya.
Sebelum itu, Nazri menjelaskan kerajaan melantik FBC Media sebagai konsultan untuk menaikkan imej Malaysia dan juga Perdana Menteri di peringkat antarabangsa, lapor Harakah Daily.
Nazri juga memberitahu kontrak selama setahun itu disambung sebanyak dua kali dan tamat pada 2010 dengan kos perbelanjaan selama tiga tahun sebanyak Euro 19.6 juta (RM84 juta).
Dr Hatta yang merujuk jawapan Nazri itu berkata, jika dilihat secara menyeluruh ia mengambarkan satu usaha yang baik tetapi hakikatnya mendatangkan kesan  buruk kepada negara.
“Kita melihat apa yang dilakukan oleh FBC Media itu melanggar etika kewartawanan dan juga penyiaran di United Kingdom sehinggakan British Broadcasting Corporation (BBC) telah mengambil tindakan kepada FBC Media,” tambahnya lagi.
Beliau juga memberitahu FBC Media sekarang sudah hampir bankrap.
Katanya, pihak-pihak lain juga tidak lagi mahu menggunakan khidmat mereka sebagai konsultan yang mana lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan kepada sesebuah negara
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=22524