Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 3 Mei: Suaram mengecam tindakan pihak polis yang mengganggu perhimpunan awam dan menangkap sekurang-kurangnya 21 orang termasuk empat remaja bawah 18 tahun sempena Hari Pekerja, 1 Mei lalu.
Penyelarasnya, Yap Heng Lung berkata, polis sekali lagi telah menjadi alat kepada kerajaan dalam menindas rakyat khususnya kaum buruh yang menyertai aktiviti perhimpunan Hari Pekerja.
Tambahnya, tangkapan sekurang-kurangnya 21 orang pada perhimpunan aman kali ini berbanding enam tangkapan pada tahun lepas menunjukkan kebiadaban pihak polis.
Katanya, ia juga menunjukkan bahawa tiada inisiatif diambil oleh polis bagi memperbaiki imejnya yang sering digambarkan sebagai ‘ganas’ dan ‘tidak berperikemanusiaan’.
“Ia merupakan satu pencabulan hak asasi manusia secara terbuka dan sangat memalukan,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Beliau menambah, pihak polis telah menafikan hak rakyat untuk berkumpul dan berhimpun secara aman seperti yang termaktub di bawah artikel ke-10 Perlembagaan Persekutuan.
Di samping itu, ujarnya ia juga secara langsung telah melanggar hak asasi manusia bawah Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR).
Tambahnya, tindakan pihak polis, khususnya dari unit cawangan khas yang tidak menggunakan pakaian beruniform dan melakukan tangkapan adalah sesuatu yang tidak profesional dan memalukan.
Menurutnya lagi, penggunaan elemen-elemen ugutan terhadap orang ramai di sekitar kawasan Chow Kit di mana perhimpunan awal diadakan sebelum berpindah ke sekitar Maju Junction juga sesuatu yang biadab.
Katanya, tindakan pihak polis yang memberi amaran dan menakut-nakutkan orang ramai supaya tidak berada di kawasan perhimpunan merupakan satu tindakan yang tidak seharusnya berlaku di kawasan umum.
“Tindakan pihak polis yang mengarahkan sekumpulan pemuda berbaju kemeja-T merah untuk membuka baju di depan khalayak umum merupakan satu tindakan tidak profesional dan tidak bertamadun,” katanya.
Katanya, keengganan pihak polis bagi menunjukkan kad kuasa juga sesuatu tindakan yang menunjukkan keangkuhan mereka.
Tambahnya, tindakan polis menahan ahli kumpulan jawantankuasa yang memakai baju putih dengan perkataan merah tanpa sebarang alasan di sekitar pasaraya Sogo di Jalan Sultan Ismail juga sesuatu yang menjengkelkan.
Suaram juga, ujarnya mengutuk tindakan pihak polis yang cuba mengaitkan salah seorang ahli jawatankuasa perhimpunan yang juga salah seorang tahanan iaitu saudara Arutchelven dengan satu kes kecurian pada tempoh 15 tahun lalu.
Menurutnya, Akta Polis Sekyen (27) yang memberi kuasa mutlak kepada pihak polis untuk mengeluarkan permit perhimpunan awam jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menambah, laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005 mendedahkan ketidakcekapan polis dalam menguruskan hal ehwal berkenaan permit perhimpunan awam.
“Kebiasaannya, polis tidak akan memberi permit kepada aktiviti-aktiviti yang mengkritik atau bercanggah dengan kerajaan Barisan Nasional malahan mereka adalah alat ‘penjamin keluaran permit’ untuk semua aktiviti kerajaaan pemerintah dan untuk mengukuhkan kuasa hegemoni Barisan Nasional,” ujarnya.
Beliau berkata, Suaram akan meneruskan usaha menuntut kerajaan melakukan penggubalan Akta Polis terutama Seksyen 27 yang mudah untuk disalahgunakan oleh pihak polis dan kami juga menuntut untuk penerapan unsur-unsur hak asasi dalam kepolisian negara serta penubuhan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) dengan segera.
“Hari Pekerja disambut di setiap negara di seluruh pelosok dunia, namun pencabulan hak asasi manusia, khususnya pekerja dan tangkapan hanya berlaku di negara ini.
“Di mana imej negara kita sebagai salah sebuah negara ahli dalam Majlis Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu?” soalnya. |
|