Cerita Tandas Dalam Dua Era
A Kadir Jasin
KALAU cerita bersunat atau, macam kata pembahas Hanezam, masuk jawi, zaman dulu kala asing kepada generasi Dasar Ekonomi Baru, bayangkan pula cerita buang air besar.
Buang air kecil, tak payah ceritalah. Di mana ada belukar atau semak, di situlah kita lakukan. Lelaki perempuan sama saja. Yang berbeza, sejenis berdiri, sejenis lagi bercangkung. Daripada situlah agaknya datang ungkapan, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
Tapi memang pun kita kencing berlari iaitu sewaktu dikejar kerbau atau lembu jantan tengah mengawan, dihambat orang gila dan anjing gila. Dulu, di kampung ada ramai orang gila dan banyak anjing gila – rabid dogs. Sekarang anjing liar banyak di pekan-pekan manakala kampung-kampung pula dicerobohi babi hutan.
Zaman saya kanak-kanak dulu, ramai orang kampung pelihara kerbau dan lembu sabung. Haiwan “macho” ini cukup garang. Semua hendak dikejar dan ditanduknya. Ada pun yang kena tanduk sampai mati.
Jadi, bila kita buang air kecil tepi belukar, kita kena berhati-hati dan bersedia untuk lari lintang pukang bila kerbau atau lembu pelaga muncul. Itu belum diambil kira tebuan tanah dan penyengat.
Kalau kena sengat di tangan atau dahi bolehlah sapu minyak cap kapak atau minyak geliga. Tapi kalau yang kena sengat itu senjata sulit kita, pilihlah antara sakit kena toksin penyengat atau panas minyak cap kapak.
Yang rumit ialah buang air besar. Sebab buang air besar ambil masa dan banyak anggota sulit yang terdedah, kita kenalah lebih berhati-hati pilih tempat.
Masa itu mana ada tandas tetap. Hanya bila Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein memperkenalkan Rancangan Pembangunan Luar Bandar dan beri subsidi tandas curah barulah kita bina tandas kekal dan sempurna.
Pada zaman pra-Rancangan Pembangunan Luar Bandar, kita sahut panggilan alam semula jadi di tebing sungai, di atas jambatan buluh, di pangkal pokok, di dalam hutan mengkuang dan di atas batas bendang.
Selain berjaga-jaga takut ada orang nampak, kita kena berhati-hati takut dipatuk ular, digigit pacat dan diserbu ayam yang kelaparan. Dulu itulah antara sumber makanan utama ayam.
Sekarang ayam dah jadi ayam ponen, ayam pondan dan ayam darai. Dah naik tocang sebab makan makanan import – jagung dari Thailand, gandum dari Australia dan kacang soya dari Brazil. Harga mahal tapi daging tak sedap macam ayam lepas bebas – free ranging chicken – zaman dulu kala yang makan makanan asli dan organik.
Di kampung pun dah ramai yang pakai “flush toilet” dalam rumah. Dulu jijik guna tandas duduk. Sekarang tandas cangkung tak “cool” lagi. Sebenarnya tandas duduk berguna. Tunggulah bila dah tua -- bila lutut, tumit dan punggung dah tak kuat lagi.
Akhir kalam, terima kasih dan didoakan keampunan untuk roh Tun Abdul Razak kerana memperkenalkan Rancangan Pembangunan Luar Bandar dan memberikan subsidi tandas curah. Benda kecil tapi faedahnya besar.