Wednesday, October 5, 2011

Cerita Dulu-dulu(1)

Lagi Macam-Macam Ada: Bersunat Vs Ayam Jantan


A Kadir Jasin
BILA saya muncul di TV al-Hijrah baru-baru ini, pengacara mudanya, antara lain, merumuskan agar kita jangan memandang ke belakang lagi. Kita hanya memandang ke hadapan.
Dalam perbincangan panel mengenai cadangan pemansuhan ISA itu, saya membahasakan diri saya haiwan purba yang tidak pupus – the living dinosaur.
Jadi saya sarankan kepada beliau supaya membuang semua cermin pandang belakang keretanya dan cuba pandu dengan tidak ada rear view mirror. Sejarah ada cermin pandang belakang kehidupan dan tamadun manusia.
Kalau kita buta sejarah, samalah dengan memandu tanpa cermin pandang belakang. Tapi kalau kita asyik tengok cermin pandang belakang masa memandu, kita boleh langgar pokok atau jatuh sungai.
Jadi dalam posting kali ini, saya hendak ajak pembaca tengok cermin pandang belakang sebab saya baru baca balik buku Tingkatan Enam Rendah saya (tahun 1967) bertajuk “Adat Isti’adat Melayu” karangan Syed Alwi Bin Syed Sheikh Al-Hadi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dalam buku itu, ada macam-macam adat istiadat serta amalan orang Melayu yang diceritakan. Antara yang saya, sebagai dinosaur, boleh fahami betul-betul ialah adat istiadat bersunat. Pada zaman saya, ia berupa adat istiadat meriah bagi orang dewasa dan sangat-sangat menakutkan bagi yang akan disunatkan.
Tak ada doktor. Tak ada bius. Tak ada oksigen. Tak ada ubat. Yang ada tok mudim, pisau cukur sepanjang enam inci, batang pisang dan abu dapur. Untuk kebaskan badan supaya tak sakit sangat, kita berendam dalam telaga sepanjang pagi. Lepas itu dipakaikan kain sarung dan diusung atas bahu untuk disunatkan.
Lepas disunatkan, kita duduk terkangkang atas abu dapur yang tadah darah kita.  Abu dapur digunakan sebab ia kering dan bersih. Kita buat “dressing” sendiri guna kertas alas kotak rokok. Ada tak ada ubat hanyalah iodin.
Tiga minggu tak sembuh lagi. Silap-silap, kata orang Kedah, meliau – septik. Yang paling seksa bila saudara mara perempuan yang sudah tua selak untuk tengok dah baik atau belum. Itu tak masuk lagi upacara dilagakan dengan ayam jantan. Malu tak terkira.
Mengenai adat istiadat bersunat, Syed Alwi, antara lain,  menulis: “Kemudian maka budak itu pun di-dudokkan berchelapak di-atas batang pisang, dan to’ mudim itu pun dengan pantas menyunatkan dia, dan sa-habis sahaja di-chantas-nya maka dengan chepat to’ mudim itu mengambil bapak ayam itu dan di-acu2kan-nya kepala bapak ayam itu kepada kemaluan budak itu dan jika nampak kembang tengkok ayam itu tatkala di-acu2kan maka yang demikian itu konon, menandakan budak itu garang dan akan berbini banyak.”
Saya tak dilagakan dengan ayam jantan semasa bersunat, tapi bila sudah hampir sembuh, dengan ihsan abang-abang sepupu yang suka melawak. Kita malu tak terkira, mereka gelak terdekah-dekah. Syukur, segala-galanya berjalan lancar.
Hari ini, bagi ramai orang Melayu, bersunat bukan istiadat lagi. Ia tidak lebih daripada pembedahan kecil yang selesai dalam setengah jam. Malah dua orang cucu saya disunatkan sebaik saja lahir.
Nak lagakan dengan ayam jantan pun dah susah. Nak cari ayam jantan yang jaguh bukan mudah, kena cari Wak Jawa yang bela ayam sabung untuk judi haram di kongsi. Silap-silap kena cekup polis.
Sekarang banyak ayam jantan dah jadi ayam “ponen” atau ayam "darai" sebab kena suntik hormon ayam betina. Badan besar, kukuh nyaring tapi kena hambat ayam betina lari lintang pukang. Lagipun, ayam betina tak perlukan ayam jantan untuk bertelur, cuma telur yang tidak disenyawakan oleh ayam jantan tak menetas. Wallahualam.
Nota kaki: 1. Syed Alwi menulis permata ilmu itu pada tahun 1959 dan DBP menerbitkannya pada tahun 1960. 2. A hen does not need a rooster to lay an egg. Hens ovulate regularly, regardless of whether there is contact with a male or not. Most grocery store eggs come from hens that have never seen a rooster.