Tuesday, October 25, 2011

Skandal IC amat membahayakan negara

Komen:Balasannya mungkin anakcucu orang yang meluluskan projek ic ini, akan hidup merempat di negara sendiri akibat perbuatan atuknenek mereka? Nauzubillah!
Aziz Muda   
KUALA LUMPUR, 24 Okt: Skandal kad pengenalan (IC) terutama yang membabitkan kod "71" dan pemberian kad pengenalan biru dengan mudah kepada warga asing perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan kerana ia amat merbahaya keselamatan negara.

Sehubungan itu, PAS akan memberikan perhatian serius terhadap perkara itu termasuk membawanya ke persidangan Dewan Rakyat bagi mendapatkan respon segera dari pihak kerajaan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, antara tindakan segera yang dilakukan termasuk membantu Dewan Pemuda PAS menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz di bangunan Parlimen hari ini.

Menurutnya, memorandum yang diserahkan itu bertujuan mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat penyelewengan pengeluaran kad pengenalan di negara ini.

Katanya, dalam memorandum tersebut, pihak pemuda PAS turut menyuarakan kecurigaannya dengan insiden yang berlaku di Istana Dugang Country Resort di Kajang pada 12 Oktober lalu yang membabitkan 240 orang warga asing yang akan diberikan kad pengenalan biru.

"Dalam hal ini, kami amat kesal dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang seolah-oleh lepas tangan dengan kononnya mahu menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkaitan pilihanraya dan SPR," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Pada hal, menurut beliau, sebagai menteri yang menjaga Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Hishamuddin sebenarnya boleh menjawab terus isu tersebut tanpa menunggu untuk dibawa kepada jawatankuasa berkenaan.

Katanya, kod "71" adalah suatu kod warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya.

"Walaupun terdapat kecurigaan, tetapi oleh kerana nama mereka berada dalam Daftar Pemilih Induk (DPI), maka mereka diberi hak mengundi bagi memilih ahli Parlimen di negara kita," katanya.

Kini, ujarnya, bilangan mereka amat banyak sehingga jelas menunjukkan masa depan negara akan ditentukan oleh warga asing yang tidak diketahui asal usulnya.

"Perkara ini amat penting bagi negara. Ia bukan perkara kecil, tetapi melibatkan keselamatan negara yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sejajar dengan itu,katanya, pihaknya akan terus membangkitkan perkara itu secara berterusan sama ada membawanya ke persidangan Dewan Rakyat dan menerusi saluran lain bagi menyedarkan pihak kerajaan agar tidak memandang sebelah mata mengenainya.