Monday, February 20, 2012

Lagi Tentang LYNAS!

AELB nafi peroleh manfaat daripada pendapatan Lynas



KUALA LUMPUR, 20 Feb — Agensi tenaga atom Malaysia menafikan pihaknya akan memperolehi manfaat daripada pendapatan kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Corp yang mana wang tersebut akan hanya akan digunakan untuk kajian hasil pemprosesan pelombong Australia itu.
Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) berkata 0.05 peratus pendapatan tahunan Lynas itu hanya akan “dipegangnya”, dan tidak akan disalurkan kepada aktiviti lain dan menegaskan sebarang duit yang tidak digunakan akan dikembalikan kepada syarikat yang berpangkalan di Kuantan itu.
Ketua Pengarah AELB, Raja Abdul Aziz Raja Adnan (gambar) berkata, itu akan memastikan Lynas mempunyai dana yang cukup bagi memastikan aspek keselamatan daripada bahan buangan daripada perlombongannya, dan menambah itu merupakan syarat yang dikeluarkan Malaysian Investment Development Authority (MIDA).
“Bagi memastikan mereka membelanjakan dalam aspek keselamatan, mereka akan memberikan dana kepada pihak berkuasa, dan pihak berkuasa akan menjalankan kajian bagi mengesahkan kajian mereka.”
“Kerajaan enggan membelanjakan dana mereka sendiri. Untuk apa digunakan untuk sahkan? Mereka sudah mempunyai status perintis. Sebab itu, wang itu tidak diserahkan kepada AELB,” jelasnya kepada The Malaysian Insider minggu lepas.
10 penduduk Pahang telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi minggu lalu terhadap AELB, Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar di bawah Jabatan Alam Sekitar, dan Lynas Malaysia Sdn Bhd kerana mengabaikan rayuan publik yang mendesak projek berkenaan dihentikan kerana membahayakan manusia.
Menurut dokumen mahkamah berkenaan, yang diperolehi The Malaysian Insider, 10 pemohon berkenaan menetap sekitar 18km daripada Kilang Pemprosesan Nadir Bumi Lynas (LAMP) di Gebeng.
Mereka menuduh dua pihak berkuasa kerajaan itu melanggar peruntukan Perlmembagaan dan undang-undang lain kerana menerima 0.05 peratus keuntungan Lynas sebagai balasan daripada ibu pejabat syarikat itu di Sydney.
“Penasihat guaman menasihatkan saya dan saya mengesahkan sekiranya janji seperti itu dibuat Lynas dan badan berkenaan, maka badan itu meletakkan diri mereka di dalam konflik kerana memperolehi kelebihan dengan mengeluarkan TOL kepada Lynas supaya mereka akan dibayar atas keuntungan operasi Lynas di tapak LAMP,” kata Zakaria.
“Akibatnya, keputusan yang dibuat badan berkenaan adalah tidak sah kerana mereka tidak lagi bersifat bebas dalam penguatkuasaan undang-undang. Peguam saya menasihatkan saya dalam keadaan itu, keputusan berkenaan adalah tidak sah, kata bapa enam anak ini lagi.
Berdasarkan afidavitnya, Zakaria merujuk kepada beberapa berita dan kertas kajian Lynas yang di keluarkan oleh New York Times (NYT) 29 Jun 2011, tulisan Keith Bradsher.
“Berdasarkan artikel itu, beliau menyatakan Lynas berhasrat untuk menghasilkan nadir bumi jarang bernilai USD1.7 bilion (RM5.16 bilion) setahun daripada LAMP dan ‘Lynas telah bersetuju untuk membayar 0.05 peratus keuntungan mereka kepada AELB untuk kajian terhadap radiasi,” jelas Zakaria.
Beliau mengaitkan kumpulan berkenaan telah menjalankan kajian terperinci di laman web bagi melihat sama ada terdapatnya bantahan daripada pihak atasan Lynas untuk menafikan perkara itu, namun gagal.
Namun begitu, Ketua Pengarah AELB, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan menafikan dakwaan pihaknya menerima dana daripada Lynas bagi bantuan terhadap kajian mereka.
“Saya tidak tahu apa-apa berkenaan perkara itu. Sila tanya MITI,” katanya kepada The Malaysian Insider merujuk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Zakaria merupakan antara 10 pemohon yang dinamakan di mahkamah dalam dokumen itu. Rumahnya hanya berjarak 3km daripada tapak LAMP di zon Industri Gebeng.
Sembilan yang lain adalah bekas nelayan, Ramli @ Kamaluddin Awang; Pengurus Pengeluaran, Ab Sani Ahmad; pekerja mekanikal, Mohd Rasid Hamzah ; pesara pengawal keselamatan, Mansor Bedu; kontraktor, Hashim Awang; dan bekerja sendiri , Ali Akbar Othman; Nadarajan Raju; Pang Chee Kian; and Tuw Yin Lan.
Mereka menuntut mahkamah mengeluarkan arahan untuk membatalkan pemberian TOL AELB kepada Lynas pada 30 Januari lalu.
Minggu lalu, Lynas berkata bahawa kilangnya akan beroperasi pada suku kedua tahun ini.
Penduduk terbabit turut menuntut perintah mahkamah bagi menghalang AELB daripada mengeluarkan lesen sementara dan terus kepada Lynas sehingga syarikat itu menyerahkan dokumen lengkap laporan environmental impact assessment (DEIA) kepada kerajaan dan ia perlu di luluskan.
Mereka turut menuntut mahkamah menggantung lesen sementara itu.
Syarikat yang berpangkalan di Sydney itu berhasrat untuk memecahkan penguasaan China terhadap pemprosesan nadir Bumi yang digunakan untuk teknologi tinggi seperti telefon pintar, mentol jimat tenaga, dan kereta hybrid.
The Malaysian Insider difahamkan, sebelum ini Lynas Corp menjangkakan mereka akan menjana RM8 bilion setiap tahun melalui aktivit eksport nadir bumi dari Kuantan itu.
Namun demikian, penduduk Pahang menyatakan dalam dokumen kepada mahkamah tersebut, Malaysia tidak akan mendapat sebarang manfaat kerana kerajaan memberikan 10 tahun pengecualian cukai, dan syarikat itu hanya akan mengambil 350 pekerja tempatan.
“Kami rasakan terdapatnya kekurangan manfaat kewangan atau ekonomi bagi rakyat Malaysia jika tapak LAMP mula beroperasi ialah satu balasan berkaitan yang AELB sepatutnya telah mengambil kira apabila mempertimbangkan permohonan TOL oleh Lynas untuk,” jelas Zakaria dalam afidavitnya.
“Kegagalannya berbuat demikian menyebabkan keputusannya terbatal dalam undang-undang,” tegasnya.
Kumpulan Anti-Lynas telah berkembang sejak setahun lalu, yang turut dikaitkan dengan insiden di Fukushima, Jepun.
Pergerakan itu merancang untuk mengadakan protes jalanan di Kuantan 26 Febuari ini bagi mendesak Putrajaya menghentikan projek berkenaan.