Saturday, February 25, 2012

Sepatut Bajet Boleh Di Bawa Ke Lapangan Terbang Kota Bharu....Tapi........

Najib sendiri tidak mahu mendarat di LTA Melaka

Ahmad Denial,
MELAKA, 24 Feb: Tindakan helikopter yang membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam adalah satu tamparan hebat kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.

Demikian pendapat Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, Wan Mohd Azmi Wan Abdul Aziz yang sangat hairan dengan tindakan PM Najib itu.

Najib melawat Melaka hari ini. Beliau tiba dengan menaiki helikopter yang mendarat di Dusun Datuk
Murad, Ayer Keroh berdekatan Penjara Agro.

Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pagi ini.

Wan Mohd Azmi hairan mengapa pesawat yang membawa Perdana Menteri tidak mendarat di LTAM Batu Berendam tetapi sebaliknya mendarat di Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh.

"Rakyat tertanya-tanya mengapa pesawat yang membawa Perdana Menteri tidak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) tetapi sebaliknya mendarat di Dusun Datuk Murad.

"Siapa yang mencadangkan kepada Datuk Seri Najib untuk mendarat di Dusun Datuk Murad? Adakah ianya atas kehendak beliau sendiri atau ada sesiapa yang tidak suka Perdana Menteri mendarat di LTAM bagi menyembunyikan keadaan sebenar betapa lengangnya LTAM," ujar Wan Mohd Azmi.

Beliau berkata jika ada pihak yang cuba 'menyorokkan' LTAM dari Perdana Menteri itu tindakan yang silap kerana Perdana Menteri sudah tentu mempunyai maklumat tentang LTAM.

"Najib pasti tahu betapa 'sibuk'nya  LTAM mungkin lebih kurang sama kesibukannya dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow di London.

"Malah isu ini juga sudah banyak kali dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka semasa sidang Parlimen dan ianya telah dijawab oleh Menteri Pengangkutan. Sudah tentu Perdana Menteri arif tentang kegagalan LTAM menarik syarikat penerbangan beroperasi LTAM," tambah Wan Azmi.

Menurutnya jika Perdana Menteri memilih Dusun Datuk Murad sebagai tempat pendaratan pesawatnya, ini merupakan tamparan hebat kepada Mohd Ali kerana terbukti Najib sendiri tidak yakin dengan prasarana LTAM sehingga beliau tidak sudi mendarat di LTAM.

"Mungkin juga Perdana Menteri tidak berpuashati dengan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah LTAM yang gagal menarik minat syarikat penerbangan beroperasi di LTAM."

"Atau mungkin Najib 'bengang' dengan pembaziran duit rakyat sebanyak RM240juta yang digunakan untuk menaiktaraf LTAM sedangkan pada hakikatnya projek ini tidak berdaya maju.

"Kegagalan ini sebenarnya membuktikan kerajaan negeri tidak membuat kajian terperinci sebelum LTAM dinaiktaraf," ujar beliau.