Tuesday, May 22, 2012

Hanya Jauhari Yang Mengenal Maknikam!

 

Bekas Timbalan Residen Miri sertai PAS



MIRI: Sekarang ini adalah musim untuk golongan professional, selebriti, dan juga bekas pengawai kerajaan menyertai PAS.

Kalau di Perak bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari dengan rasminya menyertai PAS dan di Miri Sarawak pula seorang bekas pegawai kerajaan merangkap bekas Timbalan Residen Miri juga telah menyertai PAS baru-baru ini.

Sempena  lawatan Pimpinan Tertinggi PAS Pusat ke Sarawak, bekas Timbalan Residen Miri, Haji Johari Bujang telah menyerahkan borang keahlian kepada Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada Majlis Hi-Tea di rumahnya di Luak baru-baru ini.

Beliau semasa Pilihanraya DUN Sarawak yang lepas bertanding di DUN Lambir atas tiket SNAP namun beliau tidak menjadi ahli SNAP.

Dalam ucapannya, Johari Bujang menyebut bahawa sebelum ini beliau tidak pernah menyertai mana-mana parti politik walaupun sebelum ini pernah bertanding di DUN Lambir dalam Pilihanraya DUN Sarawak tahun lepas atas tiket Parti SNAP.

Menurutnya lagi, beliau membuat keputusan untuk menjadi ahli PAS setelah sedar dan yakin akan prinsip perjuangan PAS serta begitu tertarik dengan kseungguhan PAS khususnya PAS Kawasan Miri dalam usaha membawa perubahan serta pembelaan kepada nasib rakyat.

Beliau ingin bersama-sama berada di dalam PAS bagi menyumbang secara langsung kepada perjuangan rakyat.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sarawak, Jofri Jaraiee, Ketua Penerangan PAS Sarawak M Azwani, Ketua Pemuda PAS Sarawak M Arifiriazul Paijo dan setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Miri, Yeo Kian Leong.

Acara sederhana tersebut menunjukkan yang PAS telah diterima oleh semua golongan masyarakat.

Pada sebelah malam, Datuk Mahfuz Omar bersama rombongan PAS Miri melawat rumah panjang Empading di Sg Bakas.

Penduduk di rumah panjang tersebut menyambut dengan baik dan memberi sambutan hangat kunjungan rombongan PAS pada malam itu.

PAS Miri memberi sedikit buah tangan sebagai tanda hormat atas kunjungan ke rumah panjang tersebut dan juga memberi penerangan tentang kunjungan serta matlamat perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat.

Dalam rumah panjang tersebut terdapat 2 orang OKU (Orang Kurang Upaya) salah seorang dari OKU tersebut, Idai ak Entebang mengadu kepada PAS bahawa beliau tidak menerima BR1M, E-Kasih dan juga bantuan dari kebajikan masyarakat.
"Kita minta pihak yang berkenaan agar dapat membantu Idai ak Entebang tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik kerana beliau juga golongan yang kurang upaya yang sepatutnya dapat menerima sumbangan dari wang pembayar cukai.

"Kita ingin mengingatkan pihak yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan masyarakat agar dapat menjalankan tugas mereka dengan adil untuk semua, jangan disebabkan mereka ini tidak sehaluan dengan fahaman kita maka kita meminggirkan mereka ini tanpa balas kasihan," kata Jofri Jaraiee.

100 peneroka Kesedar Chalil isytihar keluar Umno



GUA MUSANG: Impian Umno mahu menawan Kelantan semakin tergugat apabila 100 lagi ahli dan penyokong parti itu mengisytiharkan keluar parti dan menyertai PAS.

Malam tadi seramai 100 bekas ahli dan penyokong Umno di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil dekat sini menyerah borang menyertai PAS yang diketuai bekas anggota jawatankuasa Umno Cawangan Chalil, Mat Ali Ibrahim, 62.

Mat Ali yang menyertai RKT Chalil pada 1983 mewakili rakan-rakan menyerah borang kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Hadir sama pada ceramah Selamat Tinggal Umno, Ketua Pemuda PAS Negeri, Abdul  Latiff Abdul Rahman, Yang Dipertua PAS Gua Musang, Abdullah Husin, Penyelia Dun Galas, Dr Zulkifli Muhamad dan Penyelia Dun Paloh, Saharudin Mustafa.

Mat Ali yang pernah mempunyai hubungan rapat dengan Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah berkata, beliau berjuang bersama Umno selama 40 tahun.

“Saya melihat dan merasai sendiri apa yang berlaku dalam Umno sepanjang tempoh tersebut. Sebelum ini saya diam sahaja terhadap banyak penyelewengan yang berlaku.

“Namun sekarang saya tidak mampu pendam lagi. Sebab itulah saya dengan sokongan kawan-kawan  mengisytiharkan keluar Umno beramai-ramai malam ini,” katanya ketika ditemui selepas ceramah tersebut.

Beliau juga mengakui berlaku perbezaan yang jauh di antara PAS dan Umno, di mana rakyat boleh merasai sendiri program berkebajikan yang dilaksanakan di Kelantan sekarang.

Manakala rakannya, Che Ghani Che Mat, 60 yang masih memiliki nombor keahlian Umno berkata, dasar perjuangan Umno tidak sesuai dengan perkembangan semasa yang berlaku sekarang.

Katanya, perjuangan Umno sudah jauh ketinggalan zaman kerana ia hanya sesuai pada zaman menuntut kemerdekaan sahaja.

“Sebab itulah sekarang mereka melakukan apa sahaja bagi menarik sokongan rakyat termasuk umpan wang ringgit.

“Namun peneroka sekarang sudah celik. Kami sebagai peneroka sudah lama merasai ditipu pemimpin Umno. Nasib peneroka masih di tahap lama dan tidak berubah,” ujarnya.

Datuk Fauzi Shaari serah borang sertai PAS





(Datuk Fauzi menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Presiden PAS - gambar Sinarharian.)

TAIPING: Sebagaimana yang dijangka, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari dengan rasminya menyertai PAS malam tadi.

Borang permohonan menjadi ahli PAS diserahkan beliau kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta timbalannya, Haji Mohamad Sabu dalam majlis pengisytiharan perdana malam tadi.

Ia diadakan di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang, Larut dekat sini.

Turut serta di majlis itu adalah Ketua Penerangan yang juga Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dan Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain.

Penyerahan borang keahlian disaksikan kira-kira 5,000 penyokong Pakatan Rakyat (PR).


Bukan mahu jadi calon



Dalam ucapannya, Fauzi menjelaskan bahawa tujuan menyertai PAS bukan berniat untuk menjadi calon atau mempunyai kepentingan tertentu, tetapi sekadar mahu membantu usaha ke arah kerja-kerja Islam yang dibawa PAS.

Katanya, kehadiran beliau pada majlis itu juga sebagai pengenalan kepada penyokong dan masyarakat sebelum bergiat aktif selepas ini.

Beliau turut menjelaskan, penyertaan dalam PAS itu dibuat selepas yakin dirinya tidak terlibat dalam sebarang kes jenayah semasa berada dalam pasukan polis.

Semasa menjadi Ketua Polis Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Tindakan beliau pernah dikecam oleh seorang menteri yang menyifatkan tindakan Fauzi akan menghalau pelancong dari negara ini.

Dalam ceramah itu, Fauzi yang berasal dari Pantai Besar, Batu Kurau, Perak menambah, beliau selepas ini akan membantu PR khususnya PAS melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan.