Tuesday, June 5, 2012

Itulah Praktiknya Semasa Lebih 20 Tahun Memerintah, jadi?

Dr M: Tiada kesaksamaan untuk orang 'istimewa'


 
Dalam satu tulisan penuh sindiran hari ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kesaksamaan undang-undang tidak wujud, terutama apabila melibatkan calon untuk perubahan kuasa "yang disukai oleh kuasa asing."

Walau tidak menamakan individu yang dimaksudkan, tulisan bertajuk "Equality Before the Law" yang dimuatkan di blog chedet.cc itu jelas merujuk kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahathir memulakan hujahnya dengan menyatakan bahawa golongan yang tidak mampu membiaya peguam yang "pandai dan pintar" atau peguam yang merupakan "ahli politik hebat" dan boleh "menakutkan hakim" akan tewas dalam kes mereka.

Oleh itu, undang-undang sentiasa memihak kepada golongan kaya, bukan golongan miskin, katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu dengan memberi contoh bahawa peguam yang bijak, ditakuti dan dibayar mahal mungkin sekali memenangi kes berbanding peguam biasa.

"Tidak kurang juga undang-undang antarabangsa. Jika anda memimpin negara yang berkuasa, anda boleh membunuh beberapa juta (orang) dan apa yang berlaku ialah satu tugu, sebagai seorang wira perang, didirikan untuk menghargai anda," katanya.