Thursday, June 21, 2012

Kenapa JAWI Tidak Mendakwa Tuan Punya Syarikat?

Borders dakwa JAWI menganiaya kakitangannya
 
Kedai buku Borders mengecam pendakwaan pengurusnya, Nik Raina Nik Abdul Aziz oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta mendakwa jabatan itu telah menganiaya dan melanggar hak perlembagaan dan perundangan Nik Raina.

azlanYau Su Peng, Ketua Pegawai Operasi Berjaya Books Sdn Bhd - yang memiliki dan mengendali rangkaian kedai buku Borders di Malaysia, berkata syarikat itu sangat kecewa dengan pendakwaan tersebut.

Nik Raina, pengurus kedai buku Borders di Gardens Mall in Mid-Valley City, didakwa semalam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur kerana mengedarkan buku 'Allah, Liberty and Love' tulisan penulis Kanada Irshad Manji, yang telah diharamkan di Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Borders menegaskan bahawa pertuduhan itu adalah ekoran serbuan JAWI di kedai buku Borders di Gardens Mall pada 23 Mei dan merampas buku Manji.

Tetapi buku itu, tegas Yau, belum lagi diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri ketika serbuan itu dibuat.
"Juga tidak terdapat fatwa mahupun apa-apa bentuk pemberitahuan yang dikeluarkan oleh JAWI kepada Borders," katanya.

"Kami difahamkan bahawa Kementerian Dalam Negeri hanya mewartakan pengharaman buku Manji pada 29 Mei dan fakta itu telah diterbitkan pada 14 Jun 14."

Beliau berkata Berjaya Books, pada setiap masa, telah bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan telah mengarahkan pekerjanya, yang beragama Islam dan bukan Islam, supaya membantu siasatan JAWI walaupun syarikat itu tidak tertakluk dalam bidangkuasa JAWI kerana ia adalah entiti non-Muslim.

Pada 5 Jun, syarikat itu telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom meminta bantuan dan campurtangan mereka berhubung tindakan JAWI itu, tetapi sehingga
semalam, belum menerima sebarang jawapan.

"Pihak pengurusan Berjaya Books menyokong kakitangan kami Nik Raina sepenuhnya yang hanya melaksanakan tugasnya sebagai pengurus kedai. Sebagai pengurus kedai, dia tidak mempunyai
pengaruh atau kawalan ke atas pemilihan buku-buku di Borders.

"Buku-buku yang disita itu, tidak pada masa penyitaan dibuat, diisytiharkan telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Ataupun JAWI telah memaklumkan apa-apa kepada Berjaya Buku berhubung buku-buku yang disita," katanya.

'Dilayan secara kasar oleh kakitangan Jawi'


Yau mendakwa Nik Raina telah memberi kerjasama penuh dan mematuhi semua arahan JAWI, dan menghadiri siasatan pada 30 Mei bersama dua rakan sekerja dan turut disertai peguam yang dilantik oleh Borders, tetapi mendakwa mereka telah dilayan secara kasar oleh kakitangan JAWI dan telah dikeluarkan waran tangkap.

Beliau juga mendakwa, JAWI juga enggan membenarkan Nik Raina menemui peguam.
"Kami melihat ini sebagai penganiayaan secara terang-terangan dan melanggar hak perlembagaan dan undang-undang pekerja kami."

Pada 18 Jun, Berjaya Books telah memfailkan di Mahkamah Tinggi permohonan mendapatkan semakan kehakiman berhubung tindakan JAWI itu.

Hishammuddin dan Jamil Khir juga telah dinamakan sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman tersebut.