Wednesday, October 24, 2012

Bara Dendam Yang Belum Padam?

PKR: Sanusi fitnah Anwar, tuduhan tiada asas
Wartawan Sinar Harian

Nik Nazmi Nik Ahmad
Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad
SHAH ALAM - PKR menafikan kenyataan Tan Sri Sanusi Junid, seorang veteran Umno bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menggagalkan agenda Melayu ketika memegang jawatan Menteri Kewangan.
Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, nyata sekali kenyataan Sanusi adalah fitnah semata-mata dan tidak berasas.
"Kenyataan bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Sanusi Junid bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menggagalkan agenda Melayu ketika memegang jawatan Menteri Kewangan adalah tidak berasas sama sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sanusi dan Anwar pernah menganggotai Kabinet ketika era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar dipecat oleh Dr Mahathir pada September 1998.
Selain itu, Sanusi juga pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Umno dan Naib Presiden Umno.
Nik Nazmi berkata, ketaksuban beliau dalam menyerang Anwar dan mempertahankan Dr Mahathir dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin membuatkan beliau tidak nampak penyelewengan ekonomi yang telah menjadikan rakyat Malaysia umumnya dan Melayu umumnya sebagai mangsa.
Daim juga merupakan bekas Bendahari Umno.
Nik Nazmi berkata, menurut Sanusi ketika sebuah forum ekonomi Melayu semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Daim cuba ‘meniru’ dasar anti-Yahudi Jerman dahulu dengan tidak memberikan lesen perbankan kepada masyarakat bukan Melayu.
"Namun Sanusi mendakwa usaha ini digagalkan oleh Anwar yang memberikan lesen perbankan kepada dua kumpulan bukan Melayu iaitu Hong Leong Bank dan Alliance Bank.
"Tuduhan Sanusi tidak berasas. Alliance Bank Malaysia Berhad merupakan syarikat perbankan di bawah Alliance Financial Group Berhad (AFG) yang dikaitkan dengan Tun Daim Zainudin," kata beliau lagi.
Nik Nazmi berkata, Daim dikatakan memiliki ekuiti 14.8 peratus AFG menerusi Langkah Bahagia Sdn Bhd.
Langkah Bahagia bersama-sama pihak-pihak berkaitan syarikat pelaburan Singapura, Temasek Holdings Ltd mempunyai kepentingan di dalam AFG menerusi Vertical Theme Sdn Bhd, katanya.
"Hubungan AFG dan Daim bermula sejak 1982 lagi apabila beliau membeli Malaysian French Bank. Malaysian French Bank kemudian dinamakan Multi-Purpose Bank. Pada 1997, Langkah
Bahagia membeli saham di dalam Hock Hua Bank (Sabah). Salah seorang pemilik saham Langkah Bahagia, Mohd Nasir Ali mengumumkan bahawa beliau bertindak bagi pihak Daim.
"Hock Hua Bank kemudian ditukar nama menjadi International Bank Malaysia Berhad dan digabungkan bersama Multi-Purpose Bank serta enam lagi syarikat kewangan untuk menjadi AFG," kata beliau.
Sanusi yang pernah menjadi Menteri Besar Kedah memberitahu forum ekonomi Melayu semalam bahawa Dr Mahathir dan Daim telah hilang harapan orang Melayu akan mengawal ekonomi.
Apabila mereka melihat kemajuan lambat, mereka memutuskan untuk mengikuti contoh Jerman tidak memberikan lesen perbankan kepada orang-orang Yahudi.
Akan tetapi rancangan tersebut gagal selepas Anwar menjadi Menteri Kewangan yang meluluskan lesen kepada kumpulan perbankan bukan Melayu iaitu Alliance Bank dan Hong Leong Bank.
Nik Nazmi menambah, kemungkinan agenda Melayu yang dimaksudkan Sanusi adalah untuk menjaga kepentingan saham kroni-kroni Umno-BN seperti bagaimana Petronas ditekan untuk menyelamatkan syarikat milik anak Dr Mahathir, Mirzan iaitu Konsortium Perkapalan Berhad sewaktu krisis ekonomi 1997 dengan harga melebihi kadar pasaran.
"Namun yang menghalang usaha tersebut ialah Anwar," katanya lagi.


Reformasi perbankan Dr M diilhamkan oleh dasar anti Yahudi Jerman, kata Sanusi


KUALA LUMPUR, 23 Okt — Reformasi perbankan Tun Dr Mahathir Mohamad diilhamkan oleh polisi lalu negara Jerman untuk mengekang pengaruh kewangan Yahudi bagi membantu orang Melayu tetapi ia kemudiannya digagalkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata bekas menteri kabinet Tan Sri Sanusi Junid hari ini.
Sanusi (gambar) memberitahu forum ekonomi Melayu di PWTC hari ini bahawa Dr Mahathir dan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin telah hilang harapan orang Melayu akan mengawal ekonomi.
Apabila mereka melihat kemajuan lambat, mereka memutuskan untuk mengikuti contoh Jerman tidak memberikan lesen perbankan kepada orang-orang Yahudi.
Akan tetapi rancangan tersebut gagal selepas Anwar menjadi menteri kewangan yang meluluskan lesen kepada kumpulan perbankan bukan Melayu — Alliance Bank dan Hong Leong Bank.
“Kami berpendapat bahawa jika kita tidak boleh mengawal ekonomi, kita akan mengikuti Jerman,” Sanusi berkata di Kongres Ekonomi Melayu di sini.
“Di Jerman lesen perbankan tidak diberi kepada orang-orang Yahudi.”
Beliau berkata sementara lesen sedia ada telah diberikan kepada bukan Melayu, Daim memastikan bahawa semua bank mempunyai pengarah Melayu yang paling penting adalah untuk memastikan semua bank mempunyai pengaruh Melayu.
“Tetapi malangnya kecelakaan besar berlaku. Ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan beliau meluluskan lesen perbankan Alliance Bank dan Hong Leong Bank,” katanya.
“Kami tidak mahu beri. Sudah lama kami kawal.
“Hasilnya sekarang terdapat “dua bank bukan Melayu tanpa pengaruh Melayu,” katanya lagi.
Sanusi adalah bekas setiausaha agung Umno di zaman pemerintahan Dr Mahathir.
Beliau berdiri teguh dibelakang Dr Mahathir semasa krisis Umno yang menyebabkan Anwar yang pada ketika itu timbalan presiden Umno dipecat dari jawatan kabinet dan parti.
Sanusi juga merupakan pengasas kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kemudiannya dipimpin oleh Anwar sebagai presiden.