Wednesday, October 10, 2012

Cuba Kita Bandingkan: Pendapatan Seorang CEO TH dengan 28,000 Jemaah Haji!



Tabung Haji salur subsidi haji RM125 juta tahun ini

10 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji menyalurkan subsidi berjumlah RM125 juta untuk jemaah haji Malaysia bagi musim haji kali ini berbanding sekitar RM100 juta tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini.

Beliau berkata kos subsidi yang ditanggung ialah lebih RM5,000 bagi setiap jemaah muassassah yang mengerjakan haji untuk kali pertama.

Jamil Khir menarik perhatian bahawa Malaysia merupakan antara negara yang mengenakan kos mengerjakan haji paling murah berbanding negara serantau.

"Kalau dibuat perbandingan, Brunei mengenakan kos sekitar RM18,000, Singapura juga sekitar RM18,000, Indonesia pula berbeza mengikut tempat, kalau di Jakarta kosnya sekitar RM15,000.

"Di Thailand, ia sekitar RM16,000 ke RM18,000," katanya menjawab soalan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat mengenai perbezaan caj haji untuk jemaah Malaysia berbanding negara-negara jiran.
  
Jamil Khir berkata kos haji untuk setiap jemaah muassassah Malaysia bagi tempoh kira-kira 40 hari termasuk tiket penerbangan pergi dan balik ke tanah suci, penginapan, makanan dan lain-lain adalah RM9,980 berbanding kos sebenar RM15,150.

Menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), beliau berkata pembinaan sebuah kompleks baharu bagi menggantikan Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya sudah dimulakan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).             

"Dulu, ia (kompleks di Kelana Jaya) dibina kerana dekat dengan lapangan terbang Subang, dan memandangkan lapangan terbang telah berpindah ke Sepang, maka kita telah mulakan projek untuk siapkan bangunan baharu itu," katanya.- Bernama

 Gaji CEO Tabung Haji: Mahfuz sedia dedah dokumen

Harakahdaily,
09 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar sedia mendedahkan dokumen berkaitan kenaikan gaji Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail, yang didakwa kini bergaji RM85,000.

Bagaimanapun beliau berkata, ianya akan dibuat selepas mendengar penjelasan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom terlebih dahulu.

"Ya, saya sedia dedah dokumen-dokumen yang berkaitan dengan kenaikan gaji CEO Tabung Haji itu yang juga ada kaitan dengan menteri terbabit.

"Kita tidak persoal kenaikan itu. Cuma kita mahukan penjelasan, atas perkiraan apa kenaikan itu diberikan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Jamil Khir semalam bahawa kenaikan gaji tersebut tidak ditentukan secara sembarangan dan bukan sesuatu yang tersembunyi.

Jamil Khir yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan bahawa bayaran gaji yang dibuat oleh Tabung Haji mengikut peraturan berdasarkan kepada tahap profesionalisme, kepakaran dan nilai pasaran semasa.

Penjelasan lanjut kata menteri itu hanya akan diberikan dalam Dewan Rakyat kemudian.

Minggu lalu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendedahkan beliau mempunyai bukti penyata gaji Disember 2011 milik CEO Tabung Haji yang hanya bekerja secara kontrak memperoleh gaji RM70,000, bonus RM700,000 serta gratuiti RM490,000.

Pada satu lagi penyata untuk satu bulan pada 2012, gaji Ismee itu meningkat kepada RM85,000 iaitu naik RM15,000.

Mahfuz mempersoalkan bagaimana gaji seorang CEO berstatus kontrak memperolehi gaji sebesar itu berbanding CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berjawatan tetap tidak menikmati gaji selumayan itu malah gaji dan bonus itu sendiri lebih daripada yang diperolehi perdana menteri.

"Kalau pencarum simpan RM1 juta sekalipun, dengan dividen 6 peratus, baru dapat RM60,000.

"Ini, bonus dan gratuiti untuk CEO kontrak sahaja RM1,19 juta," katanya.