Tuesday, October 16, 2012

Hari Semakin Getir Buat PM Najib?(3)

2 syarikat k'jaan rugi lebih RM1 bilion
  • Zulaikha Zulkifli
 
LAPORAN AUDIT Dua syarikat kerajaan Rangkaian Pengangkutan Deras Sdn Bhd (RapidKL) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengalami kerugian lebih RM1 bilion sehingga akhir 2010, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Menurut laporan itu, IWK terus mengalami kerugian sehingga mencatatkan angka RM888.81 juta sehingga akhir 2010, manakala RapidKL pula mengalami kerugian terkumpul RM293.82 juta antara 2008 hingga 2010.

Laporan yang dibentangkan di Parlimen hari ini antaranya menunjukkan IWK menanggung kerugian akibat terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan untuk menampung perbelanjaan operasi yang semakin meningkat.

RapidKL pula dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini hanya mencacatkan keuntungan pada tahun 2009 selepas mendapat peruntukan kerajaan berjumlah RM112.23 juta bawah pakej rangsangan ekonomi.

Audit juga mendapati terdapat kelemahan pengurusan dokumen kewangan serta kawalan dalaman sistem kutipannya.

Maklum balas RapidKL dalam laporan tersebut menyebut, kerugian yang dialami itu berpunca daripada kos pekerja dan kos penyelenggaraan yang sentiasa meningkat.

Selain itu, syarikat itu juga tidak pernah meningkatkan kadar tambang sejak mula beroperasi pada 2005 dan menganggarkan keadaan kewangan yang "lebih sukar" bagi membiayai perbelanjaan operasi sekiranya tidak menaikkan kadar tambang tren dan bas.

Syarikat itu juga akan terus memerlukan bantuan berterusan daripada Prasarana dan kerajaan sekirana tidak berbuat demikian, menurut maklum balas itu.

Bagaimanapun, syarikat itu berikrar untuk terus memperbaiki kedudukan kewangan syarikat serta memastikan semua inisiatif untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos operasi berjalan lancar.

IWK pula dalam maklum balasnya kepada Jabatan Audit menyebut, prestasi kewangannya kurang memuaskan sejak tiga tahun lalu kerana kadar tarif pembetungan yang rendah sedangkan kos operasinya meningkat saban tahun.

Penyata kewangan IWK yang diaudit menunjukkan peningkatan dalam pendapatan berjumlah RM156.03 juta (27.5%) bagi tahun 2009 berbanding tahun sebelumnya, namun mengalami penurunan pendapatan pada tahun 2010 berjumlah RM105.34 juta (14.6%) disebabkan faktor berkenaan.

Menurut laporan itu, kadar tarif pembentungan negara tidak pernah dinaikkan sejak tahun 1994, malah diturunkan kerajaan pada tahun 2004 akibat rungutan pelanggan.

Kerajaan juga menyalurkan subsidi berjumlah RM1.32 bilion dari tahun 2001 hingga 2011 bagi menampung defisit kos operasi tersebut.

IWK kemudiannya tidak lagi bertanggungjawab ke atas perkhidmatan untuk tangki septik individu dan komunal apabila  Akta Industri Perkhidmatan Air dikuatkuasakan pada 2008.

"Ini menyebabkan pendapatan IWK terus menurun akibat kehilangan anggaran 11,348 pelanggan tangki septik individu," kata laporan itu.

Syarikat itu juga menyatakan untuk menjalan usaha berterusan bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kos dengan memperkenalkan beberapa inisiatif seperti perlaksanaan Continous Improvement Projects (CIP).

"Perlaksanaan CIP yang dimulakan pada bulan Februari 2012 akan siap pada 31 Januari 2013 dan seterusnya pada setiap tahun. Kajian telah dibuat dengan pihak berkenaan untuk penyelarasan semula struktur dan kadar tarif pembetungan.

Menurut laporan itu lagi, cadangan Semakan Semula Kadar Tarif ini dijangka akan dibentangkan oleh pihak kementeritan tenaga teknogi hijau dan air kepada Kabinet pada 31 Disember nanti.


Pegawai kastam 'membeli-belah' RM1.82 juta
  • Aidila Razak
 
Seorang pegawai kastam membeli ratusan barangan yang tidak diperuntukkan yang mencecah RM1.82 juta, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Pegawai tersebut, yang tidak dinamakan dalam laporan itu, telah membuat pesanan secara lisan bagi barangan tersebut, yang sesetengahnya berharga ribuan ringgit, dan melebihi kuantiti yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penetapan Permohonan Pembelian Peralatan Logistik Pencegahan.

Pegawai itu membuat pesanan berikut:
  • Tambahan 50 sistem GPS sedangkan dia hanya diberi kuasa untuk membuat pesanan bagi 30 sahaja, pada harga RM6,174 setiap satu;
  • Tambahan 100 lampu Search Light Hell sedang jumlah yang diluluskan adalah 50 sahaja pada harga RM1,292,60 setiap;
  • 60 lampu beacon pada harga RM1,311 setiap satu, sedang tiada kelulusan untuk membelinya.
  • 250 lampu suluh yang boleh dicas semula pada harga RM1, 217,16 setiap satu, sedang tiada kelulusan untuk membelinya.
  • 100 walkie-talkie pada harga RM5,259 setiap satu, sedang tiada kelulusan untuk membelinya.
Pegawai tersebut telah tidak diberi kuasa untuk membuat pesanan  bagi lampu beacon, lampu suluh dan walkie-talkie.
Menurut laporan audit, pembelian itu dibuat pada 2007 tetapi pembekalnya, True Target Resources, tidak dapat dibayar kerana bil tersebut telah melebihi bajet perolehan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Ia menambah, Perbendaharaan pada tahun 2010 telah meluluskan
pembayaran dan satu siasatan dijalankan terhadap pelanggaran peraturan tersebut.

Kementerian Kewangan pada 22 Disember 2010 telah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Kastam supaya membuat laporan polis terhadap pegawai terbabit.

"Bagaimanapun, tiada tindakan diambil terhadap pegawai terlibat kerana beliau telah meletakkan jawatan dengan notis 24 jam pada 26 Februari 2008," kata laporan audit tersebut.

Pada 24 Mei 2012, Jabatan Kastam membuat laporan polis terhadap
pegawai berkenaan.