Monday, January 21, 2013

Cuba Anda Bandingkan...Apa Kelebihannya Institusi Luar Negara Berbanding Dalam Negara?

UMS ungguli penyelidikan sains sukan tahun lepas

21 Januari 2013
KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengungguli penyelidikan sains sukan tahun lepas apabila empat penyelidik sains sukan UMS menerima geran penyelidikan yang berjaya melahirkan atlet mampu memperoleh kemenangan dalam sesuatu kejohanan.
  
Menurut kenyataan UMS, pasukan Penyelidikan Sains Sukan Berprestasi Tinggi diketuai Prof Madya Dr Razali Abdullah mendapat geran komuniti RM50,000 daripada CIMB Foundation pada 2011 dan RM30,000 pada tahun lepas untuk melaksanakan program ‘Ranau – Run for Life’ dengan modul dan latihan diberikan kepada jurulatih sekolah larian jarak sederhana di daerah Ranau.
  
Penyelidikan tersebut berjaya melahirkan beberapa atlet yang memperoleh pingat di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Sukan Malaysia (Sukma).
  
Dr Mohamad Razali juga pakar rujuk sains sukan bagi kontinjen Sukma Terengganu yang telah menjuarai Sukma empat kali berturut-turut.
  
UMS turut dianugerah RM90,000 daripada Kementerian Pengajian Tinggi menerusi Geran Skim Penyelidikan Eksploratori (ERGS) pada Julai lepas bagi menjalankan kajian mengenai kesan latihan otot terhadap postur pemanah remaja, diketuai Pathmanathan K. Suppiah yang juga ahli panel kursus sains sukan Majlis Sukan Negara (MSN) dan panel program pembangunan olahraga MSN.

Geran Dana Pembudayaan Penyelidikan (RAGS) 2012 dari Kementerian Pengajian Tinggi turut dianugerahkan kepada dua penyelidik sains sukan UMS iaitu Dr Mohamad Nizam Nazarudin, yang mengkaji kesan beg sekolah berat pada sistem otot dan rangka murid sekolah rendah, dan Hasnol Noordin bagi kajian bertajuk 'Model Prestasi Psiko-Biologi Pemain Ragbi Elit Remaja Kebangsaan dengan Pencapaian Pasukan.'
  
Kedua-dua kajian itu menerima geran masing-masing bernilai RM40,000.
  
Pasukan penyelidik UMS diberi pengiktirafan pada awal bulan ini apabila dua daripada tiga usul kajian mereka terpilih menerima Geran Skim Penyelidikan Sukan (SRGS) daripada Kementerian Pengajian Tinggi.
  
Kajian yang berjaya memperoleh dana tersebut ialah mengenai dimensi baharu aerobik dan kajian bertajuk ‘Prototaip Instrumen Latihan dan Pengukuran Ketangkasan Reaktif Atlet UMS'.
  
Kedua-dua kajian tersebut, yang menerima dana berjumlah RM70,000, akan memanfaatkan kontinjen Sukma Sabah jika Sabah ingin menempa nama sebagai juara Sukma. - Bernama


Muhyidin dapat 'doktor', USSA dapat projek

Harakahdaily, 21 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Trend untuk menerima anugerah doktor kehormat nampaknya menjadi satu amalan menjelang pilihan raya kali ini.

Selepas Perdana Menteri menerimanya, timbalan beliau, Tan Sri Muhyidin Yassin pula menerimanya.

Namun, ijazah kehormat yang diterima Muhyidin menjadi isu sekarang apabila pihak yang menerimanya mendapat kontrak besar dari penerima ijazah ini.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta menjelaskan kenapa kontrak yang diberikan kepada The United States Sports Academy (USSA) tidak melalui tender terbuka.

Beliau perlu menjelaskan perkara ini selepas  timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin menerima ijazah doktor kehormat dari kolej itu selepas menerima kontrak bernilai RM22.9 juta.

Penganugerahan doktor falsafah kohormat (PhD) kepada Menteri Pelajaran kini menjadi bualan ramai.

Ini kerana, sebelum ini kolej yang tidak ternama dan hanya mempunyai 600 pelajar luar (distance -learning) itu baru saja mendapat kontrak untuk melatih 1,000 pelajar dari Malaysia.

Pembelaan cepat yang dibuat oleh Presiden Akademiknya, Dr Thomas P Rosandich bahawa ia dibuat kerana "pencapaian seumur hidup Muhyidin kepada sukan dan layak untuk menerimanya" juga dipertikaikan.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua (gambar) dalam kenyataannya berkata, Muhyidin menerima doktor kehormat itu ketika negara jatuh teruk dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011.

Malaysia telah jatuh teruk dalam pencapaian metematik dan sains antara tahun 1999 dan 2011.

Isu yang lebih besar adalah kenapa Muhyidin telah diberikan ijazah itu ketika satu kontrak besar diberikan kepada kolej tidak ternama yang terletak di Daphne Alabama itu.

Muhyidin telah menganugerahkan kontrak untuk melatih semula 1,000 guru-guru sukan di USSA melalui “International Diploma in Physical Education and Scholastic Sports (IDPESS)” dengan nilai RM22.9 juta.

Menurut Tony, USSA mengaku, IDPESS adalah satu promram baru yang direkabentuk khas atas permintaan Muhyidin.

Tony meminta Muhyidin menjelaskan kenapa kos melatih guru sukan di USSA itu empat kali ganda berbanding Diploma in Pengajian Sukan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kos kontrak yang dianugerahkan kepada Syarikat KH Sport Sdn Bhd ini adalah RM22.9 juta.

Sedangkan kos untuk melatih guru sukan di UITM hanya RM5,709 seorang untuk enam semester.