Saturday, February 16, 2013

Kalau Terkena Batang Hidung Sendiri Macamana?

 Hishammuddin: Tahan Senator Australia tiada unsur politik
ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
PUTRAJAYA - Penahanan  Senator Australia Nick Xenophon di lapangan terbang di Sepang pagi tadi tiada kaitan dengan unsur politik dan dibuat mengikut "undang-undang", kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, langkah itu sesuatu yang biasa yang turut dilalui oleh rakyat Malaysia yang ke luar negara.

"Saya difahamkan oleh Ketua Pengarah Imigresen pagi tadi, beliau masih ditahan. Ini isu imigresen, dan ini perkara biasa rakyat Malaysia juga melalui perkara yang sama dan tidak dibenarkan masuk. Tidak ada yang istimewa pada dia ( Xenophon).

"Penahanan ini juga tiada unsur politik. Saya percaya penahanan itu mengikut undang-undang," katanya selepas berucap pada Majlis Jelajah Anak Malaysia dekat sini pagi tadi.

Menurut beliau, spekulasi yg mengatakan penahanan Xenophon adalah kerana beliau dianggap musuh negara adalah tidak benar.

"Tidak perlu buat spekulasi. Ini perkara biasa jangan putar belitkan keadaan.

"Kita ambil tindakan mengikut undang-undang. Pihak imigresen akan selesaikan perkara ini," katanya.
Xenophon telah dihalang daripada memasuki negara ini oleh Jabatan Imigresen.
Ibrahim Yaakob, Ketua Staf Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Xenophon. berada di LCCT untuk proses penghantaran pulang ke Australia.
“Beliau adalah salah seorang delegasi dari Australia yang datang ke Malaysia untuk membuat kajian mengenai proses pilihan raya.

“Mereka datang dengan inisiatif dan perbelanjaan sendiri,” katanya.

Xenophon merupakan salah seorang daripada delegasi antarabangsa yang terlibat dalam memantau perhimpunan menuntut reformasi pilihan raya anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0)  tahun lalu.