Wednesday, February 20, 2013

Memang Pakar Putar!

Dr M beritahu mahkamah beliau faham syarat kontrak ‘seperti pelajar sekolah’

Oleh Ida Lim
Gambar fail Tun Dr Mahathir Mohamad.
KUALA LUMPUR, 19 Feb — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir berkata beliau tidak bersetuju dituduh berbohong apabila memberi keterangan mengenai perbicaraan penipuan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik mengenai pembelian tanah Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang (PKFZ). Ketua pendakwaraya Datuk Tun Majid Tun Hamzah menyoal Dr Mahathir berkenaan kenyataan bercanggah penggunaan perkataan "harga tunai" dan "harga kontrak" apabila menerangkan harga RM25 per kaki persegi (psf) untuk harga tanah PKFZ.
Tun Majid berkata tidak perlu jadi seorang akauntan, peguam atau doktor untuk memahami perkataan "tunai", berkata pelajar sekolah pun tahu maksud "tunai", sebelum mengatakan Dr Mahathir "tidak bercakap benar".
"Maafkan saya, saya bercakap benar. Saya bercakap demikian kerana saya tidak faham perkataan-perkataan itu," kata Dr Mahathir.

"Dan pelajar sekolah tidak faham harga tunai, harga kontrak dan harga istimewa.
"Mereka mungkin memahami apa itu tunai, tetapi mereka tidak faham apa itu harga tunai, harga kontrak atau harga istimewa," Dr Mahathir yang merupakan saksi pembela keempat mengulangi keterangannya.
"Saya hanya seperti pelajar sekolah pada ketika itu," katanya lagi.
Pada mulanya, Tun Majid membandingkan keterangan Dr Mahathir semasa sesi soal balas Oktober lalu dan keterangannya semalam.
Dr Mahathir berkata harga RM21 psf ialah "harga tunai" sementara RM25 psf adalah "harga kontrak", bagaimanapun Tun Majid mengatakan bahawa RM25 psf adalah "harga tunai" semasa keterangan beliau pada Oktober lalu.
Dr Mahathir kemudian berkata beliau bukan seorang akauntan jadi beliau tidak faham dengan perkataan teknikal.
"Saya mengakui saya salah menggunakan perkataan teknikal tetapi saya mengakui saya bukan seorang akauntan," kata Dr Mahathir yang juga Menteri Kewangan semasa pembelian tanah itu.
Dr Ling, yang berkhidmat sebagai menteri pengangkutan selama 17 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2003, didakwa menipu Kabinet untuk meluluskan pembelian tanah bernilai 999.5 ekar tanah untuk projek PKFZ, yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan.
Projek yang pada mulanya bernilai RM1.1 billion apabila dicadangkan Dr Ling pada 1997, meningkat kepada RM4.6 billion pada 2007.
Menurut kajian dari firma perakaunan PricewaterhouseCoopers (PwC) mendedahkan pada 2009 jumlah kerugian termasuk kadar faedah dari pembayaran hutang mungkin mencecah RM12.5 billion.
Sejak Disember 2009, enam individu didakwa di mahkamah termasuk presiden MCA, Dr Ling, seorang lagi bekas menteri pengangkutan, bekas timbalan presiden MCA Tan Sri Chan Kong Choy. Kedua-duanya dituduh menipu Kabinet.
Dr Ling juga menghadapi dua tuduhan alternatif menipu Kabinet dengan mempercayai bahawa pembelian -- pada RM25 psf dan 7.5 peratus kadar faedah sudah diketahui dan dipersetujui JPPH walaupun tidak ada sebarang persetujuan.
Beliau bakal menghadapi penjara sehingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali dibawah seksyen 418 Kanun Keseksaan. Dakwaan alternatif dikenakan penjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.