Malaysia wajib memberi tekanan kepada Amerika agar segera membebaskan Manning.
Chelsea E. Manning atau nama maskulinnya Pte First Class Bradley Edward Manning telah dijatuhkan hukuman penjara 35 tahun kerana didapati bersalah membocor ratusan maklumat sulit ketenteraan Amerika Syarikat kepada Wikileaks.
Pendedahan itu dikatakan yang paling besar dalam sejarah Amerika dan ekoran pembocoran rahsia tersebut Manning ditangkap dan dikurung (Solitary Confinement) dengan tempoh yang panjang.
Antara maklumat rahsia yang dibocorkan dan menjadi tatapan dunia adalah video bagaimana askar elit Amerika membunuh rakyat Iraq tanpa mengenal pasti sasaran terlebih dahulu. Dalam erti kata lain, menembak rambang rakyat awam tanpa justifikasi yang kukuh.
Umum mengetahui perang di Iraq dan Afghanistan adalah pementasan ‘teater’ George W. Bush dalam usahanya untuk meyakinkan dunia bahawa pengganas sedang merancang untuk mengambil alih dunia. Dari sudut pandang yang lain, Bush mahu mengolah persetujuan rakyat dunia untuk mengata ‘Ya’ kepada perang melawan pengganas agar dunia menjadi lebih ‘aman’.
Skrip direka dan pelakon utama dikenal pasti. Al-Qaeda dan regim Saddam Hussein dipilih menjadi watak utama walaupun dua entiti ini pernah suatu ketika dahulu menerima wang dari badan inteligen Amerika CIA untuk membeli senjata dan berlatih perang. Desas-desus turut bertiup kencang bahawa Saddam juga pernah menggunakan wang CIA ini untuk berkahwin dengan isterinya Samira Shahbandar.
Manning adalah penganalisis maklumat inteligen (Intelligence Analyst) sewaktu berkhidmat dalam pasukan tentera Amerika. Segala maklumat yang diberi oleh mata-mata akan diterima bulat-bulat oleh Manning.
Oleh itu, Manning sedar bahawa segala rancangan menentang ‘pengganas’ di Iraq dan Afghanistan hanyalah wayang kulit yang dipentaskan untuk bacaan rakyat dunia.
Tidak pernah sekalipun Manning menerima maklumat tentang Weapon of Mass Destruction (WMD) yang dikatakan milik Saddam Hussein.
Satu lagi pembohongan nyata dari Bush serta sekutu rapatnya dari Barat. Hingga ke hari ini rupa bentuk senjata pemusnah itu belum dapat dilihat oleh kita semua.
Golongan Neo-Con terancam
Pendedahan tergempar dan berani yang dilakukan oleh Manning itu memberi tamparan hebat kepada Amerika. Tahun demi tahun media massa milik negara Uncle Sam memainkan isu keganasan dan perang terhadap pengganas.
Tidak cukup dengan itu berbillion dollar Amerika dilabur untuk terus melakonkan pementasan pembunuhan kepada dunia. Bukan sahaja nyawa masyarakat Iraq dan Afghanistan yang menjadi korban, malah nyawa anak muda Amerika sendiri menjadi taruhan.
Jika dulu blok komunis menjadi mangsa (Vietnam dan China) era Bush Jr. menggunakan pendekatan yang sama dengan mengolah minda dunia dengan gerakan esktremis atau pelampau agama.
Semua ini dilakukan oleh Amerika untuk memastikan hala tuju Neo-Con (Neo-Conservative) yang mengajukan idea peperangan demi memastikan pusingan dolar terus berputar selain mahu mengawal tindak tanduk kuasa besar seperti Iran dan China dari mencabar tongkat kuasa Amerika.
Tidak lupa juga kepentingan telaga minyak di Iraq dan negara Arab lain supaya tidak jatuh ke tangan pihak ‘musuh’. Israel yang juga anak emas Amerika wajib dilindungi walau dengan apa cara sekalipun.
Jadi dengan terbocornya maklumat sulit ketenteraan Amerika yang kini jelas menunjukkan penipuan, golongan Neo-Con yang bersarang di Rumah Putih (White House) tidak boleh berdiam diri mereka kini seperti cacing kepanasan.
Manning harus disekat dari terus bersuara. Manning wajib dilupuskan dari ingatan dunia. Manning wajib disalib atas kesalahan membantu pihak ‘musuh’.
Pemenjaraan Manning atas tuduhan membantu pihak musuh menjadi kalimat untuk menakutkan rakyat Amerika dari terus berucap tentang kebenaran.
Bebaskan Bradley Manning
Sejurus selepas Manning ditangkap, aktivis hak asasi manusia dan aktivis anti perang seantero dunia mula berkempen untuk menyedarkan masyarakat dunia bahawa perang di negara Teluk itu adalah satu jenayah besar terhadap manusia serta penipuan terbesar dalam sejarah peradaban dunia.
Akademik serta ahli musik turut sama melahirkan rasa bimbang terhadap tuduhan yang dikenakan ke atas Manning. Tariq Ali seorang cendikiawan bersama-sama Roger Waters ahli kumpulan musik tersohor Pink Floyd adalah antara muka popular yang bersama-sama menuntut pembebasan Manning.
Ceramah besar-besaran dilakukan di seluruh Amerika bagi menyedarkan rakyat mereka tentang segala tipu helah Washington yang melibatkan nyawa askar Amerika sendiri.
Apa yang boleh kita lakukan
Sebelum Manning dijatuhkan hukuman, beliau telah mengaku di hadapan hakim bahawa apa yang beliau lakukan adalah atas dasar kebenaran.
‘Yes your honour, I wrote this statement in confinement, I was deployed to Baghdad. I want the people to know the truth.’
Itulah kata-kata Manning sewaktu perbicaraan beliau.
Manning tidak begitu bernasib baik seperti whistleblower yang lain. Edward Snowden dan Julian Assange terselamat dari dipasung oleh Amerika dan sekutunya.
Mereka berdua sempat mendapat perlindungan atau suaka politik. Manning tidak dapat lari dan kini berhadapan dengan hukuman yang paling berat dan bakal menghabiskan sisa hidupnya di dalam penjara hanya kerana memberitahu perkara yang benar.
Melihat ketidakadilan ini, adakah kita umat manusia akan terus berdiam diri dan mengharapkan agar seorang lagi Bradley Manning muncul? Atau apakah kita akan terus merasa selesa tatkala Manning menghabiskan usia mudanya dibelakang kurungan besi? Sanggupkah
kita membiarkan nyawa seorang lagi manusia yang tidak berdosa untuk terus dibunuh?
Tekanan keras harus diberikan kepada Amerika. Chelsea Manning wajib dilepaskan dengan kadar segera dan sosok yang wajib dibawa ke mahkamah untuk dibicara dan dihukum adalah George W. Bush, Tony Blair, Ehud Barak, Condolezza Rice serta Dick Cheney kerana melakukan pembunuhan massa ke atas masyarakat dunia.
Pemimpin Malaysia wajib mengutuk tindakan berat sebelah Amerika ini. Jika kita boleh mengutuk serangan di Mesir baru baru ini mengapa tidak akan hal ini. Jelas jenayah kemanusian telah dilakukan sekali lagi oleh Amerika Syarikat!
Saya adalah Chelsea E. Manning. Kita semua adalah Chelsea E Manning.
Untuk membantu dan mengetahui info lanjut tentang Bradley Manning layari http://www.bradleymanning.org/