Umat Islam bukan sahaja berpecah ke dalam
beberapa mazhab dan fahaman tetapi juga berpecah dalam perebutan kuasa
dan harta kekayaan.
Zaman terus berputar. Keadaan berulang kembali sebagaimana yang berlaku dalam sejarah masa lalu. Realiti hari ini, umat Islam dilanda perpecahan dan peperangan. Lihat sahaja apa yang berlaku di Syria, Iraq, Mesir, Turki, Bahrain dan banyak lagi negara Islam.
Umat Islam bukan sahaja berpecah ke dalam beberapa mazhab dan fahaman tetapi juga berpecah dalam perebutan kuasa, rakus dan terpesona dengan harta kekayaan.
Rasulullah saw menerusi wahyu telah menyebut bahawa umat Islam akan bercerai-berai dan berselisih serta mengikuti jejak umat-umat sebelum mereka seperti yang berlaku kepada umat Nabi Musa dan Nabi Isa.
Imam Bukhari, Muslim dan beberapa ulama lain meriwayatkan dari Abu Sa’id bahawa Nabi saw bersabda: “Kalian benar-benar akan mengikuti jejak orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga apabila mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun nescaya kamu ikut.”
Kemudian aku bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah orang-orang Yahudi dan Nasrani yang dimaksudkan? Baginda menjawab: “Lalu siapa lagi.”
Jalaluddin as Suyuthi memetik dari Ibnu Majah, Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim yang meriwayatkan dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah saw bersabda, “Bani Israel berpecah menjadi 71 sekte dan umatku akan berpecah menjadi 72 sekte; kesemuanya di dalam neraka kecuali satu.”
Mereka bertanya, “siapakah yang satu itu?” Baginda menjawab, “Al Jama’ah, kemudian baginda membaca ayat “dan berpeganglah kamu sekalian dengan tali Allah, janganlah kamu bercerai berai,” (Surah Ali Imran, ayat 103).
Hadith masyhur
Ibnu Taimiyah menegaskan bahawa hadith tentang terpecahnya umat Islam menjadi 73 golongan adalah berita yang masyhur yang diriwayatkan dari beberapa sahabat seperti Abu Hurairah, Sa’ad bin Abi Waqqash, Muawiyah Abu Suffian, Amru bin Auf dan lain-lain.
Rasulullah saw pernah memohon kepada Allah swt agar umat ini dihindarkan dari perselisihan dalam agama, namun permintaan itu tidak dikabulkan.
Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari ‘Amr bin Saad dari Saad ibn Abi Waqqash bahawa Nabi saw bersabda: “Aku memohon kepada Tuhanku tiga perkara maka Dia (Allah) mengabulkan untukku dua dan menolak yang satu.
“Aku memohon kepada Tuhanku agar Dia tidak membinasakan umatku dengan kekeringan massal maka Allah mengabulkannya untukku dan aku memohon kepada Tuhanku agar Dia tidak membinasakan umatku dengan penenggelaman maka Dia memberinya untukku.
“Dan aku memohon kepada-Nya agar tidak menjadikan pertikaian di antara mereka maka Dia menolaknya.”
Sila rujuk Ibn Taimiyah dalam kitabnya ‘Iqtidha’ ash Shirath al Mustaqim, Kanzul Ummal, dan 122 riwayat dari Ahmad, Ibnu Majah dari Saad dengan sanad yang sahih, al Tirmidzi, an Nasa’i, Ibnu Hibban dan Dhiya’ al Maqdisi dari Khabbab.
Perselisihan umat adalah siksa Allah swt atas umat Islam sebagaimana ditegaskan Allah swt dalam Surah al An’am ayat 65, sesuai dengan apa yang diriwayatkan Bukhari dalam Sahihnya dari Jabir bin Abdullah al Ansari.
Firman Allah dalam ayat tersebut yang bermaksud: “Katakanlah: Dialah yang berkuasa untuk mengirimkan azab kepadamu, dari atas kepalamu atau dari bawah kakimu atau Dia mencampurkan kamu dalam golongan-golongan (yang saling bertentangan) dan merasakan kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain. Perhatikanlah, betapa Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti agar mereka memahaminya.”
Siksa Allah
Ayat ini menerangkan tentang siksa Allah swt yang ditimpakan kepada mereka yang melanggar perintah Allah dan melakukan kerosakan di atas muka bumi.
Ketika turun ayat ini, Nabi saw bersabda: “Janganlah kamu kembali kepada kafir setelah wafatku; sebahagian dari kalian menebas leher sebahagian yang lain.”
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah saw bersabda: Janganlah kamu murtad sepeninggalku; sebahagian dari kalian menebas leher sebahagian yang lain.”
Lalu para sahabat berkata, “Apakah itu terjadi sedangkan kami bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan engkau adalah Rasul Allah?”
Baginda menjawab, “Ya, benar.” Kemudian sebahagian sahabat berkata, “Tidak mungkin itu terjadi, mungkinkah kami saling berbunuh-bunuhan padahal kami sama-sama Muslimin.”
Inilah fitnah kekuasaan dan kerosakan agama dan jual beli agama yang dibimbangi Rasulullah saw yang akan berlaku di kalangan umat Islam sepeninggal baginda dan ternyata ianya telah dan sedang berlaku hari ini.
Namun untuk menghindari dari perselisihan, perbalahan, permusuhan dan peperangan sesama umat Islam, Allah memerintahkan kita berpegang kepada ayat 103 dari Surah Ali Imran yang disebut di awal tadi.
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.”
Inilah yang menjadi asas. Ayat yang mulia ini, memulainya dengan perintah untuk berpegang teguh “wa’ tashimuu”.
“Wa’ tashimuu” adalah perintah untuk bersatu, menyatukan kalimat dan saling menyempurnakan. Akan tetapi, perintah-perintah ini bukan ditegakkan di atas prinsip hizbiyah, fanatik (taksub) kepada puak, nasionalisme atau atas dasar tujuan duniawi.
Namun I’tisham yang diperintahkan tersebut adalah persatuan dengan tali Allah iaitu dengan agama Allah melalui Kitabullah (Al Quran) dan sunnah NabiNya.