Thursday, January 27, 2011

Panas! : Phang letak jawatan anggota panel SPRM

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani

 

Phang dituduh cuba menyogok seorang ketua setiausaha kementerian tahun lalu. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 27 Jan — Tan Sri Robert Phang mengumumkan keputusannya meletakkan jawatan sebagai anggota panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran dakwaan bahawa beliau pernah cuba untuk menyogok seorang ketua setiausaha kementerian tahun lalu.
Phang berkata beliau memutuskan demikian kerana mahu melindungi integriti diri beliau dan juga SPRM.
Semalam, SPRM membenarkan Phang terus menjadi anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) sehingga tamat tempoh keanggotaan penggal pertama pada 24 Februari ini.
Keputusan sebulat suara itu dicapai dalam satu mesyuarat PPPR semalam.
Phang sebelum ini memohon pelepasan selaku anggota panel berkenaan bagi membolehkan SPRM menyiasat secara bebas dakwaan rasuah yang membabitkannya.
Menurut kenyataan itu, dakwaan yang disebarkan oleh sebuah blog menyatakan Phang telah cuba memberi rasuah kepada seorang ketua setiausaha sebuah kementerian pada tahun lepas.
Phang mendakwa beliau menjadi mangsa serangan untuk menakut-nakutkan beliau selepas membangkitkan kebimbangan berhubung kurangnya tindakan dalam skandal MAS.
Phang yang juga Jaksa Pendamai secara konsisten menggesa agar Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail disiasat berhubung dakwaan rasuah.
Katanya, penjelasan Abdul Gani kepada panel itu telah gagal untuk mengetepikan kesangsian mengenai “hubungannya” dengan  Shahidan Shafie, seorang proksi bekas pengerusi eksekutif MAS Tan Sri Tajuddin Ramli.
Tambah beliau, tindakan membunuh karakternya telah diatur untuk merosakkan reputasi beliau oleh mereka dalam dan luar kerajaan.
Malah kata Phang, beliau tidak terkejut dengan serangan yang berkaitan dengan bisnes masa lalunya di Sabah memandangkan Abdul Ghani dan juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk VK Liew adalah dari Sabah.
Liew menggesa agar SPRM memulakan siasatan terhadap Phang selepas dakwaan ke atasnya muncul di blog.
Tajuddin merupakan pengerusi eksekutif MAS dari 1994 hingga 2001.
Ketika era kepimpinannya syarikat penerbangan negara itu berhadapan dengan kerugian mencecah RM8 bilion — yang paling besar, menyebabkan aduan dibuat ke atas beliau.
Phang menuntut agar Abdul Gani menjelaskan dakwaan bahawa pemergiannya ke Mekah untuk menunaikan haji tahun lalu ditaja oleh Shahidan, yang dikatakan turut berada di Mekah.(minsider)