Najib menongkah arus!
![]() Cadangan untuk mengawal internet sejak zaman Mahathir Mohamad bukan lagi sekadar omong-omong, apabila tersebarnya khabar bahawa pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) yang bertujuan untuk memperluaskan kuasa Menteri Dalam Negeri agar memasukkan cakarnya ke ruang internet, bakal dibentangkan semasa persidangan parlimen pada Mac tahun ini. Jelas, pindaan ini seolah-olah satu "undang-undang internet". Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila kerajaan Najib mahu mengawal media internet. Ia bukan sahaja bertitik tolak dari perkiraan politik Najib, tetapi juga dasar tradisional UMNO-BN yang tidak bertoleransi dengan media yang berbeza pendapat. Sebelum mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mengeluh bahawa keterabaian BN terhadap pengaruh internet menjadi punca kegagalan dalam PRU ke-12, Najib sudah dihantui "internet". Untuk UMNO-BN, "tiada penapisan internet" bukanlah janji yang tulus ikhlas dari hati. Pengkaji media, Chang Teck Peng mendapati mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad tidak memasukkan janji "Malaysia will ensure no censorship of the Internet" dalam Bill of Guarantees-nya ketika merasmikan Koridor Raya Multimedia (MSC) di Kuala Lumpur pada 1 Ogos 1996. Janji tersebut hanya ditambah ketika Mahathir Mohamd berucap di depan orang Amerika Syarikat pada 14 Januari 1997 di California, AS. Bukan sahaja janji "tiada penapisan internet" itu tidak ikhlas, malah juga cakap tak serupa bikin. Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, hinggalah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (yang jelas termaktub peruntukan bahawa ia tidak boleh digunakan untuk menapis kandungan internet), juga boleh menyekat dan menghukum pengendali laman web dan pengguna internet yang dianggap melanggar peraturan dari kaca mata kerajaan. Kawalan ketat kerajaan terhadap media cetak telah menjadikan media cetak sebagai lidah propaganda mereka, lantas menjejaskan kredibiliti media tradisional, sehingga memerlukan kenyataan daripada Najib untuk membela mereka. Namun, pembelaan Najib menonjolkan/membuktikan kehambaan media tradisional sebaliknya. Kerajaan Najib kini secara sistematik mencabuli autonomi media internet, dengan harapan menjinakkan media internet sebagaimana ia menjinakkan media tradisional. Sikap media internet yang enggan akur kepada sekatan yang digariskan kerajaan, agak tidak menyenangkan media tradisional, sehingga media tradisional mengambil sikap yang kurang mesra terhadap media internet, malah pernah menyuarakan bahawa adalah tidak adil seandainya kerajaan tidak mengawal internet. Namun, apa yang menjadi "titik buta" media tradisional adalah, pendedahan media internet terhadap pencabulan ke atas media tradisional telah memberi tekanan kepada kerajaan agar tidak mengambil tindakan terhadap media tradisional sewenang-wenangnya. Kedua, usaha media internet untuk menerokai ruang kebebasan dan memacu pendemokrasian juga memanfaatkan media tradisional. Malaysia yang mana situasi kebebasan bersuara dan hak asasi yang sedikit lebih baik daripada Singapura kini berundur ke belakang. Mungkin ini sahaja kemampuan Najib yang bangkit dalam kerjaya politik berpayungkan pengaruh bapanya. *Lidah pengarang MerdekaReview, diterjemah dari teks asal. |