Lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke kawasan Empangan Bakun selepas menghadiri majlis perkahwinan Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud pada 15 Januari 2011 agak mengecewakan kaum asli yang menaruh harapan tinggi terhadap kedatangan beliau.
Selain itu, menurut penduduk tempatan, kira-kira 2000 orang yang hadir menerima wang tunai RM10 masing-masing, malah orang asli yang membawa orang ke Rumah Belun mendapat RM100. Bagaimanapun, bukan semua orang menerima wang tersebut.
Menurut laporan Bernama, Najib merasmikan pembukaan klinik Kesihatan Belaga yang berharga RM46 juta, malah mengumumkan beberapa projek pembangunan, termasuk pembinaan bandar Belaga/Jalan Bakun di bawah projek Jiwa Murni.
Satu lagi projek ialah bekalan air bernilai RM35 juta bagi bandar Belaga sendiri yang kini di dalam proses pelaksanaan dan akan siap menjelang Oktober 2012," kata Najib, yang juga mengumumkan pembinaan sebuah jambatan keluli pasang siap bernilai RM2.7 juta bagi menyeberangi Sungai Linau di Lusong Laku yang juga akan dijalankan oleh pasukan tentera melalui Projek Jiwa Murni.
Najib tidak sentuh isu pampasan
Miku Loyang yang tinggal di Balui Liko amat kecewa apabila Najib tidak menyentuh isu pampasan kepada orang asli yang dipaksa pindah ke Sungai Asap lantaran pembinaan Empangan Bakun, ketika lawatan beliau ke situ. "Kami rasa dia memancing undi saja," katanya.
Tetapi, Miku Loyang menambah, penduduk di situ agak miskin. Apabila parti pemerintah datang dengan wang ketika pilihan raya, tekad mereka akan menjadi lemah, dan mengundi BN. Oleh itu, agak sukar untuk meramal pola pengundian pada ketika itu.
Bekas penerbit Galeri Mandarin Nasional, Chou Z Lam yang tiba di Belaga untuk rakaman dokumentarinya selepas Najib meninggalkan situ, memberitahu MerdekaReview bahawa penduduk tempatan yang menaruh harapan tinggi terhadap kedatangan Najib amat kecewa selepas isu pampasan tidak diungkit.
Selain itu, Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri akan menanggung kos pembinaan 15 buah rumah panjang yang berjumlah RM8.2 juta. "Pada hakikatnya, pengumuman ini bukan apa yang dikatakan khabar baik, kerana penduduk di situ tidak berniat untuk menanggung kos itu pun," Kata Chou Z Lam.
Bagaimanapun, aktivis sosial Ong Boon Keong yang juga berada di situ gagal meramal impak yang dibawa berikutan lawatan Najib. Ong Boon Keong menganggap perpecahan politik di situ agak jelas, mereka yang menyokong BN akan terus menyokong BN, tetapi tidak ramai mereka yang menolak BN.
*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor, MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal.