Wednesday, April 27, 2011

Fuziah ulangi desakan hentikan Lynas

 
KUANTAN: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengulangi desakan supaya projek loji nadir bumi yang dibina di Gebeng, Kuantan, dihentikan segera.
Beliau menegaskan bahawa 22,000 tan metrik nadir bumi akan dihasilkan setiap tahun oleh loji Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) sekiranya operasi tersebut diteruskan.
Menurutnya, daripada pemprosesan nadir bumi itu akan menjadikan jumlah penghasilan torium oleh Lynas mencecah 120 juta tan metrik sepanjang tempoh lima tahun.
“Projek Lynas mesti dihentikan kerana mengambil kira jumlah torium yang dihasilkan oleh syarikat itu setiap tahun.
“Lynas mendakwa hanya 0.16 peratus menghasilkan torium, tetapi apa yang kami tahu Lamp akan memproses nadir bumi daripada Malawi (Afrika Selatan) di kilangnya yang terletak di Gebeng dekat Kuantan,” kata Fuziah dalam kenyataannya hari ini.
Katanya, setiap kali pemprosesan nadir bumi sebanyak 10,000 tan metrik dijalankan, Lamp akan menghasilkan 16 tan metrik torium.
“Lamp bercadang untuk proses sekurang-kurangnya 22,000 tan metrik nadir bumi setiap tahun. Sekarang jumlah 35 tan metrik terkumpul mahu diberikan kepada siapa?,” soalnya.
Sementara itu beliau mempersoalkan tindakan syarikat tersebut yang mahu membina loji memproses nadir bumi di Malaysia.

“Lynas akan membawa nadir bumi ke Malaysia sebagai bahan bukan radioaktif. Selepas pemprosesan, torium daripada nadir bumi akan dijadikan sisa di Kuantan.
“Bagaimana  Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) menyatakan bahawa nadir bumi tidak sama selepas diproses yang hanya 0.16 peratus torium, tetapi jelas ianya bahan radioaktif,” kata beliau.
Lynas sebelum ini telah melabur sekitar RM700 juta untuk membina loji Lynas Advanced Materials Plant (Lamp), dan kini sedang menjalankan projek itu yang dijangka siap pada September.