Neo Chee Hua
Kira-kira sejuta orang bakat Malaysia berhijrah ke luar negeri, dan satu pertiga daripadanya adalah tenaga mahir yang berpendidikan tinggi. Bakat tersebut tertumpu di lima negara, iaitu Singapura, Australia, Brunei, Amerika Syarikat dan Britain. Antaranya, 54% daripada bakat ini bermastautin di Singapura.
Justeru itu, Bank Dunia menganggap bahawa Malaysia perlu meningkatkan produktiviti, malah melaksanakan dasar yang lebih inklusif, untuk menarik lebih ramai bakat dari pentas global, supaya negara kita mampu mengekalkan bakat dan terus membangun. Demikianlah perangkaan sehingga tahun 2010, yang didedahkan dalam laporan Bank Dunia.
Dalam satu ucapan Philip Schellekens, pakar ekonomi kanan Bank Dunia, ketika melancarkan laporan Malaysia Economic Monitor:Brain Drain, beliau berkata penghijrahan bakat menjadi cabaran yang sedang dihadapi Malaysia pada masa kini. Sesungguhnya Malaysia memerlukan lebih bakat untuk merealisasikan Wawasan 2020, namun polanya pula memperlihatkan kecenderungan bakat meninggalkan tanah air sendiri.
Dalam laporan yang baru dikemukakan ini, kira-kira sejuta orang bakat dianggar bertaburan di luar negeri, dan kira-kira satu pertiga daripadanya adalah tenaga mahir yang berpendidikan tinggi.
Singapura menjadi pilihan pertama
Menurut statistik tahun 2000, 83% daripada mereka yang bekerja di luar negeri bermastautin di Singapura, Australia, Brunei, Amerika Syarikat dan Britain, dan Singapura sahaja mencakupi 46%. Menurut Philip, orang Malaysia yang "mengalir" ke Singapura bertambah tiga kali ganda dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini.
Menurut penghitungan Bank Dunia, daripada warga Malaysia yang bertaburan di luar negeri, kira-kira 57% daripadanya bermastautin di Singapura; dan antara tenaga mahir yang berpendidikan tinggi, 54% daripadanya bermastautin di Singapura.
Ketidakadilan sosial punca bakat berhijrah
Philip berkata, sementara bakat Malaysia berhijrah ke luar negeri, bakat asing yang mengalir masuk pula tidak cukup untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan. Keadaan sedemikian telah mengakibatkan kualiti tenaga mahir di Malaysia semakin menurun.
Ketika menyentuh faktor penghijrahan bakat Malaysia ke luar negeri, 66% responden Malaysia menganggap masa depan kerjaya lebih cerah di luar negeri; 60% responden menganggap "ketidakadilan sosial" sebagai punca masalahnya; 54% berkata gaji dan layanan yang ditawarkan luar negeri lebih menarik.
Dasar yang lebih inklusif
Di samping itu, daripada bakat yang berhijrah, 60% hingga 88% adalah dari komuniti Cina. 88% daripada warga Malaysia yang bekerja di Singapura adalah Cina, berbanding 6% Melayu dan 5% India. Sementara itu, 61% daripada warga Malaysia yang bekerja di Amerika Syarikat adalah Cina.
Dalam satu sidang media selepas itu, Menteri Jabatan Perdana Menteri Nor Mohamed Yakcop (gambar kana) berkata, dasar yang lebih inklusif telah digubal di bawah gagasan 1Malaysia. Malah, kerajaan cuba menarik balik bakat tempatan melalui program transformasi ekonomi.
Beliau berkata, pengaliran masuk semula bakat tempatan mengambil kira faktor seperti jenayah, pendidikan, perumahan, pengangkutan, persekitaran dan sebagainya. Masalah ini diselesaikan melalui NKRA, dan kerajaan sentiasa berusaha untuk mewujudkan satu suasana yang boleh mengembalikan bakat tempatan.
*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 28 April 2011.