Geram betul otak durianku! Sementara kita menyaksikan bagaimana isu fitnah video seks membawa masyarakat Malaysia ke arah kegilaan peradaban, kini rejim Najibnomics cuba membawa 16 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas ke arah kegilaan pemantauan (surveillance). Bukankah transformasi yang diwar-warkan sepatutnya membawa perubahan ke arah emansipasi insan dan bukannya ke arah kegilaan? Otak durianku tidak faham, siapa yang mengilhamkan idea pemantauan ini kepada Perdana Menteri yang agung lagi mengagungkan? Selain percubaan menyelamatkan Syarikat Tricubes Berhad yang berdepan dengan masalah kewangan melalui pemberian kontrak E-mel 1Malaysia bernilai RM50 juta, apakah Kerajaan Najib cuba meyakinkan rakyat Malaysia bahawa unit PEMANDU yang dipertanggungjawabkan dengan "tugas transformasi" sebenarnya merupakan "unit propaganda" demi menyelamatkan rejim UMNO-BN? Propaganda yang dimaksudkan otak durianku merujuk kepada keadaan di mana rakyat dipaksakan untuk menyetujui "secara sukarela" dan secara massa sesuatu program kerajaan yang pelaksanaannya berkecenderungan menyeragamkan tabiat rakyat sehingga kawalan berkesan dalam era siber menjadi mungkin. Percubaan membentuk ketaksuban rakyat terhadap segala projek 1Malaysia sehingga retorik 1Malaysia berubah daripada slogan kepada identiti warga Malaysia secara paksaan sedang bergiat secara aktif. Sesungguhnya, Kerajaan Najib telah membelanjakan sekitar RM60 juta untuk kegunaan penubuhan "unit propaganda" dan tambahan sekitar RM60 juta lagi untuk operasi unit tersebut…… Alamak! Terlanjur kata pula. Takkan duit berpuluh-puluh juta digunakan untuk propaganda, mestilah duit itu digunakan untuk "transformasi" dan "kebaikan rakyat". Inikan Kerajaan 1Malaysia 1Melayu 1Bumi? Tahukah Kerajaan Najib pengintaian maklumat peribadi tidak kira oleh pihak kerajaan atau pihak swasta adalah bercanggah dengan perlindungan hak peribadi seseorang yang diutamakan oleh dunia yang bertamadun seperti yang digariskan di bawah Artikel 12 Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 seperti berikut: "Tiada sesiapa pun yang boleh dikenakan kepada sebarang gangguan sewenang-wenangnya terhadap keadaan peribadi (privacy), keluarga, rumahtangga atau surat-menyuratnya, atau percerobohan ke atas maruah dan nama baiknya. Setiap orang berhak kepada perlindungan undang-undang terhadap gangguan atau percerobohan sedemikian." Sedarkah Kerajaan Najib bahawa laporan yang dikemukakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa Privacy International bahawa, Malaysia menduduki tempat terakhir bersama-sama dengan China dan Russia yang dikategorikan sebagai "endemic surveillance societies" dengan markah indeks serendah 1.3 pada tahun 2007? Menyentuh China sebagai surveillance societies atau masyarakat pemantauan, umum sedia maklum bahawa Kerajaan China merupakan Kerajaan Komunis yang sedang giat mengawal aktiviti dunia siber warga China dengan seribu bentuk kawalan. Kesan kawalan ketat yang dirasai warga China sekian lama mirip dengan kesan kawalan berbentuk panoptisme. Menurut ahli falsafah British Jeremy Bentham, rekebentuk Panopticon adalah sebegitu rupa sehingga segala gerak geri banduan (dianalogikan dengan warga China) diawasi oleh penyelia (dianalogikan dengan rejim komunis) yang bertugas dalam menara Panopticon, tetapi pada masa yang sama, banduan tidak dapat melihat keadaan dalam sekitar menara Panopticon. Dalam tesis penulisan Ketua Pengarang MerdekaReview Chang Teck Peng, beliau memetik penjelasan Bentham iaitu perlakuan dan fungsi kuasa berbentuk panoptisme adalah sedemikian rupa di mana kuasa seharusnya nyata (visible) dan tidak dapat diketahui (unverifiable). "'Nyata' membawa maksud bahawa banduan sentiasa menyedari kewujudan menara pusat yang tinggi itu di depan mata, manakala 'tidak dapat diketahui' bermaksud banduan itu tidak mengetahui sama ada dia diawasi pada mana-mana ketika, tetapi dia sudah pasti bahawa dia memang sentiasa diawasi." Dalam sejarah tamadun manusia dan emansipasi insan, kawalan secara tidak langsung dan hampir sepenuh yang dilakukan oleh rejim komunis seperti yang dilakarkan dengan konsep panoptisme juga dapat dilakukan oleh mana-mana rejim pemerintah yang lain. Semasa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Data Peribadi 2009 untuk bacaan kedua pada 5 April 2010, beliau menegaskan bahawa fungsi akta tersebut merangkumi perkara-perkara berikut: 1. Melindungi data peribadi individu supaya tidak disalah guna; 2. Mematuhi Undang-undang Perlindungan Data Peribadi supaya hak rakyat terpelihara; dan 3. Tindakan penguatkuasaan untuk membanteras penyalahgunaan data peribadi. Sepanjang perbahasan RUU tersebut, persoalan sama ada RUU tersebut dapat mengawal selia data peribadi dalam transaksi yang melibatkan urusan kerajaan menjadi tajuk perbahasan hangat. Hal ini kerana di Malaysia, kerajaan merupakan pihak yang paling banyak terlibat dengan data peribadi, bukan mana-mana pihak yang lain. Namun tanpa bilangan ahli parlimen yang cukup ramai daripada pihak pembangkang, Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 diluluskan tanpa mengeluarkan frasa kata "transaksi komersial" atau memasukkan frasa kata "urusan awam atau kerajaan", maka Seksyen 2 telah menetapkan bahawa akta tersebut hanya merangkumi transaksi komersial dan berbunyi seperti berikut: 2. (1) Akta ini terpakai bagi— (a) mana-mana orang yang memproses; dan (b) mana-mana orang yang mempunyai kawalan terhadap atau membenarkan pemprosesan, apa-apa data peribadi berkenaan dengan transaksi komersial. Meskipun PEMANDU menjelaskan E-mel 1 Msia ialah inisiatif diterajui swasta, oleh Tricubes Berhad, dengan pelaburan daripada syarikat swasta dan bukannya kerajaan, tetapi masih banyak tanda tanya yang menanti-nanti jawapan daripada Kerajaan Najib. Sesungguhnya, jika diteliti mesej yang dipaparkan dalam laman web myemail.my, memang ditekankan aspek interaksi dan komunikasi antara warga negara dengan kerajaan, adakah kegiatan sedemikian dianggap melibatkan transaksi komersial? Jika tidak, apakah projek myemail.my akan diberhentikan sehingga kerajaan membentangkan pindaan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 yang menjamin perlindungan data peribadi warga Malaysia untuk sebarang urusan dan bukannya terhad kepada transaksi komersial sahaja? Nampaknya, kini tiba waktu di mana pengundi Malaysia wajar mempertimbangkan bagaimana undi kita dapat menyumbang kepada pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 agar hak peribadi kita dilindungi bukan sahaja dari segi transaksi komersial tetapi juga dari segi urusan kerajaan. Sebelum menggunakan perkhidmatan E-mel 1Malaysia, bacalah karya George Orwell berjudul "1984". Maka fahamlah anda bahawa myemel.my bermaksud "Abang Besar sedang mengawasi anda!" *Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview. |
Wednesday, April 27, 2011
Myemail.my: Propaganda ditransformasi kepada pemantauan?
Label:
Malaysian Style