Wednesday, May 18, 2011

Berita Mana Paling Sahih?

BETUL MATI ATAU MATI BETUL BETUL
Pada 2 haribulan May yang lalu dunia digemparkan dengan berita Osama Bin Laden mati di bunuh oleh soldadu Amerika. Heboh seluruh dunia. Kematian Osama ini menjadi kempen Jom Heboh Obama.

Semenjak serangan WTC di New York pada 9/11 dahulu, Osama yang mengidap penyakit buah pinggang telah dilaporkan mati beberapa kali. Arwah Benazir Bhutoo ketika menjadi Perdana Menteri Pakistan telah pernah dilaporkan oleh akhbar Guardian London berkata yang Osama telah lama mati. Ini sebelum Benazir sendiri di bunuh mati.

General Hamid Gul bekas pengarah ISI – Inter Services Intelligence ( pasukan risiskan Pakistan) telah dilaporkan beberapa tahun dahulu mensahehklan bahawa Osama telah lama meninggal dunia. Selama sepuluh tahun Osama tidak berkata apa apa – senyap dan sepi. Yang heboh-heboh hanyalah media yang melaporkan aktiviti apa yang mereka panggil pengganas Islam Al-Qaida.

Osama - nama Osama - menjadi jenama untuk menakut-nakutkan rakyat dunia. Osama yang beragama Islam dijadikan ‘hantu’ untuk mengolah persetujuan rakyat dunia agar melihat Islam sebagai musuh.

Dengan bangganya Rumah Puteh telah mengeluarkan berita kematian Osama. Berita awal melaporkan bagaimana pasokan SEAL – komando elit Amerika – datang dengan helikopter telah bertempur dengan pengawal Osama di Abbotabad Pakistan. Laporan media juga berkata Presiden Obama dan ahli kabinetnya terpukau melihat operasi ini secara terus menerus di Rumah Puteh.

Melalui berita awal ini rakyat dunia juga telah di beritahu bahawa Osama telah menggunakan isterinya yang muda dan comel sebagai pelindung.

Esoknya kesah ini bertukar pula. Osama diberitakan tidak bersenjata. Osama dilaporkan tidak menggunakan isterinya sebagai pendiding. Hanya ada seorang pengawal yang bersenjata. Pertempuran hebat itu tidak pernah berlaku. Presiden Barak Obama tidak melihat secara terus menerus tetapi menerima laporan dari pimpinan tentera. Semua propaganda telah kantoi!

Semua menjadi kantoi kerana warga di Abbotabad telah pergi melihat rumah yang dikatakan tempat Osama tinggal. Mereka tidak melihat tembok pecah dan lantai robek. Kesan-kesan peluru juga tidak ternampak. Saheh tidak ada pertempuran.

Kesah dongeng ini cuba dibetulkan oleh Rumah Puteh. Media dunia telah diberi satu gambar yang menunjukkan muka Osama pecah berdarah. Tetapi Rumah Puteh terlupa bahawa hari ini telah wujud internet dan teknoloji komputer gambar. Muka Osama berdarah ini dibuktikan sebagai gambar lama yang telah pernah dikeluarkan oleh Rumah Puteh tiga tahun dahulu.

Rupa-rupanya ini gambar muka Osama luka berdarah telah di photoshop. Ini samalah seperti gambar muka Rosmah Mansor yang montok dan leher yang berlapis-lapis telah dilangsing dan dicunkan. Kalau rakyat Malaysia boleh ketawa apabila melihat muka Rosmah yang di potoshop – bayangkan rakyat dunia lagi ketawa besar apabila melihat kerja bodoh Rumah Puteh.

Kantoi demi kantoi ini menjadikan Obama tertekan. Presiden Obama kini sedang dilihat sebagai Pelawak Hitam – Black Comedian – yang diupah membuat lawak oleh saudagar senjata berkulit puteh. Untuk meneruskan jenakanya si Pelawak Hitam ini telah memberitahu dunia bahawa mayat Osama telah dibuangkan ke dalam laut. Mengikut lojik Obama apabila telah dibuangkan ke laut maka tidak ada dakwa dakwi. Tidak perlu gambar. Tidak perlu DNA. Khalas. Period. Khatam kes Osama Bin Laden. Kes tutup.

Untuk kita yang rasional, sama ada Osama mati bulan dulu atau lima tahun dahulu tidak penting disini. Apa yang jelas peranan Osama untuk menakut-nakutkan dunia telah tamat. Tetapi Al-Qaeda masih dikatakan wujud. Al-Qaeda kini ialah satu jenama sama seperti FaceBook atau Sabun Fab. Jenama ini telah menyerap masuk ke dalam ingatan bersama rakyat dunia. Ini penting untuk kuasa imperial Amerika dan saudagar senjata.

Untuk memahami jenama ini mari kita semua kembali melihat strateji dan taktik kuasa imperial Amerika yang terdahulu. Di zaman Perang Dingin/Cold War diantara blok Amerika dan Russian dahulu – yang dijadikan hantu ialah komunis. Komunis telah digunakan untuk mengolah persetujuan rakyat dunia agar menyokong Amerika yang dikatakan membawa obor kebebasan dan demokrasi.

Rakyat dunia telah ditakut-takutkan dengan mistos ideloji komunis. Untuk orang Islam - komunis telah dikatakan tidak bertuhan. Kaum tani pula telah ditakut-takutkan dengan sistem ekonomi komunis dimana semuanya wajib dikongsi termasuk berkongsi cangkul dan sabit. Jika ini tidak menakutkan kaum tani – dalam sistem komunis dikatakan sang isteri juga akan dikongsi sama.

Ketika Perang Dingin berjalan saudagar senjata dan syarikat gergasi senjata di Amerika Syarikat telah mendapat kontrek yang lumayan dari kerajaan Amerika. Saudagar dan tuan empunya syarikat senjata telah digalakkan untuk mencipta dan mengeluarkan senjata terbaru/tercanggih yang boleh mengalahkan Russia.

Di era ini perlumbaan senjata antara Amerika dan Russia telah dijadikan kuliah wajib oleh media dunia. Khutubah tentang kekuatan senjata Russia ini dijaja ke hulu ke hilir untuk menakut-nakutkan rakyat dunia. Hasilnya : di Eropah banyak negara dipaksa membukakan tanah air mereka untuk dijadikan pengkalan senjata nuklear Amerika.

Pertembongan dua ideloji antara sistem kapitalis dengan sosialis ini telah menjadikan dunia tegang. Amerika terus membuat huru hara. Ketegangan dan huru hara yang berterusan ini amat baik untuk saudagar senjata.

Justeru, di zaman Perang Dingin , Amerika telah menobatkan ramai General untuk mengambil alih kerajaan sebagai langkah menentang komunis. General Pinochet di Chile, General Suharto di Indonesia, General Thanom Kitikachorn di Siam, General Pak Chug Hee di Korea adalah contoh-contoh soldadu yang dinobatkan untuk menjadi kepala negara.

Sebenarnya - keadaan tegang ini adalah cuaca dan suhu yang terbaik untuk saudagar senjata. Senjata-senjata baru terus dicipta. Senjata lama dijualkan kepada negara dunia ketika yang berjaya ditakut-takutkan dengan ‘hantu komunis’. Apabila negara-negara dunia ketiga merasa takut maka tidak dapat tidak mereka akan berpayung di bawah bendera Amerika Syarikat.

Semua ini berubah apabila Tembok Berlin runtuh pada tahun 1998. Dua German – Barat dan Timur – yang dahulunya bermusuh kini bersatu. Russia menjadi lebih demokratik dan mengamalkan sistem kapitalis. China menjadi murtad dimana Parti Komunis China menjadi budak suruhan kepada kaum kapitalis.

Yang lebih menakutkan kaum kapitalis, saudagar dan tuan empunya kilang senjata ialah suasana aman damai dalam dunia ini. Jika dunia aman maka senjata tidak lagi diperlukan. Jika rakyat dunia tidak bergaduh sesama sendiri maka tidak ada negara yang ingin membeli senjata. Kilang senjata dan saudagar senjata tutup kedai. Perang menjadi sejarah.

Justeru, satu strateji baru dieram. Para pemikir yang diupah oleh kaum pemodal telah menimbulkan satu strateji baru. Samuel P. Hutington pada tahun 1992 telah menetaskan apa yang dipanggil Clash of Civilisation – Pembentrokan Tamadun.

Teori ini diwujudkan setelah tamatnya Perang Dingin. Dalam teori ini yang dijadikan musuh dan hantu - yang dilihat sebagai masalah ialah budaya dan tamadun yang berbeza dengan budaya dan tamadun Amerika Syarikat. Kepelbagaian budaya ini tidak dilihat sebagai positif yang mengkayakan dunia tetapi dilihat sebagai masalah.

Justeru Islam telah dinobatkan oleh Samuel P. Hutington sebagai salah satu tamadun dan budaya yang akan membawa masaalah kepada tamadun dan budaya Anglo-Saxon. Maka disini terselitkanya nama Osama bin Ladin.

Sebelum serangan keatas WTC pada 9/11, para pemikir dan pembuat dasar Amerika telah lama bersedia untuk menyerang Iraq, Iran, Afghanistan dan Pakistan. Setahun sebelum Iraq diserang pemikir strateji tentera Amerika telah merancang untuk menyerang Iraq. Negara ini menjadi sasaran kerana Iraq adalah negara ke dua yang terbanyak menyimpan bahan bakar minyak petrol sesudah Saudi Arabia.

Justeru, racangan dua buah kapal terbang melanggar WTC bukan satu yang baru. Pada tahun 1962 telah ada perancangan yang dipanggil Operation Northwood. Dalam operasi ini CIA akan melakukan serangan terhadap tempat tempat yang telah dipilih. Serangan mengejut ini akan memeranjatkan rakyat Amerika. Mengikut skrip Operation Northwood , dengan pantas Presiden Amerika akan menuduh Castro dan Cuba sebagai penyerang.

Rakyat Amerika akan dibakar kemarahan. Ketika patriotisma rakyat Amerika tercabar, disaat inilah Cuba akan diserang. Inilah yang berlaku pada 9/11 dahulu. Kerja ‘orang dalam’ ialah melanggar WTC dengan dua buah kapal terbang untuk disaksikan oleh seluruh rakyat Amerika. Ini samalah seperti serangan Perlabuhan Pearl di Hawaii pada 7 Disember 1941 dahulu. Serangan Jepun ini memang digalakan oleh saudagar-saudagar senjata agar Amerika masuk campur dalam Perang Dunia Kedua. Kalau Amerika tak masuk perang maka kilang senjata tidak berfungsi.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa serangan terhadap WTC pada 9/11 itu adalah kerja ‘orang dalam’. Nama Osama dimunculkan sebagai strateji untuk menjadikan Islam sebagai jenama musuh rakyat dunia. Media dan propaganda Amerika telah memuntahkan kepada dunia bahawa Osama ialah penjihad Islam. Islam kini dilihat sebagai musuh baru terhadap kebebasan rakyat dunia.

Strateji Perang Dingin kini telah beralih menjadi Perang Melawan Keganasan – War on Terror. Suasana reda aman damai sesudah runtuhnya Tembok Berlin hanya untuk beberapa tahun sahaja. Kini suasana dunia menjadi tegang kembali.
Kalau di zaman Perang Dingin ada perang di Vietnam, Kamboja dan Laos. Di zaman Perang Melawan Keganasan ini ada perang di Iraq, Afghanistan dan Pakistan. Hakikatnya kilang membuat senjata tidak berhenti henti membuat senjata. Saudagar senjata ketawa terbahak-bahak memasukan duit ke dalam bank. Dan kita jangan jadi bodoh untuk terus bertanya Osama sudah mati atau belum.(TT)