Asri: Dakwa pencegah maksiat sebabkan kematian
Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyelar tindakan penguatkuasa agama yang menyebabkan kematian dalam operasi pencegahan maksiat, seperti yang dilaporkan semalam.Menurutnya, tindakan bagi membendung "maksiat peribadi" -- seperti khalwat dan minum arak -- yang dilakukan secara bersembunyi sehingga menyebabkan kematian merupakan satu dosa.

"Mereka ini telah menyebabkan mungkar yang lebih besar iaitu kematian kerana ingin mencegah kemungkaran kecil iaitu 'khalwat' dan menggunakan kaedah pencegahan yang dilarang oleh agama iaitu mengintip."

Bernama melaporkan, dalam insiden kira-kira jam 2 pagi, mangsa berumur 49 tahun -- yang menginap dengan pasangannya di hotel itu -- terjatuh ketika cuba lari melalui tingkap.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman mengklasifikasikan kematian itu sebagai mati mengejut.
Maksiat dalam filem, atas pentas?
Dalam kenyataan hari ini, Dr Mohd Asri juga berkata, beliau dukacita dengan berita kematian itu kerana ia bukan kes yang pertama dan sudah sering berulang.

Pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga mengulangi pendiriannya bahawa Islam tidak cenderung menghukum dan membongkar dan mengintip maksiat peribadi walaupun pelakunya sendiri mengaku.
Menurut Dr Mohd Asri, cubaan menyembunyikan dosa itu melambangkang pelaku itu masih mempunyai nilai malu dan mahu menjaga maruah diri dan keluarga.

Tambahnya, sikap suka mengintip itu juga mencetuskan kontroversi video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu juga menurut Dr Mohd Asri lagi, jika dibiarkan akan menjadi trend untuk menjatuhkan sesuatu pihak.