Keterangan Saiful boleh dipercayai,
Hakim mengarah Anwar bela diri
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa tertuduh dalam kes liwat, Anwar Ibrahim perlu membela diri, setelah yakin bahawa keterangan saksi dalam kes ini, iaitu Mohd Saiful Bukhari boleh dipercayai (reliable). Justeru itu, perbicaraan akan diteruskan pada 6 hingga 30 Jun akan datang. Sungguhpun demikian, Anwar Ibrahim mendakwa pihaknya akan bersiap sedia untuk membela diri, mempertahankan kebenaran dan membongkarkan permainan politik kotor dan jijik yang memperalatkan mahkamah. Malah, beliau mendedahkan bahawa pihaknya bakal memanggil Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor untuk tampil ke mahkamah sebagai saksi. 500 tampil beri sokongan Kira-kira 500 orang yang berada di perkarangan kompleks mahkamah Jalan Duta pagi tadi berasa marah dengan penghakiman tersebut setelah mengetahui keputusannya. Mereka menjerit "TV3 lucah", "RTM penipu"! Sebelum ini, mereka menyambut ketibaan Anwar dengan laungan slogan "Reformasi", pada kira-kira jam 8.45 pagi. Ini adalah kali kedua Anwar Ibrahim dituduh dalam kes liwat. Beliau disabitkan kesalahan meliwat pada tahun 2000, namun dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2004, setelah menolak keputusan mahkamah tinggi sebelum ini. |