Dua mahasiswa itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Abd Razab dan Timbalan Pengerusi Majlis Politik Nasional Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) Nur Kamariyah Hamzah ditahan di pekarangan Masjid Taman Balok Makmur dan kini berada di Balai Polis Beserah.
Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat Gebeng anjuran Gerakan Mahasiswa Selamatkan Rakyat (GMSR) merupakan satu inisiatif yang dilakukan kumpulan itu untuk memberi penerangan kepada masyarakat di kawasan itu berhubung kesan dan implikasi yang bakal diterima sekiranya projek loji pemprosesan nadir bumi diteruskan.
Dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar, Sekretariat SMM Ahmad Shukri Kamarunddin berkata, pihaknya hanya diberitahu tangkapan itu dibuat “atas arahan pihak atasan.”
“Setakat ini selepas kami membuat jelajah berjumpa dengan masyarakat Gebeng dari rumah ke rumah untuk bersama mereka membantah usaha pembinaan loji nadir bumi, pihak polis telah buat provokasi dengan menahan dua mahasiswa.
“Alasan mereka ditahan masih belum diketahui, sebaliknya polis hanya beritahu ia arahan pihak atasan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Jelas beliau, seramai 50 mahasiswa berada di Gebeng sejak pagi tadi untuk memberi penerangan kepada masyarakat.
Kesemua mereka diwakili persatuan mahasiswa masing-masing termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Pro Mahasiwa, Gamis dan SMM.
Selain program ziarah dan penerangan dari rumah ke rumah, beberapa program lain turut diadakan seperti forum dan tinjauan sendiri ke Lynas.
Jelajah itu diadakan bagi membantah projek loji pemprosesan nadir bumi oleh syarikat perlombongan Australia, Lynas Corporation.
Pemprosesan nadir bumi digunakan untuk mencipta alat berteknologi tinggi termasuk telefon pinta dan kenderaan hidbrid.
Pembeli termasuk dari China, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah bergantung kepada bahan mentah yang mana kini mereka bergantung sehingga 95 peratus bekalan dari China.
Cadangan pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng dekat Kuantan akan mejadikan ia sebagai pengeluar terbesar selepas China.