Saturday, July 2, 2011

Lebih banyak kecacatan Lynas terdedah: PKR gesa wujudkan panel Pakar Kejuruteraan dan Kesihatan Awam

 Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bimbang dan ragu dengan liputan media The New York Times bahawa Lynas berhadapan dengan isu kejuruteraan dalam tangki simpanan, paip penghantar dan tapak kilang.

Menurut Ahli Jawatankuasa KEADILAN Pahang Lee Chean Chung (gambar kiri), kelemahan dan kecacatan kejuruteraan tersebut menunjukkan laporan yang disediakan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) adalah kurang lengkap kerana tidak menilai projek ini secara menyeluruh dan hanya membuat pemeriksaan dari segi keselamatan radioaktif dan pengurusan sisa buangan radioaktif sahaja.
"Menurut New York Times, masalah yang dihadapi oleh Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng termasuk: Dinding 70 tangki takungan didapati mengalami rekahan struktur, ketirisan dan terkandung poket udara, paip tidak memenuhi ketetapan piawaian, tapak tidak dapat menebat air, dan sebagainya."
Antaranya, paip keluli yang digunakan merupakan keluli biasa yang tidak dapat menahan kehausan dan kehakisan; Tangki konkrit juga diperbuat oleh simen biasa dan bukan Konkrit Polimer lebih mahal yang bercampuran dengan bahan plastik; Tapak simen kilang tersebut juga tidak dilitupi oleh penebat plastik bagi menghalang air dan kelembapan.

Chean Chung menganggap kecacatan kejuruteraan tersebut membuktikan Panel Antarabangsa IAEA hanya merupakan sebuah badan kosmetik yang digunakan oleh kerajaan untuk menjalankan kerja perhubungan awam (PR) sahaja.

"Jurutera yang terlibat dalam projek Lynas turut berkata bahawa panel pakar tersebut tidak berpeluang meneliti struktur LAMP, malah diiring oleh pegawai Lynas sepanjang tempoh lawatan tapak.  Di bawah ketidaktelusan ini, adakah Nicholas Curtis masih sanggup mengakui bahawa Lynas memenuhi kesemua standard antarabangsa?"
Selain itu, Chean Chung juga berpandangan bahawa bidang tugas (Terms of Reference) Panel Antarabangsa IAEA tidak dapat merangkumi kesemua aspek pembinaan, pengoperasian sehingga penutupannya, terutamanya dari segi risiko kejuruteraan, pengurusan sisa, kesihatan dan keselamatan awam.

"Panel tersebut masih menekankan bahawa tahap radioaktif adalah di bawah tahap keselamatan antarabangsa. Namun kita semua dimaklumkan bahawa tiada tahap yang dianggap 'selamat', malah kebahayaan sisa radioaktif secara kumulatif juga tidak diambil kira. Panel tersebut juga gagal memberikan pandangan daripada sudut kejuruteraan dan kesihatan awam."
Oleh yang demikian, Chean Chung menyeru agar menubuhkan Panel Pakar Penilaian Bebas (PPPB) Kejuruteraan dan Kesihatan Awam bagi menyempurnakan laporan kajian IAEA.  Beliau juga mendesak supaya melibatkan pandangan orang ramai dan kumpulan bantahan Lynas sepanjang rundingan supaya hasil kajian benar-benar dapat mencerminkan risiko dan keadaan sebenar.
Rujukan:The Fear of a Toxic Rerunhttp://www.nytimes.com/2011/06/30/business/global/30rare.html

IAEA Report on Lynashttp://cheanchung.wordpress.com/2011/06/30/iaea-report-on-lynas/

*Kenyataan media oleh Lee Chean Chung selaku Ketua Ranting Air Putih dan Pemangku Ketua Cabang Indera Mahkota PKR.