Monday, June 20, 2011

Loji Lynas: Menteri jamin keputusan akhir kerajaan guna fakta, bukan emosi

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Kerajaan pusat akan cuba menyelesaikan isu pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Pahang dengan mempertimbangkan empat asas termasuk mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan yang menjadi “tunjang keutamaan.”
Justeru kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, aspek kesihatan dan keselamatan rakyat melangkaui semua pertimbangan lain, dan sebarang keputusan terhadap Lynas tidak akan mengkompromi asas tersebut.
“Kedua, setiap keputusan yang diambil adalah berasaskan fakta, bukan emosi atau pertimbangan politik.
“Panel pakar IAEA yang dilantik akan menentukan fakta-fakta dalam kes ini, dan keputusan kerajaan akan dipandu oleh penemuan dan cadangan yang dikemukakan,” kata beliau dalam tulisannya diedarkan kepada media semalam.
Selain itu kata beliau, kerajaan sentiasa terbuka kepada perbincangan awam yang membina mengenai isu ini, dan berpandangan ia merupakan satu komponen penting dalam proses demokrasi.
“Di pihak kerajaan, kami telah berusaha menyumbang kepada proses ini dengan memastikan bahawa siapa pun yang ingin mengemukakan pandangan kepada panel pakar boleh melakukannya sama ada secara langsung atau secara bertulis,” katanya lagi.
“Keempat, kerajaan sentiasa telus kepada masyarakat mengenai isu ini. Semua maklumat dan laporan awam yang berkaitan dengan projek Lynas boleh diakses melalui laman sesawang yang berkaitan,” kata Mustapa (gambar) lagi.
Menteri itu menambah, panduan sebegini memastikan integriti dalam proses kerajaan membuat keputusan serta keputusan yang bakal diumumkan nanti terpelihara.
Hanya tinggal 10 hari lagi sehingga panel pakar IAEA mengemukakan laporannya.
Sehingga waktu tersebut, kata beliau, semua pihak perlulah bertahan dari membuat sebarang komen yang bersifat prapenilaian.
“Saya berpendapat para pelabur menyambut baik hakikat bahawa kerajaan ini membuat keputusan berdasarkan fakta, dan tidak bertindak sewenang-wenangnya.
“Hal ini juga mengingatkan para pelabur supaya menjadi warga korporat yang bertanggungjawab di negara mereka menjalankan perniagaan,” kata beliau sambil menambah, mereka perlu mematuhi dan melaksanakan standard dan tata urus yang sama sekali tidak lebih rendah daripada yang dipraktikkan di negara asal mereka.
“Saya fikir ini adalah harapan yang munasabah, dan tiada pelabur sepatutnya mempunyai masalah mengenai perkara ini,” katanya lagi.
Pada 4 Jun lalu, panel bebas pakar antarabangsa yang dilantik untuk menilai projek Lynas kembali semula ke Vienna bagi melengkapkan kajian mereka.
Kata Mustapa, kehadiran panel bebas tersebut di Malaysia bertujuan mengkaji aspek keselamatan kilang pemprosesan nadir bumi yang dicadangkan di Gebeng, Pahang dan laporan hasil akan dikemukakan kepada kerajaan pada akhir bulan ini.
“Proses ini melengkapkan satu fasa daripada keseluruhan proses membuat keputusan yang mempunyai implikasi penting terhadap kerajaan dan rakyat. “Aspek keselamatan awam tidak akan sekali-kali dikompromi kerajaan Rakyat Didahulukan pada masa ini,” katanya lagi.
Dalam tulisannya, Mustapa juga berkata,
Lynas Corporation Ltd merupakan sebuah syarikat Australia yang diberikan kelulusan pada Januari 2008 untuk mendirikan sebuah kilang di Pahang dan ia tiada bezanya daripada pelabur-pelabur asing yang lain yang melabur di sini.
“Mereka datang ke negara kita kerana mereka merasakan bahawa mereka boleh mendapatkan pulangan yang berpatutan dari pelaburan mereka, dan juga kerana mereka percaya bahawa mereka akan dilayan secara adil, seperti yang diperuntukkan di bawah peraturan dan undang-undang sedia ada.
“Kita mengalu-alukan pelaburan asing kerana mereka membantu dalam proses modenisasi dan pertumbuhan ekonomi negara. Sudah tentu bukan sekadar pelaburan rambang, tetapi pelaburan yang bersesuaian,” katanya.
Mustapa berkata semasa mempertimbangkan sesuatu cadangan pelaburan, banyak persoalan diajukan seperti antaranya “apakah faedah yang dibawa bersama? Akan adakah limpahan ekonomi yang boleh menguntungkan sektor-sektor ekonomi yang lain?”
Selain itu kata beliau, persoalan “adakah pelaburan ini mewujudkan peluang-peluang pekerjaan? Apakah jenis pekerjaan yang akan ditawarkan? Akan adakah perpindahan teknologi atau kemahiran?” juga dipertimbangkan.
“Ini adalah antara faktor-faktor asas yang kita pertimbangkan ketika menilai sesuatu cadangan pelaburan asing,” katanya lagi.
Katanya, satu kajian menyeluruh dijalankan bagi tujuan itu dan kelulusan akan dibuat bergantung pada hasil kajian dijalankan.
“Isu berkaitan tata urus,” katanya lagi.
Kata Mustapa, sewaktu cadangan pelaburan Lynas mula-mula dikemukakan kepada kerajaan pada 2006, ia telah menimbulkan persoalan yang melangkaui lingkup pertimbangan-pertimbangan ekonomi.
“Isu berkaitan keselamatan dan kesihatan awam, dan alam sekitar turut diberi perhatian,” kata Mustapa lagi.
Mustapa juga berkata, kerajaan amat sedar bahawa industri nadir bumi berkait rapat dengan isu kesihatan dan keselamatan, terutama berdasarkan pengalaman dari projek Asian Rare Earth (ARE) di Perak pada awal 1990-an.
Justeru katanya, persoalan mengenai kesan projek Lynas terhadap kesihatan awam adalah sangat relevan.
“Bagaimana ia akan memberi kesan kepada alam sekitar dan kehidupan masyarakat yang tinggal di sekitarnya? Apakah risikonya dapat diukur, dan masih di dalam batas yang boleh diterima pakai? Adakah kita mempunyai undang-undang, peraturan dan rangka kerja institusi bagi memantau dan menguruskan risiko-risiko tersebut?” katanya.
Apa yang penting, sewaktu keputusan dibuat kerajaan, jelas beliau, pihak-pihak berkuasa telah belajar daripada pengalaman projek ARE dan mempunyai pemahaman yang lebih baik bagaimana menguruskan risiko radiologi.
“Menjelang 2008, peraturan dan undang-undang yang mentadbir aktiviti-aktiviti berkaitan telah disemak dan ditingkatkan selaras dengan standard antarabangsa.
“Tidak mungkin pisang berbuah dua kali di bawah peraturan yang baru ini,” katanya.
Justeru tambah Mustapa, hal itu menjelaskan mengapa semasa Lynas diberikan kelulusan lesen pengilang, di mana syarikat secara khusus diwajibkan memenuhi standard keselamatan dan amalan yang baik yang ditetapkan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan Jabatan Alam Sekitar.
Antara lain, standard-standard ini mentafsirkan jumlah pendedahan radiasi yang dianggap membahayakan pekerja, masyarakat dan persekitaran, katanya.
“Standard ini juga diguna pakai untuk semua fasa projek Lynas: pembinaan, praoperasi, operasi, pengangkutan, pengurusan sisa, pembubaran dan pemulihan.
“Ciri utama prosedur kerja yang terlibat adalah kelulusan secara berperingkat yang syarikat Lynas perlu lalui. Sebagai contoh, syarikat perlu memenuhi standard keselamatan yang dikenakan pada fasa pembinaan sebelum ia dapat meneruskan aktiviti ke tahap praoperasi,” katanya lagi.
Mustapa menambah, ia tidak boleh maju ke tahap seterusnya sehingga standard keselamatan yang ditetapkan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan Jabatan Alam Sekitar bagi fasa seterusnya itu dipenuhi.
“Proses kelulusan sebegini dapat menjamin standard keselamatan yang dikenakan oleh agensi penguat kuasa tidak dapat dilangkaui, ditunda atau dielakkan.
“Pemantauan dijalankan secara berterusan bagi memastikan ia sentiasa dipatuhi,” kata Mustapa.
Sehingga kini, kata beliau, syarikat Lynas masih belum mengemukakan permohonan atau menerima apa-apa kelulusan bagi maju ke fasa praoperasi.
Mustapa juga menulis bahawa projek Lynas telah dbincangkan di sesi-sesi taklimat awam di Kuantan dan Parlimen pada 2009, tetapi ia menjadi satu topik perdebatan yang hangat selepas insiden Fukushima pada 11 Mac lalu.
“Sebahagian mereka yang tinggal di sekitar lokasi projek Lynas percaya bahawa projek ini akan menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan yang tidak boleh diterima kepada masyarakat dan persekitaran. Pada pandangan sesetengah penduduk, projek ini perlu ditamatkan.
“Hal ini terjadi walaupun terdapat jaminan dari Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan Jabatan Alam Sekitar  bahawa sehingga kini Lynas telah memenuhi semua standard keselamatan yang dikenakan,” katanya lagi.
Kata Mustapa, walaupun kerajaan tetap yakin dengan integriti keputusan yang diambil oleh agensi-agensi penguat kuasa, tanggungjawab kepada masyarakat, terutamanya penduduk Kuantan, untuk memastikan kesihatan dan keselamatan masih tidak dikompromi.
“Pertimbangan sebegini sentiasa menjadi keutamaan paling tinggi kerajaan, melebihi segala pertimbangan yang lain,” katanya.
Oleh itu, kata Mustapa, pada 22 April beliau mengumumkan keputusan kerajaan untuk menjemput IAEA supaya melantik satu panel bebas dari kalangan pakar-pakar antarabangsa untuk mengkaji semua aspek keselamatan berkaitan projek Lynas.
IAEA telah bersetuju melantik sembilan anggota panel bagi melaksanakan tugasan tersebut, telah memulakan tugasan mereka dari 29 Mei hingga 4 Jun lalu untuk bertemu anggota masyarakat, wakil-wakil dari Lynas, pegawai-pegawai kerajaan serta melawat tapak lokasi Lynas.
Katanya, kerajaan turut mengadakan perancangan terperinci bagi memastikan bahawa sesiapa pun yang ingin mengemukakan representasi kepada ahli panel pakar boleh melakukannya sama ada secara bersemuka atau secara bertulis.
Malah katanya, pengumuman umum mengenainya telah disiarkan di semua akhbar utama dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Tamil.
“Semasa proses konsultasi yang diadakan di Kuantan dan Putrajaya, wakil-wakil dari persatuan penduduk, badan bukan kerajaan, kumpulan komuniti, parti politik dan badan profesional telah mengambil kesempatan bertemu panel pakar dan mengemukakan pandangan mereka.
“Parti politik yang mengambil bahagian termasuk Umno, MCA, PKR, PAS dan DAP. Semestinya, YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan, turut dijemput dan beliau juga menggunakan peluang tersebut mengemukakan hujahnya kepada panel pakar,” katanya.