Tuesday, June 21, 2011

SUKA HISAP SUSU LEMBU, TAPI PANGGGIL SAPI ‘MAMA’?


Oleh : ZULKARNAIN ISMAIL
PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak disaran berhari-hati dengan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bakal dilaksanakan kerana dibimbangi menciplak idea pemimpin lain ekoran ada pihak yang merumuskan idea baru berdasarkan idea yang ‘dicuri’ daripada pemimpin terdahulu sehingga Malaysia bakal dipersendakan dunia luar.
Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu menjelaskan demikian ketika mengulas artikel Bernama bertajuk ‘Projek Petroleum 3 Billion di Labuan’ yang turut disiarkan Sabahkini.net baru-baru.
Kata Patrick, adalah tidak wajar projek berkenaan diletakkan di bawah ETP kerana kerangka pelan tindakan jangka panjang program ini telah diputuskan untuk dilaksanakan di era Tun Abdullah Ahmad Badawi, iaitu sekitar 2006-2007.
“Idea asal projek di Pulau Daat ini adalah buah fikiran Datuk Halim Saad yang disampaikan kepada Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu Dato’ Seri Zulhasnan Rafique. Mereka telah menemui Pak Lah beberapa kali untuk berbincang,” kata Patrick yang ketika itu sebagai Presiden CASH, sebuah NGO yang kini dibatalkan atas masalah teknikal.
Tegas Patrick, beliau beberapa kali menemui Pengerusi Perbadanan Labuan, sekitar 2007, ketika itu dijawat oleh Datuk Suhaili Abdul Rahman untuk berbincang berhubung pandangan rakyat yang disampaikan kepada Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan.
“Suhaili pada dasarnya telah melakukan tindakan pantas bersama Zulhasnan dan Halim Saad menemui Perdana Menteri. Pak Lah telah meluluskan dasar projek berkenaan, tetapi tidak sempat dilaksanakan apabila beliau dipaksa turun selepas pilihanraya umum 2008,” tegas Patrick yang risau dengan nama baik Najib sebagai ‘Bapa Transformasi’ tercemar ekoran projek ciplak ini.
Patrick yakin, ada pihak yang mengaut keuntungan di atas angin berdasarkan idea asal Halim Saad, Zulhasnan dan Suhaili, bak kata pepatah, ‘Lembu Punya Susu, Sapi Dapat Nama’.