Saya merujuk artikel "Dari isu Hudud ke Homoseksual: Pakatan Rakyat mula terperangkap" oleh Lim Hong Siang.
Saya tidak ada masalah untuk bersetuju dengan beberapa hujah penulis dalam artikel ini. Cuma beliau membuat satu kesilapan dengan merumuskan bahawa masyarakat bukan Islam "lebih toleransi" terhadap golongan homosexual, dalam erti kata lain, masyarakat Islam lebih "tidak toleran". Ini mungkin disebabkan penulis tidak memanjangkan kajian tentang pergerakan menuntut hak homosexual ini dan sejarah makro di sebaliknya.
Sebenarnya, umat Islam sejak dulu lagi tidak pernah ada masalah dengan homosexual, iaitu kini dinamakan oleh media yang kononnya politically correct dengan pelbagai nama, contohnya "LGBT". Perkataan "gay" dan "queer" pula adalah ciptaan baru, sedangkan mereka ini dahulu dikenali sebagai "sodomites" dan "homosexuals".
Pergerakan menuntut hak untuk golongan ini sebenarnya adalah bertitik tolak dari rasa bersalah tamadun barat moden terhadap tindakan yang dilakukan oleh golongan agamawan Kristian pada masa lampau, iaitu sebelum era Revolusi Perancis.
Perlu diingat bahawa Revolusi Perancis merupakan satu "time mark" kepada perubahan yang berlaku terhadap "worldview" dan tata kehidupan Barat. Agama dalam erti kata ia sebagai perundangan moral telah tidak lagi dinamakan sebagai asas peradaban mereka (meskipun adalah benar ia masih dieksploitkan oleh golongan yang kononnya "sekular"). Dalam obsesi untuk mengeluarkan agama dari kehidupan, tindakan merungkai kesalahan-kesalahan agamawan masa silam telah dijadikan perjuangan utama mereka untuk menjustifikasikan Revolusi Perancis.
Sebenarnya, rasa benci terhadap agama dalam Revolusi Perancis adalah kerana agama Kristian dicampur adukkan dengan raja-raja mereka, dan kebencian terhadap kezaliman raja yang selaku ketua agama telah bertukar menjadi kebencian terhadap agama itu sendiri (senario di Malaysia tidak banyak beza, dan golongan ulama perlu ambil perhatian!).
Berbalik kepada isu LGBT, pergerakan menuntut hak asasi untuk golongan ini adalah sebenarnya suatu "non-issue" di dunia Islam, kerana golongan ini bukan sahaja tidak dilihat terang-terangan di jalan raya, sehinggalah pergerakan ini timbul. Kini ada usaha menamakan mereka ini sebagai sebuah "komuniti", seperti mana dilakukan pergerakan menuntut hak oleh sekutu-sekutu mereka di Barat.
Di Barat, menyokong pergerakan menuntut hak homoseksual ini seolah-olah menjadi satu syarat untuk seseorang itu diiktiraf sebagai pejuang hak asasi. Lebih menarik, pejuang-pejuang utama di sebaliknya bukanlah dari kalangan homosexual sendiri. Seperti juga mereka yang selalunya mengutuk mereka yang mengkritik anti-Israel mahupun Yahudi, sebenarnya kebanyakannya bukan dari golongan Yahudi sendiri. Mengapa ini berlaku?
Seperti yang disebut tadi, ini bertitik tolak dari rasa bersalah tamadun Barat terhadap perbuatan masa lampau mereka yang memerangi golongan gay ini dan menindas mereka, malah membunuh mereka. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku dalam Islam, dan kalaupun ada, bukan didalangi ulama.
Di zaman kegemilangan Islam sekalipun, tidak pernah ada pergerakan yang khusus dan sistematik untuk melawan gay dan homosexual, walaupun dunia Islam bukan terkecuali daripada masalah liwat dan gay. Malah, kalau dilihat di balik tabir, memang ramai yang mengamalkan kehidupan homosexual di dunia Islam khasnya di dunia Arab.
Di sinilah Syariah memainkan peranan, dengan tidak menjadikan golongan ini sebagai "mainstream", dan hanya mengambil tindakan sekiranya golongan ini melakukan perbuatan mereka secara terbuka. Begitu juga, tamadun Islam telah lama bertoleransi dengan golongan ini dengan ertikata mereka tidak ditindas dan hak asasi mereka sebagai manusia tidak dipersoalkan, seperti juga Islam tidak pernah mempersoalkan hak asasi golongan yang menyembah berhala, biarpun itu adalah salah satu dosa besar dalam Islam yang dikategorikan sebagai syirik, lebih serius dari dosa pasangan sejenis.
Tetapi ini bukan kesnya di Barat, yang sering ada kumpulan-kumpulan vigilante yang melakukan keganasan terhadap golongan yang dibenci mereka. Kumpulan-kumpulan ini pula didalangi oleh golongan fundamentalis dan agamawan. (Dahulu serangan mereka adalah ke atas homosexual dan Yahudi, kini umat Islam telah menggantikan tempatnya, lebih-lebih lagi selepas era kebangkitan moden Islam yang bermula dengan Revolusi Islam Iran dan selepas peristiwa 911).
Kini, sebagai menutup kepincangan dan perbuatan mereka yang dulu, kita lihat satu gerakan yang sistematik dan kuat di Barat untuk mengakui kezaliman yang dilakukan terhadap golongan homosexual, dan mulalah digubal perundangan yang menamakan gay sebagai "komuniti", malah memberikan mereka hak berkahwin. Bukan itu sahaja, sifat homosexual dan potensi pemasarannya juga telah dihidu oleh Hollywood dan menular di dalam agenda seksualiti karya dan produk mereka, dengan mengkomersilkan aksi-aksi homosexual seperti lesbian. Ini kerana ada pasaran untuk golongan ini. Pasaran ini adalah sebuah pasaran baru yang dicipta oleh pergerakan hak asasi "LGBT" dan pengiktirafan perundangan yang diberikan kepada mereka.
Begitu juga dengan sikap Barat dalam isu Palestin. Ini bertitik tolak dari sikap anti-Semitik di Barat sendiri, yang memuncak di zaman Hitler yang mahu membunuh beramai-ramai rakyat keturunan Yahudi. Dan sekarang, apa yang terjadi ialah Barat sendiri menghukum diri mereka terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas komuniti Yahudi di Eropah dulu, dengan menyokong malah memaksa pembentukan negara Israel untuk Yahudi. Bukan itu sahaja, dalam usaha melupakan kezaliman mereka sendiri ke atas kaum minoriti Yahudi di Eropah dulu, beberapa negara telah menggubal undang-undang khusus melarang sebarang bentuk kritikan terhadap Yahudi dan Israel dan menjadikan satu kesalahan untuk mempersoalkan Holocaust, seperti di Perancis, iaitu salah sebuah negara utama Yahudi dizalimi pada awal dan pertengahan abad ke-20. Di Amerika Syarikat pula, tidak perlu lagi dihuraikan apa yang berlaku, di mana lobi Zionis yang selalunya menyamar sebagai pertubuhan agama Yahudi, mempunyai kuasa menentukan hala tuju politik dan ekonomi negara kuasa besar itu.
Rumusan saya ialah pergerakan hak asasi LGBT di Barat seperti juga sokongan mereka yang tak terbelah bahagi kepada Yahudi (dan kini Zionisme) adalah bertitik tolak dari "collective psyche" dan "collective feeling of guilt" (rasa bersalah) terhadap apa yang mereka sendiri pernah lakukan terhadap golongan ini.
Ini adalah satu lampiran sejarah yang perlu diberi perhatian bilamana kita mahu berhujah tentang pergerakan LGBT.
Sebagai seorang Muslim, saya rasa kita umat Islam tidak perlu mengulangi sesuatu yang sudah obvious: contohnya, dengan mengatakan bahawa Islam melarang amalan homosexual. Itu sesuatu yang terlalu nyata malah telah pun ditetapkan Al-Qur'an. Oleh itu, cara menangani debat yang diwujudkan ini adalah dengan memperdepankan soalan ini: Di manakah sejarah kezaliman tamadun Islam terhadap golongan Yahudi dan homosexual yang memerlukan sebuah pergerakan untuk menjunjung hak asasi mereka? Bukankan golongan homosexual kini dalam keadaan lebih bahaya dengan adanya pergerakan hak asasi untuk LGBT? Selama ini, mereka menjalankan kehidupan dengan senyap tanpa menuntut apa-apa, sehinggalah wujud golongan bukan-homosexual yang cuba memobilasi mereka dan mengenengahkan mereka ke dalam masyarakat.
Sebagai Muslim, perlu ada ijtihad dan maqasid diguna pakai dalam menangani gelombang LGBT, yang bukannya besar, tetapi diperbesarkan oleh media. Seperti juga isu murtad (di mana ada yang mendakwa beratus ribu telah murtad sedangkan ini bukan kesnya), lebih elok sekiranya kita kenal saiz dan kekuatan musuh kita sebelum kita membuat perancangan bagaimana memerangi mereka.
Baca: Dari isu Hudud ke Homoseksual: Pakatan Rakyat mula terperangkap
*Abd Rahman Koya adalah editor Islamic Book Trust, yang menerbitkan buku-buku dan karya-karya berorientasikan Islam dalam Bahasa Inggeris (www.ibtbooks.com).
*Abd Rahman Koya adalah editor Islamic Book Trust, yang menerbitkan buku-buku dan karya-karya berorientasikan Islam dalam Bahasa Inggeris (www.ibtbooks.com).