Pegawi khas: Muhyiddin tak faham, kritikan Ku Li mahu selamat Umno
KUALA LUMPUR, 10 Nov — Tengku Razaleigh Hamzah memberi pandangan ikhlas untuk menyelamatkan Umno apabila mengatakan ruang untuk bersuara dalam parti teras Barisan Nasional (BN) tersebut terhad dan ramai dipinggirkan, kata pegawai khas kepada pemimpin veteran itu.
Muhd Lukhman Ghani, yang juga ahli jawatankuasa Umno Petaling Jaya Utara memberitahu, perkembangan semasa menunjukkan bahawa parti itu perlu memberi ruang yang luas kepada ahli-ahlinya untuk bersuara, bukan setakat memilih perwakilan mengikut kehendak kepimpinan untuk berucap pada perhimpunan agung setiap tahun.
"Tengku Razaleigh (gambar) sebenarnya memberi komen akibat keluhan dan keresahan ahli-ahli akar umbi, di mana mereka tidak boleh bersuara . . . tulisan dalam blog dan buku, yang terbaru seperti Kesilapan-kesilapan Najib, adalah contoh apa yang dirasakan dan difikirkan oleh ahli-ahli Umno di peringkat bawah," kata Muhd Lukhman lagi.
Kata beliau, sekiranya kepimpinan Umno tidak memperbaiki keadaan ini, pada satu hari nanti rakyat "akan mengubah kita."
"Kita kena berubah atau rakyat akan mengubah kita... itu mesej yang hendak disampaikan oleh Tengku Razaleigh," kata beliau lagi.
"(Oleh itu) pemimpin kena dengar pandangan orang bawahan, berikan mereka ruang untuk bersuara," katanya menyelar respons Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin kononnya Umno tidak pernah menyekat mana-mana suara ahlinya dalam menyatakan pandangan seperti didakwa Tengku Razaleigh.
Dalam kenyataannya, Muhyiddin berkata Umno tidak pernah menyekat mana-mana pemimpinnya di semua peringkat daripada menyuarakan pendapat tentang isu melibatkan parti kerana Umno mengamalkan prinsip demokrasi.
Muhyiddin berkata setiap hari beliau membaca dalam akhbar banyak pendapat daripada pemimpin-pemimpin Umno yang mengulas mengenai pelbagai isu yang membuktikan tiada sekatan daripada parti.
"Tiada satu pun pekeliling yang dikeluarkan kepada mana-mana pemimpin Umno baik di peringkat negeri, bahagian atau individu mengatakan mulut mereka terkunci dan tertutup sepanjang masa. Kadang-kadang mereka bercakap lebih daripada yang sepatutnya pun," katanya menjawab Tengku Razaleigh Hamzah pada hari yang sama menegaskan bahawa Umno sudah tiada peluang untuk bersuara, dan jika mahu bercakap pada perhimpunan agung pun, individu itu perlu mendapatkan kelulusan pihak atasan.
Pada 22 Julai lalu, Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Gua Musang melancarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) dengan beliau sebagai presidennya, sebagai platform untuk menyuarakan pendapat secara lebih meluas.
Kelmarin beliau mengumumkan agenda susulan pertubuhan itu selepas menerima kelulusan Pendaftar Pertubuhan bulan lalu.
Ahli Parlimen Gua Musang itu juga menegaskan beliau terpaksa menubuhkan Amanah kerana tidak lagi mempunyai ruang untuk bersuara dalam Umno.
Ia termasuk ruang untuk bercakap sewaktu perhimpunan agung Umno diberikan syarat yang ketat termasuk perlu mendapat kelulusan pimpinan parti.
Sambil menekankan bahawa banyak pihak dalam Umno dipinggirkan daripada memberi pandangan sama ada secara langsung atau tidak langsung termasuk dalam media dikuasai Umno sendiri, Muhd Lukhman menambah, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno tidak sedar yang dirinya juga sedang dipinggirkan oleh media Umno.
"Sebenarnya Muhyiddin tidak faham atau buat tidak faham apa yang hendak disampaikan oleh Tengku (Razaleigh)," katanya lagi.
Mengambil kira pandangan itu, beliau berkata, status Muhyiddin mungkin berada di tangga kelima dalam carta 'orang yang diberi prioriti' oleh Umno dalam melahirkan suara mereka.
Perkara itu menurut beliau boleh dilihat melalui program-program anjuran Umno dan liputan media arus perdana yang pro-BN sendiri.
Ahli Majlis Tertinggi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) ini berkata, orang pertama yang diberi keutamaan oleh Umno adalah Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Kedua pula katanya, adalah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isterinya Datin Seri Maznah Rais.
"Tempat ketiga diberikan kepada pengampu-pengampu Najib dan yang menyalak ke arah (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) seperti Senator Ezam Mohd Nor dan Zaid Mat Arip serta ahli-ahli Parlimen bebas yang mengecam pembangkang. Muhyiddin tak ada dalam ranking empat yang utama, apatah lagi naib-naib presiden Umno.
"(Dalam Umno) kalau mengampu kerajaan baru dapat ruang," sindir Muhd Lukhman yang menyifatkan hanya 'ruang terpilih' yang ada dalam Umno.
Bagaimanapun mengulas perkara itu semalam, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata saluran alternatif seperti blog harus dijadikan platform pemimpin parti politik untuk bersuara.
"Kita boleh guna blog untuk bersuara. Kalau tidak boleh bersuara dalam parti, kita guna blog. Dalam parti, kadang-kala dia (pemimpin) pun tak berapa dengar.
"Kita ada kebebasan bersuara. Jadi, kita boleh bersuara tetapi kalau orang lain tak berapa dengar, kita tak boleh buat apa-apa," kata bekas presiden Umno ini yang masih berpengaruh dalam kitaran politik negara ini.