Tuesday, December 21, 2010

Tentera LEBANON temui sistem risikan Israel



PERALATAN perisikan Israel yang ditemui di pergunungan Sannine oleh Pasukan Tentera Lebanon disorok di bawah batu. - AFP
BEIRUT 16 Dis. - Tentera Lebanon semalam mengumumkan penemuan dua alat risikan canggih milik Israel di kawasan pergunungan Beirut yang dipercayai digunakan oleh rejim Zionis itu untuk memantau dan merancang serangan ke atas negara ini.
Peralatan itu ditemui hasil maklumat yang diberikan oleh pergerakan Hezbollah kepada perisikan Lebanon, menurut kenyataan tentera Lebanon, semalam.
Pasukan tentera berkata, Israel menanam peralatan itu di gunung Sannine dan Barouk, daerah pergunungan yang terletak di bahagian utara dan selatan Beirut.
Gambar yang disiarkan oleh laman web tentera menunjukkan peralatan itu tersorok di balik batu-batu di lereng gunung berbatu.
Israel boleh menggunakan peralatan itu untuk membuat koordinasi sasaran. Peralatan itu mempunyai laser yang berupaya mencapai jarak 12 kilometer dan mampu mendapatkan bekalan tenaga sendiri dan menghantar gambar.
Menurut sumber tentera, peralatan itu turut memantau wilayah di sempadan Lebanon dengan Syria.
Sejurus selepas pengumuman itu, pesawat pejuang Israel dilaporkan terbang rendah di atas pekan-pekan di selatan Lebanon, menurut penduduk tempatan.
Pasukan tentera Israel bagaimanapun mengeluarkan kenyataan: tidak ada aktiviti luar biasa tentera di kawasan itu. - Reuters (satu umat)