Wednesday, October 19, 2011

Broker Tanah Melayu.........................................

  Broker ini bukan saja hidup di KL, mereka ada di tiap ceruk negeri. Susah kalau nak tengok kehijauan pokok kecuali rumah batu yang rendah dan tinggi penuh jalan tar bersimpangsiur...kalau nak tengok jugak kena pegi hutan itu pun yang dah hampir botak dengan hasil balak yang telah ditebang! Ataupun penuh dengan hutan kelapa sawit......

....Tak lama lagi, kalau nak tengok pokok kita kena pegi taman botani, kalau nak lihat binatang kena pegi zoo, tempat khusus melihat orang bersawah.........

 

MEMAHAMI HARGA DAN NILAI



HANYA TINGGAL KENANGAN



NOTA:
ini istana kucik
telah dirobohkan
dalam tahu 60'an
untuk memastikan
tidak ada hubungan
istana dengan tanah anugerah ini!




KAMPONG BARU HARGA DAN NILAINYA

Pembaca yang budimana – saudara saudari pasti telah terbaca atau terdengar kenyataan Pak Menteri Islam dari United Malay National Organisation tentang betapa berharganya tanah Kampong Baru. Dari akhbar dan tv kita semua diberitahu bahawa tanah Kamnpong Baru ini berhampiran dengan bangunan Petronas. Justeru tanah Kampong Baru ini setaraf harganya dengan tanah di Segi Tiga Emas Bukit Bintang.

Kenyataan Pak Menteri Islam ini amat tepat. Para Menteri Melayu Islam ini memang tahu harga yang betul. Kita diberitahu bagaimana harga tanah di Jalan Raja Alang hanya 2 ringgit untuk satu kaki persegi berbanding dengan 2000 ringgit di Jalan Pudu. Ini adalah kenyataan saheh. Kenyatan yang tidak boleh kita pertikaikan keafdalannya. Jelas, kenyataan Menteri Melayu Islam ini bertujuan untuk membuktikan bahawa dia bijak dan kita semua bodoh.

Kita dianggap bodoh kerana menentang status Kampong Baru. Kita bodoh kerana kita berkempen menentang rang undang undang Kampong Baru yang ingin diluluskan oleh parlimen. Kita dianggap bodoh kerana menentang rang undang-undang yang membolehkan tanah Kampong Baru dijual dipasaran terbuka. Malah sesiapa sahaja yang tidak tahu harga tanah Kampong Baru di pasaran terbuka akan dimasukkan ke dalam kumpulan OBKG – Orang Bodoh Kampong Baru.

Sayugia diingati , para Menteri-Menteri Malayu Islam ini amat bijak kerana mereka tahu semua harga. Mereka tahu harga tanah, tahu harga rumah, tahu harga sawah atau tahu harga hutan balak. Tanyalah tentang harga – dengan sekelip mata mereka akan menjawab. Menteri-Menteri Melayu Islam cukup arif dengan harga barangan.

Tetapi ada sesuatu yang Menteri Melayu Islam ini bebal dan tidak tahu. Menteri Melayu Islam tahu semua harga barang tetapi mereka tidak tahu nilainya. Mengetahui harga bukan bermakna mengetahui nilainya. Nilai bukan harga. Disini kita semua akan melihat dengan jelas kebebalan Menteri Melayu Islam ini.

Menteri Melayu Islam ini telah berbuah-buih mulut menyatakan betapa stratejik letaknya tanah Kampung Baru ini. Tanah seluar 123 hektar yang terletak ditengah kota Kuala Lumpur ini akan menjadi hempeh kalau tidak dijual ke dalam pasaran terbuka. Malah menurut Menteri Melayu Islam ini tidak ada tanah sestratejik ini akan ditinggalkan oleh sesiapa yang waras otaknya tanpa dijual untuk dijadikan modal. Tanah seluas ini jika tidak dibangunkan maka akan memperlihakan kebodohan Orang Melayu yang gagal dalam perjuangan untuk menjadi kaya.





Disini biar saya bangangkan Menteri Melayu Islam yang suka menipu Orang Melayu ini. Ucapan dan kenyataan Menteri Melayu Islam ini tidak berpijak di bumi yang nyata. Kenyataan ini ‘diterima’ untuk dijaja kepada Manusia Melayu kerana selama ini Manusia Melayu telah dibonsaikan akal fikrah mereka. Otak bonsai ini telah dipaku pula dengan budaya feudal. Otak bonsai dan budaya feudal adalah campuran dua kimia yang telah berjaya melahirkan Manusia Melayu untuk menjadi Tukang Angguk. Otak bonsai tidak berkeupyaan untuk memiliki fikrah yang cerdas dan kritikal.

Manusia Melayu ditipu dengan maklumat yang tidak lengkap. Betul tanah Kampong Baru stratejik letaknya. Tetapi dalam dunia ini ada lagi tanah stratejik yang harganya berjuta juta kali ganda dari harga tanah Kampong Baru. Orang Melayu tidak diberitahu tentang wujudnya tanah-tanah kosong yang paling stratejik tetapi masih ditinggalkan kosong. Tanah tanah kosong yang hektarnya lebih luas dari tanah Kampong Baru masih tersadai kosong di London dan di New York.

Kota London adalah kota perniagaan paling tua. Kota London pernah menjadi kota terbesar dalam dunia. Ertinya harga tanah cukup mahal dalam kota ini. Di tengah-tengah kota London ada tanah seluas 253 hektar yang kosong. Ianya menjadi padang rumput yang dipenuhi dengan pokok-pokok dan dihiasi oleh beberapa buah tasik. Di sebelah tanah kosong ini adalah kawasan hotel dan kawasan perumahan yang harganya berjuta ringgit.

Tanah ini telah dibiarkan kosong semenjak tahun 1637 lagi. Tanah kosong ini telah diwakafkan untuk kegunaan orang ramai bersantai. Selama lebih dari 500 tahun belum ada kedengaran cadangan dari Menteri British yang Kapir untuk membuka dan menjualkan sebahagian dari tanah ini. Menteri-Menteri Kapir ini tahu harga tanah ini. Tetapi dalam masa yang sama Menteri Kapir ini tahu juga akan nilai tanah ini.

Dari kota London biar saya bawa para pembaca ke satu lagi kawasan tanah yang paling stratejik dalam dunia ini. Tanah seluar 341 hektar ini berada ditengah-tengah kota New York. Tanah ini dibiarkan bagitu sahaja – menghutan dan mengrimba. Rasa saya mungkin tidak ada harta tanah yang paling berharga dalam dunia ini melainkan tanah kosong ini di New York. Di sebelah tanah hutan ini ialah pejabat dan gedung-gedung perniagaan antarabangsa.

Bayangkan kota New York ini adalah kota Yahudi. Masyarakat Yahudi ini sering dikatakan memiliki kesedaran perniagaan yang cekap dan licik. New York ialah tempat orang Yahudi berniaga mencari untung. Justeru tidak jauh dari tanah kosong ini ialah tempat dimana para peniaga Yahudi, kapitalis gergasi dan kaum pemodal antarabangsa dunia ini berniaga. Di tepi tanah kosong in para peniaga antarabanga meniagakan riyal, dolar, dinar, minyak, rempah, emas, intan dan apa sahaja yang boleh diniagakan. Bukan sahaja disini mereka berniaga harta tanah malah di Wall Street ini mereka meniagakan turun naiknya sesebuah kerajaan.



Bayangkan di New York – kota Yahudi - masih ada tanah kosong seluas 341 hektar. Tetapi tidak terlintas dikepala ahli-ahli perniagaan Yahudi New York ini untuk membelit para politikus Amerika. Tidak terlintas dikepala peniaga Yahudi ini untuk menipu warga New York agar bersetuju diubah undang-undang Tubuh Kota New York agar tanah ini dapat dijualkan kepada Vincent Tan, Ananda Krishnan atau Teik Jo Low.

Lihat betapa berbezanya Menteri Kapir di London dengan Menteri Melayu Islam di Malaysia. Lihat betapa berbezanya ahli perniagagan Yahudi di New York dengan Menteri Melayu Islam di Putrajaya. Apakah Menteri Kapir di Lodon tidak tahu akan harga tanah di Hyde Park? Apakah ahli perniagaan Yahudi di New York tidak sedar akan harga tanah di Central Park? Apakah ahli perniagaan Yahudi New York ini tidak memiliki pengaruh? Saya jamin mereka tahu harganya. Mereka bukan hanya tahu harga tanah kosong tetapi mereka juga tahu akan nilai tanah kosong ini.

Disini jelas Menteri Melayu Islam ini tidak mengetahui makna nilai. Kerana mereka tidak mengetahui nilai maka bangunan-bangunan lama dirobek. Lihat bagaimana Rumah Pasong Lama, Pejabat Pos Lama, kedai-kedai lama diruntuhkan agar kroni dapat projek baru untuk mendirikan bangunan baru. Jangan sesekali kita melupakan bagaimana Penjara Pudu yang berumur lebih dari 100 tahun telah juga dirobek untuk dijualkan kepada para Cukong.

Untuk anak-anak muda. Untuk mereka yang berumur dibawah 40 tahun ingin saya beritahu disini bahawa satu ketika dahulu Bukit Ceylon itu adalah satu kawasan hutan tropikal asli yang tidak pernah diusik. Juga ingin saya beritahu disini bahawa pada satu ketika dahulu bangunan Parlimen kita dikelilingi oleh Taman Tasek berhutan tanpa Kancil, Rusa dan Kelisa menaburkan karbon monoxide.




Hari ini sejarah telah memperlihat bagaimana hutan Bukit Gasing digondolkan. Kita telah melihat bagaimana hutan Bukit Lenjan musnah. Tidak lama lagi kita akan melihat padang di hadapan Rumah Pasong Brickfeild musnah dilelong. Hari ini kita telah mendengar bagaimana Padang Kelana Jaya tempat warga bersantai telah dilelong.

Apa sebenarnya makna semua ini? Bagaimana kita hendak memahaminya? Biar saya jelaskan bahawa semua ini adalah manifestasi dari sistem ekonomi kapitalis. Dalam sistem ekonomi kapitalis yang diutamakan ialah keuntungan maksima. Dalam sistem ekonomi kapitalis apa yang boleh dijual akan dijual. Apa yang boleh membuat untung akan dijual. Kalau anak, isteri atau ibu bapa boleh mendatangkan keuntungan maka – mereka juga akan dijual.

Tetapi kenapa tanah kosong Central Park di New York dan Hyde Park di London tidak dijual. Bukankah Mat Saleh Kapir dan Yahudi New Yok itu pengamal sistem kapitalis? Betul mereka mengamalkan sistem kapitalis. Tetapi para kapitalis kita adalah kapitalis dari Dunia Ketiga. Kapitalis Dunia Ketiga baru muncul – mereka lucah, rakus dan tidak memiliki nilai.

Manakala kaum kapitalis di Eropah dijana ratusan tahun dahulu. Mereka lahir dari pertempuran. Mereka bangun berjuang menentang sistem feudal yang memerangkap mereka. Mereka pemula. Mereka memeta dunia. Mereka menjana seni dan budaya. Mereka melahirkan kaum pemikir dan kaum intelektual.

Semua nilai ini tidak dimiliki oleh kaum kapitalis Dunia Ketiga seperti di Malaysia. Kaum kapitalis di Malaysia ini kalau berbangsa China atau India – teromba dan salasilah mereka adalah kuli di ladang getah atau di lombong bijih. Seni budaya dan nilai hidup bukan milik mereka.

Kaum kapitalis Melayu – ini adalah kumpulan yang baru dimunculkan oleh Dasar Ekonomi Baru. Mereka ini memiliki sifat yang amat hodoh. Lebih hodoh dari kapitalis China atau India yang telah wujud agak lama dlasm negara kita ini. Kaum kapitalis Melayu ini jadi kaya kerana menjual kontrek dan pencari komisen. Mereka bukan pemula, pereka atau berniaga. Inilah hakikat kapitalisma di Malaysia hari ini - kapitalisma Dunia Ketiga.

Kumpulan kapitalis Melayu ini pula akan bersekongkol dengan politikus Menteri Melayu Islam. Amat susah untuk kita mencari garis pisah antara Usahawan Melayu Berniaga Kontrek dengan Menteri Melayu Islam. Dua kumpulan ini sering bekerja sama dan kadangkala orang yang sama. Mereka berpolitik untuk mendapat projek agar menjadi kaya dengan cepat. Justeru jalan pintas untuk kaya dengan cepat inilah dengan menjual tanah Kampong Baru. Akhirnya Kampong baru di gadaikan. (TT)