Ada seorang pegawai di salah sebuah bank terkenal di negara kita yang bekerja dalam sektor pinjaman komersial. Dia seorang penganut agama Hindu yang taat dan amat aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan di salah sebuah kuil yang amat terkenal di negara kita. Dia sering mengulang kaji kitab Veda bagi memantapkan kefahaman dalam agama Hindu anutannya.
Sepanjang ulangkajinya ada beberapa perkara yang menimbulkan kemusykilan dalam hatinya terutamanya dalam bab berhala yang disembah oleh orang Hindu. Pernah satu hari dalam mesyuarat bersama para sami, dia bertanyakan kemusykilannya tentang dari mana datangnya ajaran bahawa ada banyak Tuhan dan kenapa ada berhala mereka yang punyai banyak tangan.
Tersembul biji mata para sami mendengar soalannya. Mereka bertanya kenapa dia mahu tahu. Dia berkata sepanjang pengamatan dalam kittab veda, apa yang difahaminya adalah Tuhan itu tidak ada yang menyerupainya dan Tuhan itu Maha Berkuasa, tak ada pula kata yang Tuhan itu banyak tangan, sebagai contoh.
Para sami berkata, banyak tangan itu maknanya amat berkuasa dan amalan tersebut sudah lama menjadi ajaran turun temurun mereka. Lalu pegawai bank tersebut bertanya tidak bolehkan kita hanya mengikuti ajaran kitab Veda tanpa menyembah segala berhala yang direka-reka yang tidak ada disebutkan di dalam kitab tersebut.
Apalagi, merah menyalalah mata semua para sami mengutuk cadangan pegawai bank muda tersebut dan sejak itu dia tidak lagi mempersoalkan semua kemusykilannya dan meneruskan segala kerja baiknya membantu orang-orang yang memerlukan. Dia aktif menyumbang pada kuil tersebut seperti biasa.
Suatu petang, balik dari tempat kerjanya dia terus membuka TV dan duduk sebentar melihat program yang ada. Masa itu satu program kuliah agama disiarkan dan kebetulan penceramahnya berkata, "Bagaimana baikpun seseorang itu terhadap manusia, membuat segala amal kebajikan, tetapi seandainya dia bukan Islam, maka nescaya semua itu sia-sia dan nerakalah tempatnya jika dia mati dalam keadaan itu..."
Dia terus tersentak dengan ayat tersebut dan begitu marah sekali lalu terus menutup siaran tersebut tidak mahu mendengar lanjutan dari program yang disiarkan. Tetapi ditakdirkan Tuhan, ayat itu benar-benar menghantuinya dan dia amat marah pada penceramah itu, tidak dapat menerima bahawa segala amalnya membantu orang ramai tak kira agama hanya sia-sia dan akan berakhir di neraka.
Saban hari perkataan itu berulang-ulang di telingannya sehinggakan ia menjejaskan kehidupan seharinnya. Pada satu hari salah seorang pelanggannya seorang tua berbangsa Melayu bertanya samada dia ada menghadapi masalah melihatkan sikapnya yang berubah tidak lagi ceria seperti dahulu.
Lalu dia bertanya pada pakcik itu samada dia kenal seorang ustaz begini begitu rupanya yang dilihatnya berceramah di dalam satu siaran TV beberapa hari lalu. Lalu pakcik itu berkata, kalau betul gambaran yang diberikan itu adalah Ustaz Harun Din (masa itu belum kena banned lagi).
Dengan pantas pegawai India itu bertanya samada pakcik tersebut mengenalinya. Dia ingin berdepan dengan Ustaz itu dan menyatakan ketidak puasan hatinya. Lalu diceritakanlah apa yang berlaku pada pakcik tersebut dari mula hingga akhir. Kebetulan pakcik itu mengenali Ustaz Harun Din dan pada satu hari dia membawa Pegawai itu menghadiri kuliah Ustaz Harun Din.
Sebelum dapat bertemu dengan Ustaz Harun Din, dia terpaksa menunggu sebentar sehingga habis kuliah maka diikutilah kuliah itu dari mula hingga habis. Kebetulan Ustaz Harun Din sedang memberikan kuliah mengenai akidah.
Sepanjang kuliah, apa saja yang di perkatakan oleh Ustaz, dia merasakan seolah-olah Ustaz hanya menujukan padanya seorang sahaja. Semuanya terkena batang hidungnya satu persatu dari mula hingga akhir. Terutamanya petikan ustaz bagaimana Al-Quran menempelak para kafir Kuraish yang menjadikan amalan turun temurun datuk nenek sebagai alasan menolak kebenaran.
Semua apa yang dihuraikan oleh Ustaz tentang ketuhanan dan ajaran Islam adalah sebagai mana yang ditemuinya di dalam kitab veda dan Islam menolak segala amalan penyembahan berhala yang jauh terpesong dari ajaran agama sebenar.
Diringkaskan cerita, hari itu segalanya bertukar. Daripada mahu menyatakan rasa tak puas hatinya pada Ustaz Harun Din, dia terus memeluk Islam dengan yakin bahawa itulah agama yang sebenar-benarnya yang difahaminya dan dicari selama ini. Demikian lebih kurang ceritanya.
Dari cerita di atas kita dapat melihat betapa dari segi akidah ketuhanan, mereka yang mencarinya dan memikirkannya tidak akan dapat lari daripada menemui bahawa akidah Islam adalah akidah yang murni dan mengatasi segala yang lain. Jika kita sentiasa mempercayai kewujudan Tuhan dan menggunakan akal yang sihat, maka kita tidak akan dapat menerima ajaran selain daripada Islam.
Sebaliknya jika fokus utama kita lebih kepada diri kita dan hanya memikirkan cara bagi memuaskan kehendak nafsu keseronokan sahaja tanpa sedikitpun kembali kepada mengingati dan memikirkan tentang Tuhan, maka kita akan hanyut mengejar keseronokan dunia sehinggakan kadang kala terjerumus ke lembah kesesatan.
(dikutip dr warta shubhi)