Saturday, October 15, 2011

Kempen Occupy Wall Street merebak, demo global protes ‘golongan kaya tamak’

Aksi seorang penunjuk perasaan kempen Occupy Wall Street di Zuccotti Park dekat Wall Street, New York semalam. — Foto Reuters
MILAN, 15 Okt — Penunjuk perasaan di seluruh dunia mula membuat persiapan menggerakkan protes besar-besaran terhadap bank, pembiaya kewangan dan ahli-ahli politik yang dituduh menguruskan ekonomi global sambil mendakwa menyebabkan berjuta-jta orang diselubungi kemiskinan ekoran ketamakan mereka. Dirangsangkan oleh gerakan Occupy Wall Street yang berlarutan sejak sebulan lalu - dari bandar-bandar New Zealand sehingga ke Alaska — dari London, Frankfurt sehingga New York sendiri.
Pasukan polis antirusuhan mula bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkina — bandar-bandar seperti London dan Athens telah menyaksikan konfrontasi-konfrontasi tahun ini, tetapi mustahil untuk mengatakan berapa ramai yang sebenarnya akan menyertai meskipun sudah ada panggilan ke arah itu menerusi laman-laman media sosial.
“Saya sudah lama menunggu protes ini, sejak 2008,” kata Daniel Schreiber, 28, seorang editor di Berlin.
“Saya tertanya-tanya mengapa orang ramai tidak marah dan mengapa tidak berlaku apa-apa dan akhirnya, selepas tiga tahun ia berlaku,” kata beliau.
Protes dilabelkan sebagai satu tindakan aman.
Bagaimanapun dikhuatiri isyarat awal apa sahaja kemungkinan akan berlaku, satu kumpulan pelajar menyerbu pejabat-pejabat Goldman Sachs di Milan, Itali semalam.
Pelajar-pelajar telah dapat pecah masuk ke dalam bangunan Goldman Sachs di tengah-tengah daerah kewangan Milan.
Penunjuk perasaan dengan cepat bersurai tetapi conteng warna merah, yang membawa mesej “Beri kami duit” ditinggalkan pada dinding bagi menunjukkan kemarahan terhadap Perdana Menteri Silvio Berlusconi.
Penunjuk-penunjuk perasaan juga menyerbu ibu pejabat bank terbesar Itali UniCredit.
Polis Itali diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi perarakan melibatkan beribu-ribu orang di Rom berhubung pendekatan berjimat-jimat yang dirancang oleh kerajaan Berlusconi.
Di London, penunjuk perasaan bercadang untuk membanjiri bandar raya London - pusat kewangan antarabangsa utama - di bawah kain rentang “Occupy the Stock Exchange”.
“Kami ada orang ramai dari semua lapisan masyarakat yang akan menyertai kami setiap hari,” kata Spyro, salah seorang yang menulis pada laman sosial Facebook di London, yang telah menarik 12,000 orang pengikut hanya dalam beberapa minggu.
Spyro, seorang pelajar berusia 28 tahun yang mempunyai kerja dengan gaji yang baik dan tidak mahu memberi nama penuh berkata, sasaran utama protes global berkaitan dengan “sistem kewangan.” Marah dengan tindakan menyelamatkan bank-bank menggunakan wang pembayar cukai sejak 2008 tetapi masih membayar bonus dalam jumlah yang besar sedangkan pengangguran menjejaskan kehidupan ramai orang muda Britain, dia berkata: “Orang ramai dari seluruh dunia, kami berkata, ‘Cukuplah’.”
Penunjuk-penunjuk perasaan yang cenderung kepada gerakan Indignant Sepanyol mahu mengadakan perarakan antipendekatan berjimat-jimat di dataran Syntagma, Athens hari ini - lokasi bagi demonstrasi ekoran kegawatan kewangan Greek.
“Apa yang berlaku di Greek sekarang adalah mimpi buruk yang menanti negara-negara lain pada masa akan datang. Solidariti adalah senjata rakyat,” kata kumpulan Real Democracy dalam satu kenyataan mempelawa orang ramai menyertai protes.
Protes ini selain memfokus elemen “ketamakan dan rasuah” di kalangan golongan yang kaya-raya, juga mahu bank-bank membayar lebih dan kerajaan-kerajaan yang dipilih pula tidak mendengar suara rakyat.
“Ini masa bagi kami bersatu; ini masa bagi mereka mendengar; rakyat dari seluruh, bangkit!”, demikian mesej laman web United for #GlobalChange.
“Kami tidak dilayan dengan baik oleh ahli-ahli politik dan bank-bank, yang tidak mewakili kami... kami akan berdemonstrasi secara aman, bercakap dan menguruskan sehingga memastikan ia (perubahan) berlaku,” katanya.
Di Jerman, di mana simpati ke atas masalah hutang selatan Eropah masih bercapuk-capuk, pusat kewangan Frankfurt dan European Central Bank khususnya dijangka menjadi fokus perarakan yang hendak diadakan oleh gerakan Real Democracy Now.
Di Amerika Syarikat, beratus-ratus penunjuk perasaan berhimpun di Zuccotti Park, Manhattan dan mahu lebih ramai orang menyertai mereka. Langkah mereka itu menggerakkan usaha mengadakan tunjuk perasaan sedemikian di bandar-bandar utama yang lain di negara itu mulai hari ini.
Di Houston, penunjuk perasaan dijangka memperlihatkan kemarahan mereka ke atas syarikat-syarikat minyak besar.
Pun begitu beberapa penganalisis berpandangan bahawa momentum protes di beberapa negara seperti Greek dan Sepanyol berlalu dengan perlahan.
“Ramai orang bersetuju dengan protes daripada mengambil bahagian,” kata Profesor Mary Bossis dari Universiti Piraeus.
Katanya, meskipun ramai marah dengan pendekatan memotong gaji dan pencen manakala beratus-ratus pula kehilangan kerja, masih kekurangan pencetus bagi tindakan protes.
“Ada kemarahan, ada berang... tetapi apa yang perlu untuk mengubah situasi semasa masih keciciran,” katanya lagi. — Reuters

Kumpulan POKAI berdemo di Alor Setar
Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Persatuan Orang Kedah Anti Inflasi atau POKAI hari ini mengadakan demostrasi aman bagi menggesa kerajaan memantau harga barang yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Seorang anggota kumpulan itu, Mohd Azizi Abdullah, 35, berkata kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini seperti ayam, sayur, cili merah dan bawang dilihat sangat keterlaluan dan menindas masyarakat terutamanya di luar bandar.

"Masyarakat di kawasan ini (Kuala Kedah) hanya bekerja sebagai nelayan dan petani. Jadi kenaikan harga barang amat dirasai dan membebankan kami.

"Kami harap kerajaan dapat terus memantau harga barang bukan sahaja semasa musim perayaan tetapi hari-hari lain juga perlu dipantau," katanya selepas mengadakan demostrasi aman anti inflasi berhampiran Pasar Besar Alor Setar hari ini.

Mohd Azizi berkata walaupun harga minyak turun sedikit tetapi harga barang-barang lain terus meningkat dan membebankan rakyat.

"Kami bukannya bergaji besar. Walaupun kenaikan harga sesetengah barang itu sedikit, tetapi ia tetap dirasai," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pasar Besar Alor Setar mendapati harga ayam menurun berbanding 10 hari lepas.

Seorang peniaga ayam Johari Saad, 37, berkata kini dia menjual ayam dengan harga RM7 sekilogram berbanding RM7.80 sekilogram pada 10 hari lepas.

"Harga ayam tak pernah sampai RM8 sekilogram... 10 hari lepas ayam mahal kerana pembekal mengalami masalah kekurangan ayam sebab banyak ayam mati sebelum disembelih.

"Jadi mereka terpaksa menjual kepada kami dengan harga yang tinggi dan kami juga terpaksa menaikkan sedikit harga ayam bagi mendapat sedikit keuntungan," katanya.

Johari berkata dia berharap agar harga ayam bukan hanya dikawal semasa musim perayaan sahaja tetapi pada setiap masa.

"Saya juga pengguna. Jadi bila ada pengguna merungut harga mahal, kami yang berniaga turut terasa. Kami terpaksa menjual dengan harga itu kerana harga yang kami dapat daripada pembekal juga tinggi," katanya.

Lim Chong Heng, 41, yang turut berniaga ayam meminta agar kerajaan meletakkan harga siling kepada ayam kampung kerana harganya terlalu tinggi iaitu RM11 sekilogram.

"Walaupun tak banyak yang cari ayam kampung tapi ia tetap mendapat permintaan. Jadi saya harap harga ayam kampung dapat dikawal bagi tidak membebankan pengguna," katanya.

Seorang peniaga cili merah V Vasudi Devi berkata harga cili merah terlalu tinggi iaitu RM10 hingga RM15 sekilogram.

"Kenaikan ini mungkin disebabkan cuaca yang selalu hujan sejak akhir-akhir ini. Bukan harga sahaja yang mahal malah kualiti cili merah juga merosot.

Pelanggan banyak merungut terutamanya yang nak sambut Deepavali minggu depan.

"Saya sebagai peniaga tak boleh nak buat apa-apa kerana saya dapat daripada pembekal pun memang mahal," katanya.

- Bernama