Saturday, October 15, 2011

Rantau Asia Pasifik dijangkiti Occupy Wall Street hari ini


TOKYO, 15 Okt — Protes mengecam jurang pendapatan yang semakin meningkat dirancang untuk diadakan di rantau Asia Pasifik hari ini dengan penunjuk perasaan menganjurkan usaha mereka menerusi media sosial dari Tokyo hingga Sydney untuk menyertai London dalam gerakan Occupy Wall Street.
Perarakan itu yang bermula di New York pada 17 September lalu telah pun merebak ke bandar-bandar Amerika Syarikat yang lain termasuk Denver, Boston dan San Francisco.
Protes Occupy Tokyo yang didorong oleh gerakan kempen Occupy Wall Street di Tokyo, Jepun hari ini. — Foto Reuters
Perhimpunan terbesar dirancang untuk diadakan di London dan Australia, demikian menurut penganjur yang mengharapkan rangkaian-rangkaian seperti Facebook bagi menarik ribuan penyokong dan pengikut hari ini dan selepas ini. “Ramai sudah pun tertarik dengan apa yang berlaku di seluruh dunia. Dan, saya tahu ada 1,300 orang di Facebook mengatakan mereka akan datang,” kata seorang jurucakap yang merancang demonstrasi di Sydney, Josh Lees ketika dihubungi.
Sekurang-kurangnya 200 orang termasuk kanak-kanak berhimpun di City Square, Melbourne iaitu bandar raya kedua terbesar Australia hari ini, membawa kain rentang dan menggesa agar “ketamakan” diakhiri.
Dipetik laporan Bloomberg, Nick Carson, seorang jurucakap Occupy Melbourne menjangkakan penyertaan “sekurang-kurangnya ribuan pasangan.”
Di Sydney, penunjuk perasaan mahu berhimpun di Martin Place di daerah bisnes tengah pada pukul 2.30 petang waktu tempatan dan berhimpun untuk satu tempoh yang belum pasti “untuk menganjurkan, membincang dan membina satu gerakan bagi (mewujudkan) satu dunia yang berbeza, tidak diuruskan oleh satu peratus orang yang terlalu kaya,” kata kenyataan dalam laman Occupy Sydney.
Sekitar 4,000 orang telah menunjukkan hasrat mereka untuk mengambil bahagian dalam demonstrasi aman yang akan bermula tengah hari ini di luar London Stock Exchange, demikian menurut penganjur Kai Wargalla.
Di Taiwan, menurut laporan Bloomberg, lebih 1,500 orang telah mengesahkan sokogan menerusi Occupy Taipei Facebook dan mereka akan berhimpun di kawasan berhampiran dengan Taiwan Stock Exchange.
“Kami mahu membawa lebih banyak kesedaran di kalangan rakyat mengenai soal bagaimana mereka dikawal dan bagaimana pasaran dimanipulasikan,” kata penganjur Kimba Vetten menerusi telefon.
Sekurang-kurangnya tiga protes dan perarakan akan diadakan di Tokyo, kata D.J. Lortie, seorang guru bahasa dan penganjur satu protes di Taman Hibiya Park, tengah Tokyo.
Lortie berkata protes dijangka disertai antara 20 hingga 200 orang, bermula tengah hari ini.
Mereka akan berarak selama sejam ke arah ibu pejabat Tokyo Electric Power Co. dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri untuk menunjukkan perasaan tidak puas hati mengenai cara malapetaka nuklear akibat tsunami dan gempa bumi 11 Mac dikendalikan, kata Lortie.
Satu lagi perarakan di Roppongi, dekat ibu pejabat Goldman Sachs Group Inc., kemungkinan akan menarik sehingga 400 orang, kata Shoko Uchida, seorang penganjur menerusi panggilan telefon.
“Kami mahu mengatakan tidak perlu ada sistem ekonomi yang hanya mahukan keuntungan semata-mata,” kata beliau sambil menambah, “orang muda bimbang mengenai masa depan mereka.”
Lebih 30 kumpulan sivik merancang untuk mengadakan demonstrasi di Seoul, demikian menurut risalah yang diedarkan oleh sebuah organisasi yang memperkenalkan mereka sebagai “Preparation Group to Act for 99%”. Perarakan itu dirancang untuk diadakan pada pukul 6 petang ini di dewan bandar raya Seoul, kata penganjur Choi Young Jun yang dihubungi menerusi telefon.
Polis telah menafikan kebenaran bagi kumpulan itu mengadakan protes, kata Choi.
Dalam pada itu, di Hong Kong, perhimpunan dirancang untuk diadakan di Exchange Square Podium.
“Kami mahu mengadakan protes menentang sistem politik dan ekonomi yang memihak kepada orang kaya,” kata seorang penganjur Napo Wong dalam temu bual menerusi telefon.
Wong menjangkakan sekitar 200 orang akan hadir.
Laman “Occupy Raffles Place” telah diwujudkan bagi menggerakkan protes di Singapura dan ia akan diadakan sekitar 2 petang ini waktu tempatan.
Para peserta akan berarak ke arah SGX Center yang menempatkan bursa saham tempatan.
Pasukan Polis Singapura dalam satu kenyataan e-mel menggesa orang ramai agar tidak terpedaya dengan seruan menyertai “aktiviti haram.”
Perarakan Occupy Wall Street telah bermula bulan lalu di Zuccotti Park, Lower Manhattan.
Satu konfrontasi antara penunjuk perasaan dan polis New York telah dielakkan semalam selepas Brookfield Office Properties Inc, yang memiliki ruang awam, menangguhkan kerja-kerja pembersihan berjadual.
Lebih 700 penunjuk perasaan telah ditahan di New York sejak protes bermula, kebanyakan berhubung tuduhan perbuatan kacau-bilau. Polis melaporkan 14 tangkapan semalam atas tuduhan duduk di jalanan dan menterbalikkan tong-tong sampah.
Penunjuk perasaan bercadang untuk berhimpun di Times Square, New York pada pukul 5 petang ini waktu tempatan untuk menyertai “hari global membantah ketamakan Wall Street”, demikian menurut laman www.occupywallst.org.