Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 11 Okt: Pemuda DAP Kebangsaan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan kerajaan Barisan Nasional yang cuba menjadikan Malaysia sebagai ‘tong sampah dunia’ melalui projek pembangunan nadir bumi oleh Lynas di Kuantan, Pahang. Timbalan Pengerusi Pemuda DAP Kebangsaan Jenice Lee (gambar) berkata, kempen yang telah dijalankan bersama penduduk-penduduk sekitar langsung tidak diambil peduli oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar, lapor Roketkini. “Pimpinan kementerian itu asyik tidur sahaja, malah respon mereka terhadap desakan kami hanya dibalas dengan kata-kata kononnya dengan pembukaan kilang Lynas itu ia akan membuka 400 peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar,” katanya kepada Roketkini. Justeru, beliau berkata, dengan ketidakprihatinan terhadap alam sekitar, kerajaan seolah mahu menjadikan Malaysia sebagai tempat longgokan sampah sahaja. “Apabila kilang tersebut mula beroperasi, ia akan menghasilkan sisa-sisa yang tidak boleh dikitar semula dan kesan radioaktifnya tidak dapat diukur,” katanya. Jenice yang juga Pembantu Exco Belia dan Sukan Selangor memberi contoh mengenai loji pemprosesan Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah telah ditutup pada tahun 1992 berhubung beberapa kematian yang didakwa ada kaitan dengan leukemia dan keguguran. Menurutnya, punca kematian yang tidak dapat dijelaskan itu melibatkan wanita muda yang sihat yang tinggal di sekitar kawasan loji. “Malah, dalam pembentangan Bajet 2012 Barisan Nasional baru-baru ini isu pemeliharaan alam sekitar tidak tersenarai sebagai salah satu usaha pembangunan dan isu-isu seperti cyanide atau nadir bumi tidak disebut langsung,” katanya. Jenice yang juga Adun Teratai berkata, walau pun pebagai kempen dan protes telah dijalankan, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri BN langsung tidak mempedulikan tuntutan rakyat Kuantan khususnya. Beliau berpendapat, jika kerajaan benar bertanggungjawab terhadap rakyat, mereka harus menghentikan pembinaan kilang-kilang yang mengeluarkan produk-produk toksik dan berbahaya. “Rakyat tidak akan mendapat apa-apa manfaat dari kilang ini, malah rakyat perlu membayar pula kos kesihatan dan pencemaran yang dihasilkan kilang-kilang tersebut,” katanya. Oleh itu, menurutnya, Pemuda DAP bersama kumpulan masyarakat madani dan penduduk tempatan akan memperluaskan lagi kempen itu ke peringkat kebangsaan agar seluruh rakyat Malaysia sedar akan bahayanya ancaman isu-isu radioaktif ini.. Sementara itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Teo Nie Ching berkata, kerajaan Najib telah melanggar janji rerformasi kebebasan politik apabila membiarkan pihak polis menyerang perhimpunan aman Himpunan Hijau 109 di Taman Gelora, Kuantan pada Ahad lalu. Katanya, tidak sampai tiga minggu Najib menjanjikan kebebasan, tindakan keras polis terhadap perhimpunan aman itu yang membantah pembinaan kilang Lyna. “Pihak penganjur telah mendapat permit polis untuk mengadakan perhimpunan aman itu tetapi polis menarik balik di saat-saat akhir atas alasan ada pihak lain akan mengadakan acara di tempat yang sama,” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Serdang kesal kerana janji Najib dan BN gagal menyedarkan polis tentang hak dan tanggungjawab mereka untuk melindungi rakyat dan menjaga keamanan dengan cara yang tertib dan betul. – Roketkini.com |