Inkues Baharuddin remeh dan menyusahkan, kata hakim
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan balu allahyarham Baharudin Ahmad untuk mengadakan inkues ekoran kematian suaminya pada perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu.Hakim Datuk Su Geok Yiam berkata, permohonan isteri allahyarham Rosni Malan bersifat pra-matang, remeh, menyusahkan dan menyah-guna proses mahkamah.
“Berikutan ini, Mahkamah Tinggi membenarkan bantahan awal oleh Timbalan Pendakwa Raya yang mewakili responden dalam kes itu, “katanya, lapor Malaysiakini.
Rosni menamakan ketua polis Kuala Lumpur, ketua polis negara, majistret Kuala Lumpur dan Pendakwa Raya sebagai responden.
Baharudin, 59, rebah semasa menyertai perhimpunan di perkarangan KLCC pada himpunan Bersih 9 Julai lalu, dan disahkan meninggal dunia sebaik dibawa ke jabatan kecemasan, Hospital Kuala Lumpur pada jam 5.10 petang.
Bedah siasat ke atasnya dijalankan kira-kira lima jam kemudian oleh dua orang ahli patologi di hospital sama.
Kematian allahyarham menjadi perhatian apabila ia turut dikaitkan dengan dakwaan keganasan yang dilakukan polis ketika menyuraikan kumpulan yang berhimpun di sekitar ibu negara pada 9 Julai lalu.