Friday, December 24, 2010

CEO TNB, Che Khalib khianati usahawan Melayu?



Oleh ZABIDI HJ SAIDI
Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebuah GLC (syarikat 
berkaitan kerajaan) didakwa telah menganiayai sebuah 
syarikat Melayu.

Menurut Pengerusi I-Expo Sdn Bhd, 
Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor, pihaknya telah 
dianiayai oleh pihak TNB yang mana TNB melalui anak 
syarikatnya TNEC (Tenaga Nasional Engineering 
Corporation) 
telah mencuri balik barangan yang telah mereka jual 
kepada pihaknya.


"Saya mengadakan sidang akhbar ini setelah mengambil 
kira usaha untuk menemui Ketua Pegawai Eksekutif 
TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamed Noh tidak berhasil. 
Kami telah menghantar pelbagai surat rayuan untuk menemuinya tetapi hasrat kami tidak 
diendahkan," katanya dalam sidang akhbar yang dihadiri oleh pelbagai akhbar Melayu dan 
Cina. Malangnya akhbar Melayu tidak berani menyiarkan berita sidang akhbar itu kecuali 
akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 2 Disember telah menyiarkannya.

Katanya, "syarikat kami telah mengikat kontrak meroboh sebuah stesen janakuasa TNB 
di Perai, Butterworth, Pulau Pinang pada 3 Februari 2006 dan pada 7 Mac 2006 kami telah 
membuat pembayaran bagi scrap metal sebanyak RM14 juta untuk kuantiti 29,100.000 
tan/unit."

"Setelah selesai pengambilan pada 15 Mei 2009, sah sebagaimana yang kami jangkakan scrap 
metal ini didapati berkurangan sebanyak 9,665.058 tan/unit yang kami pasti telah dicuri balik 
oleh pihak TNB/TNEC," katanya lagi.

"Sebagai bukti ada gambar-gambar yang kita ambil semasa kejadian berlaku malah kami telah 
membuat laporan polis beberapa kali namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa," 
katanya.

Beliau mendakwa pihak TNB/TNEC telah menyalahgunakan kuasa dengan memakai uniform 
serta kenderaan TNB bagi mengangkut scrap-metal ini.

"Mereka juga sentiasa dapat keluarkan scrap-metal ini dari kawasan tapak dengan membuat 
beberapa permit material release palsu supaya dapat menipu pengawal keselamatan,' jelasnya 
lagi.

Kapten (B) Mahadzir amat dukacita kerana permohonan pihaknya untuk menemui CEO TNB 
bagi menyelsaikan perkara ini tidak dilayan.

"Apa yang kami mahu ialah mendapatkan kembali barangan kami dan kami pernah menerima 
tiga butir peluru hidup untuk menggertak kami," katanya lagi.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku adalah skandal terbesar TNB dalam menganayai usahawan 
Melayu seperti beliau.

Beliau menggesa para pemimpin kerajaan menyiasat perkara ini dan TNB memulangkan semula 
hak syarikat beliau yang melebihi RM51 juta.

"Datuk Seri Che Khalib telah diberi maklumat yang salah oleh para pegawai TNB yang 
menyebabkan beliau enggan berjumpa kami. Apa salahnya beliau bersifat terbuka menerima 
kami mengemukakan aduan untuk penyelesaian," katanya lagi.

Beliau hairan bagaimana Che Khalib dinobatkan sebagai CEO terbaik sedangkan perkara 
yang kami hadapi tidak diselesaikan yang boleh melumpuhkan syarikat Melayu seperti kami.