Saturday, December 25, 2010

 Felda 'rayu' jangan saman


Khairil Abdul Rahim   
BANDAR JENGKA, 23 Dis: Sudah terhantuk baru terngadah. Begitulah yang diibaratkan
kepada pekeliling daripada Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab yang disifatkan
memujuk peneroka supaya tidak menggunakan saluran undang-undang bagi menuntut hak
mereka.

Naib Presiden Persatuan
Anak-Anak Peneroka Kebangsaan
(Anak) Aris Fezul Ismail,
menyifatkan risalah bertajuk
‘Penyelesaian masalah, Isu atau Pertelingkahan Melalui Kaedah
Timbang Tara’ yang diedarkan
kepada peneroka-peneroka serta
dibacakan isinya di masjid-masjid
di sini seolah-olah melambangkan
keresahan Felda menghadapi
kebangkitan peneroka.

Antara lain, risalah dua helai itu
menyatakan tindakan saman oleh
peneroka terhadap agensi
pembangunan tanah itu didakwa
telah menyebabkan wujud suasana
yang tidak harmoni antara peneroka
dengan pengurusan Felda.

Kandungan risalah tersebut turut membangkitkan, surat perjanjian asal antara peneroka dengan
Felda telah memperuntukkan bahawa sekiranya terdapat perselisihan antara kedua belah pihak perlu
dirujuk kepada Penimbang tara iaitu Perdana Menteri selaku menteri yang bertanggungjawab kepada
Felda.

Aris yang juga Setiausaha Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat mempertikaikan, kenapa baru
kini iaitu selepas peneroka menang saman di Felda Kemahang 3 dan Felda Sungai Koyan timbul
tawaran menyelesaikan lambakan permasalahan peneroka melalui kaedah Timbang tara.

“Sebelum ini Anak sendiri pernah menghantar memorandum kepada Pengerusi Timbang tara
iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi jangankan kata penyelesaian, respons
pun tidak ada. Bahkan kalau kita dengar baru-baru ini bagaimana PM dengan angkuhnya
menempelak siapa kata Felda bankrap adalah pengkhianat. Bolehkah orang seperti ini mahu
dirujuk sebagai penimbang tara?

“Bukan itu saja, baru-baru ini Anak telah menyerahkan memorandum 20 perkara berkaitan masalah
peneroka kepada Timbalan Menteri yang menjaga Felda Datuk Ahmad Maslan yang konon katanya
nak selesaikan dalam tempoh dua minggu. Tapi sekarang dah hampir dua bulan, respons pun tak
dengar.

“Di Pahang ini sendiri, Exco yang menjaga Felda Datuk Tan Aminuddin. Apabila peneroka
membangkitkan hak mereka yang diceroboh pada satu ketika dulu, beliau bingkas mencabar
mana-mana peneroka yang tak setuju dengan Felda boleh keluar dari tanah rancangan. Pada
saya ini satu kenyataan angkuh seolah-olah peneroka-peneroka ini menumpang dan mengemis
sedangkan mereka tuan tanah,” hujahnya.

Tambah Aris, suasana yang tidak harmoni dicetuskan sendiri oleh pengurusan Felda. Contohnya
dalam kes Felda Kemahang apabila Ketua Hakim Negara berkata Felda terbukti menipu peneroka
dalam kes kadar perahan gred (KPG) sawit, Felda masih tidak mengaku kesalahan malah enggan
membayar ganti rugi kepada peneroka.

“Begitu juga dengan kes peneroka Felda Sungai Koyan yang mana mahkamah telah putuskan
peneroka layak menerima wang tabung tanam semula (TTS) tetapi menterinya kata Felda memang
nak bayar sedangkan dalam mahkamah peguam mereka bermati-matian berusaha supaya Felda
tidak mahu bayar. Pada saya sikap seperti ini semua tidak membawa keharmonian,” katanya.

Mengenai saranan Pengarah Besar Felda agar peneroka mengemukakan sebarang aduan dan
permasalahan kepada pengurusan rancangan melalui blok, Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Rancangan (JKKR), Gabungan Pertubuhan Wanita (GPW) dan pertubuhan
belia, Aris berkata ia hampir mustahil kerana semuanya dilantik oleh Felda dan bukan dipilih
oleh peneroka malah dikuasai parti politik kerajaan.

“Barangkali Datuk Dzulkifli tidak turun ke bawah melihat bahawa kebanyakan pemilihan ketua-
ketua blok yang mewakili 24 orang ahli dipilih berdasarkan mana yang Felda suka, bukannya
pilihan peneroka secara mutlak. Naib Pengerusi JKKR yang sepatutnya dipilih melalui mesyuarat
agung, tapi hanya ditentukan oleh Felda. Jadi dia mewakili Felda, bukan suara peneroka. Sebab
itu dapat dilihat bagaimana sikap mereka terhadap peneroka tanam sendiri iaitu seperti anak tiri
yang melakukan satu kesalahan besar.

“Pertubuhan belia pula hanya ada pada nama saja. Mesyuarat agung pun tak pernah sehingga
tak tahu siapa AJK. Mana perginya peruntukan kewangan? Sama jugalah dengan AJK masjid,
bukan dilantik melalui mesyuarat agung,” jelasnya.