Tuesday, March 22, 2011

Apa Tujuan Kenyataan Najib dan Hishamuddin?



PM: Polis tak terlibat dalam pembikinan video seks
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa polis tidak terlibat dalam pembikinan video yang didakwa mengandungi aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang wanita di sebuah hotel.

"Saya ingin mengesahkan apa yang dikatakan oleh Hishammuddin, iaitu pihak polis tidak terlibat dengan rakaman video berkenaan," katanya dalam laman Twitter malam ini.

Petang tadi, Hishammuddin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terlibat dalam pembikinan video berkenaan, yang didedahkan kepada media hari ini.

Hishammuddin juga berkata setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan berhubung video itu.

Terdahulu, satu kumpulan yang enggan dikenali mendakwa mereka memiliki klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks pemimpin pembangkang berkenaan dengan seorang wanita di sebuah hotel di ibunegara yang menawarkan perkhidmatan seks.

Kumpulan itu diketuai seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Datuk T, berkata mereka akan menyerahkan pita video itu kepada pemimpin pembangkang tersebut dan isterinya dalam masa seminggu ini.

- Bernama