K'jaan jamin loji radioaktif di Gebeng tak bahaya

Kerajaan memberi jaminan bahawa pembinaan loji pemprosesan logam radioaktif tanah jarang (rare earth) di Gebeng, Kuantan, yang bernilai hampir RM700 juta, adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan awam.

"Berdasarkan piawaian antarabangsa yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sisa seperti ini ditakrifkan sebagai bukan sisa radioaktif tetapi merupakan sisa industri yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi.
"Kilang ini selamat bagi orang awam dan kita akan pastikan syarikat ini patuhi prosedur pemprosesan. Ia berbeza daripada loji Asian Rare Earth," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat, semalam.
Loji Asian Rare Earth (ARE) merujuk kepada loji logam 'rare earth' Mitsubishi Chemical di Bukit Merah, Ipoh, yang dikatakan menyebabkan sekurang-kurangnya enam kes leukemia di kalangan masyarakat setempat sebelum ditutup pada 1992 ekoran protes awam.

'Perlepasan cukai'
Ongkili berkata langkah-langkah keselamatan akan dan sentiasa diambil untuk merendahkan lagi kemungkinan bahaya sinaran dan pencemaran dari sisa tersebut mengikut amalan konsep ALARA (As low as reasonably achieveable-Paling rendah mengikut budi bicara yang boleh dicapai).
Beliau berkata selain Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA), Lynas juga dikehendaki mematuhi semua keperluan perundangan yang ditetapkan oleh beberapa lagi badan penguatkuasa lain sebelum sesuatu lesen dikeluarkan.

Menurutnya Lynas juga menggunakan sumber bahan mentah Australia yang mengandungi satu per lima puluh kandungan radioaktif berbanding dengan bahan mentah yang digunakan oleh Syarikat Asian Rare Earth (ARE).

Kepada satu satu soalan lain, Ongkili berkata kebanyakan negara menolak untuk membina loji pemprosesan logam radioaktif pada 30 tahun lalu kerana khuatir berlakunya pencemaran sisa bahan berkenaan memandangkan ketika itu masih tidak ada teknologi mengenai pengurusan sisa radioaktif terutamanya jika berlaku sebarang kebocoran.
- Bernama