Selain dibongkarkan media bahawa wujudnya kesilapan dari segi fakta sejarah, memoir Mahathir Mohamad turut mengandungi kesalahan tatabahasa. Namun demikian, kesalahan ini sekadar disebabkan kurang jitunya ingatan, kononnya, dan kesilapan dalam proses penyuntingan. Nampaknya pembaca akan dikecewakan, seandainya ingin memperolehi hikmah daripada mulut ahli politik veteran yang memerintah Malaysia untuk sekian lama. Kesilapan terbesar dalam memoir Mahathir adalah pemahaman dan pentafsirannya terhadap Malaysia yang masih tersinggah di zaman lalu. Tiada apa-apa yang baru dalam 800 muka surat memoir itu, selain mengulangi pandangannya selama ini, dan membela diri dalam dendam yang timbul - sama ada yang berlaku dahulu atau yang terkini. Apa yang mencungkil kesangsian ramai adalah, kepada siapa memoir ini ditulis? Sememangnya ia agak "politik" apabila memilih syarikat penerbitan bernama MPH. Jelas, hanya kumpulan syarikat penerbit ini mampu membawa memoir ini kepada pembaca aliran bahasa Inggeris yang lebih ramai, melihat kepada syarikat penerbit yang sedia ada di Malaysia. Apa yang paling diambil berat penulis adalah penilaian sejarah dirinya. Apa yang diambil berat memoir Mahathir bukanlah masa depan Malaysia, tetapi bagaimana orang melihat tingkahlakunya yang lalu. Memoir ini bukanlah cetusan hikmah, menjadikan politik negara lebih maju dan bersatu-padu di kalangan kaum selepas ditatapi rakyat. Mahathir tidak kisah apa yang berlaku pada masa akan datang, tetapi beliau mahukan masa depan berkembang sebagaimana masa silam. Mungkin dari kaca mata beliau, zaman pemerintahannya adalah zaman Malaysia yang paling gemilang untuk selama-lamanya dalam sejarah. Kestabilan politik Malaysia hanya boleh dikekalkan apabila generasi selepasnya menyokong dan mendukung pandangan beliau. Yakin BN mentadbir selama-lamanya Memoir bermula dari detik beliau menyandang jawatan Perdana Menteri, dan babak seterusnya mengulas bagaimana dirinya berbangga sebagai seorang Melayu. Beliau berkata, walaupun ayahnya memiliki darah keturunan India, namun asal usul nenek moyangnya sudah gagal dikenalpasti - dari bahagian mana di negara India. Paling penting, darah keturunan Indianya sudah tidak bermakna. Ini kerana beliau telah menjadi Melayu, dan bukan lagi India dari apa-apa aspek pun. Jelas, titik pusingan ini ditentukan politik. Strategi yang paling tepat adalah mengiktiraf Melayu, apabila berkecimpung dalam politik - dalam konteks "Melayu adalah tuan tanahair" ini. Bagaimana kestabilan Malaysia boleh dikekalkan? Jawabnya, mengekalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan meneruskan afirmatif terhadap bumiputera. Bumiputera perlu menyokong UMNO, dan rakyat perlu menyokong BN selama-lamanya. Dari kaca mata Mahathir, sistem demokrasi adalah pilihan raya diadakan setiap beberapa tahun, namun, BN perlu kekal berkuasa selama-lamanya. Mahathir tidak faham bahawa BN perlu mengubah mentaliti mereka seiring dengan langkah perubahan senario, dan menerima pertukaran kerajaan di bawah sistem demokrasi yang normal. Dalam memoirnya, Mahathir juga mengkritik Melayu kerana tidak berusaha bersungguh-sungguh, malah tamak. Mereka dikatakan tidak melaksanakan projek yang diagihkan kerajaan kepadanya, tetapi menyerahkan projek tersebut kepada orang lain. Seterusnya, pihak yang melaksanakan projek ini perlu menggunakan bahan yang paling murah untuk menyiapkan projek. Ia berakhir dengan kebocoran atau keruntuhan bangunan. Mahathir tetap menganggap dasar ini adalah betul - kerana anaknya menjadi kaya lantaran terlindung dan mendapat projek sebegini daripada kerajaan. Menurut Mahathir, Melayu harus dihargai kerana bermurah hati untuk membenarkan bukan Melayu supaya tinggal di Tanah Melayu. Sebelum kedatangan penjajah, Melayu berniaga di bandar. Kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka adalah buktinya. Selepas kedatangan penjajah, Melayu terpaksa berundur ke dalam kawasan kampung, hanya boleh bekerja sebagai petani dan nelayan. Jadi bukan melayu yang mendapat hak sivil tidak boleh membuat tuntutan yang bukan-bukan. Pandangan ini konsisten sejak dahulu. Cerita "romantik" Tahukah anda mengapa matematik orang Cina baik? Menurut pengamatan Mahathir, ketika beliau pergi ke kedai runcit zaman kanak-kanaknya, beliau mendapati anak taukeh kedai runcit sering mengira hutang dengan mencongak sahaja. Lama-kelamaan, matematik anak orang Cina menjadi cemerlang. Mungkin beliau secara sengaja mengabaikan hakikat bahawa ramai anak orang Cina bukan anak taukeh kedai runcit, malah ramai juga anak Cina yang penguasaan matematik mereka tidak baik. Tetapi pemahaman dari kerangka perkaumannya menyimpulkan bahawa semua orang Cina adalah anak kedai runcit, dan matematik mereka baik-baik belaka. Mengapa media Barat tidak layak untuk mengkritik Mahathir? Ini berkaitan dengan sejarah. Ketika zaman penjajahan, penjajah British juga memperlekehkan demokrasi. Misalnya, penjajah British menggunakan taktik yang kotor untuk mengambil alih semua negeri di Semenanjung, dan kemudian tidak mengamalkan sistem demokrasi yang sebenarnya. Malah, populasi di bawah paras kemiskinan mencecah 70% ketika zaman kemerdekaan. Kerajaan Melayulah yang berjaya membangunkan Malaysia kemudiannya. Terdapat satu cerita yang dilihat agak "dibuat-buat" dalam memoir Mahathir. Beliau membaca banyak buku sepanjang hayatnya, tetapi terdapat sebuah buku yang gagal dihabiskannya, iaitu sebuah buku sejarah yang mengisahkan pengembaraan orang Yahudi. Beliau mendakwa buku tersebut sangat membosankan (so dull), menjadi satu-satunya buku yang gagal dihabiskannya. Beliau mahu menjadi Melayu, malah mahu menjadi seorang muslim. Sejarah Yahudi semestinya jemu untuknya. Ini ulasan yang amat "politik". Terdapat satu cerita romantik yang "dibuat-buat". Beliau mengenali teman wanita dari Kuala Lumpur ketika belajar di Singapura. Beliau memandu sebuah kereta yang lapuk dari Singapura ke Kuala Lumpur. Perjalanannya tunggang-tonggek. Kadang-kala bumbung keretanya tertanggal, dan teman wanitanya perlu menyokongnya dengan tangan. Jadi, beliau memutuskan untuk membina lebuhraya Utara-Selatan selepas beliau menjadi Perdana Menteri. Kertebatasan Memoir ini mungkin membantu politikus BN untuk memanjat lebih tinggi dalam pentas politik. Untuk politikus BN, mesej yang cuba disampaikan memoir ini adalah, pertimbangan politik mengatasi segala-galanya. Keputusan Mahathir lebih mengutamakan pertimbangan politik, daripada untuk mengekalkan kesempurnaan sistem. Beliau membebaskan ektremis perkauman, Harun, kerana enggan menyinggung sekta dalam parti yang menyokong Harun, ketika beliau baru menerajui tampuk pimpinan kerajaan. Dan beliau menganggap Hussien Onn terpaksa mengundur kerana tidak menyedari hikmah politik sedemikian. Banyak prejudis, dan keangkuhan yang besar diri muncul dari mukasurat ke mukasurat. Saya tercari-cari, apakah benda yang bernilai dari memoir ini untuk generasi muda Malaysia? Nampaknya hanya ulangan Mahathir yang kita kenali dari media, tiada makna selain itu. Sebaliknya, prejudis perkauman masih disemai. Kata terakhir dari pemimpin yang pernah mentadbir Malaysia untuk sekian lama adalah untuk memecah-belahkan negara ini. Nampaknya memoir ini hanya memiliki ketebalan, tetapi kurang ketinggian. Mahathir yang berusia 86 tahun masih enggan memaafkan peristiwa silam. Ketebalan lebih 800 mukasurat sarat dengan rekod dendam, dan bukan menjadi pedoman agar orang menuju ke arah yang baik. Memoir yang bagaikan batu-bata ini gagal melangkaui senario politik Malaysia yang lama. Berdepan dengan pengalaman zaman itu, generasi muda Malaysia mungkin perlu lebih kreatif dari segi politik, untuk memusnahkan tembok 800 mukasurat yang membatasi politik Malaysia. *Tan Lee Ooi ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Beliau sedang melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah (PhD) di National University of Singapore, pernah menulis buku berjudul Dinamik Ruang Siber Dalam Gerakan Reformasi Di Malaysia. Diterjemah dan disunting dari teks asal. |
Monday, March 28, 2011
Memoir Mahathir: Ketebalan ada, ketinggian kurang
Label:
Pemikiran