Monday, March 28, 2011

Saman...Mohon Maaf...SD...Tayang Video..Satu Permainan Di Malaysia

Alkitab: NGO Islam gesa kumpulan Kristian mohon maaf

 

Kitab Injil dalam Bahasa Malaysia
KUALA LUMPUR, 28 Mac — Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), yang dianggotai 19 badan bukan kerajaan, menuntut kumpulan masyarakat Kristian supaya memohon maaf kepada umat Islam ekoran pelbagai kenyataan dalam isu kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang sebahagiannya didakwa telah menggores umat Islam.
Selain itu, Pembela juga berpendapat bahawa kumpulan 35,100 Alkitab tidak patut dibenarkan untuk edaran kerana bercanggah dengan undang-undang negara ini.
Minggu lalu kerajaan membolehkan pelepasan naskhah Alkitab yang ditahan di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuching tanpa dikenakan dua syarat iaitu tag dan nombor bersiri.
Sebaliknya ia akan dikeluarkan dengan dicap “Untuk Kristian” sahaja.
“Keputusan awal kerajaan sudah merupakan satu kompromi yang sebenarnya sudah melampaui peruntukan-peruntukan ini.
“Oleh itu, sikap keras dan degil pihak Kristian terhadap keputusan awal kerajaan ini adalah sangat mendukacitakan,” kata Pembela dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.
Pembela berkata, lebih-lebih lagi jika diambil kira kitab al-Quran sendiri dikawal cetakan dan sebarannya oleh Kementerian Dalam Negeri, mendakwa prosedur biasa itu sebagai satu kesalahan besar yang mencemar kesucian Kristian dan Alkitab adalah satu tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab.
Dalam kenyataan itu, Pembela juga menyeru agar kumpulan-kumpulan Kristian menghentikan pendekatan konfrontasi, sebaliknya menggunakan saluran perbincangan yang ada seperti Jawatankuasa Kerja Mempromosi Persefahaman Keharmonian Antara Penganut Agama yang ditubuhkan oleh kerajaan.
“Kami menegaskan, jikalau mereka berterusan hendak mengambil pendekatan konfrontasi dan garis keras, kami mungkin mengambil keputusan untuk menarik diri daripada jawatankuasa  tersebut,” kata Pembela dalam kenyataan di bawah tajuk “mempertahankan kedaulatan Islam di Malaysia dalam menangani isu kitab Injil Bahasa Melayu.”
Pembela berkata, kenyataan ini dibuat memandangkan sikap kumpulan-kumpulan Kristian akhir-akhir ini yang terlalu provokatif dan melampau-lampau dalam menangani isu kitab Injil dalam Bahasa Malaysia.
Gabungan Pembela terdiri daripada Angkatan Belia Islam Malaysia, Gerak Massa Malaysia, Ikatan Badan Amal Islami Wilayah Persekutuan, Ikatan Muslimin Malaysia, Institut Pengajian Tradisional Islam, Persatuan Muslimat Interaktif, Institut Islam dan Pengajian Strategik, Kesatuan Pondok Islamiah Malaysia, Persatuan al-Hunafa, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Ulama Malaysia, Persatuan Al-Hidayah, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia, Pusat Penyelidikan dan Maklumat Islam, Teras Pengupayaan Melayu, Yayasan Kubra dan Yayasan Sofa.
Pembela berkata, pihaknya menegaskan kepada semua pemimpin politik tanpa mengira parti agar jangan sekali-kali menggadaikan kedaulatan Islam kerana tekanan sokongan politik.
“Kalaupun tunduk kepada tekanan politik boleh membawa hasil sementara tetapi dalam jangka panjang ia akan meruntuhkan paksi pembinaan negara bangsa dan turut merugikan semua pihak,” katanya.
Pembela juga berkata pihaknya juga sangat tidak selesa dengan pendekatan membiarkan para pemimpin bukan Islam yang ke hadapan menjadi jurucakap bagi pihak kerajaan mahupun pembangkang dalam isu ini.
“Oleh kerana ianya melibatkan isu Islam, sepatutnya pemimpin beragama Islam lebih terkehadapan dalam menangani isu ini.
“Pemimpin bukan Islam nampaknya sering berlebih-lebihan dan kurang berhati-hati dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat,” kata Pembela yang merujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.
Kenyataan berkenaan pelepasan Alkitab dikeluarkan oleh Idris bagi pihak Kabinet.
Pembela berkata, pihaknya juga menegaskan pengundi majoriti di negara ini adalah umat Islam dan berdasarkan senario mutakhir ini, “kami memutuskan untuk menggerakkan kempen kesedaran di kalangan pengundi Islam di negara untuk menolak mana-mana pemimpin yang terlalu berkompromi dengan prinsip kedaulatan Islam di Malaysia.”
“Untuk tujuan itu, kami akan memantau serius setiap kenyataan dan tindakan setiap tokoh politik dalam isu-isu seumpama ini,” katanya lagi.
Pembela juga akan mengemukakan satu memorandum khas berkenaan isu ini kepada pihak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu.
Kata Pembela, pihaknya ingin mempersoalkan sampai ke tahap mana mereka hendak memprovokasi dan memanipulasi isu Alkitab dan adakah mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka ini amat menghiris perasaan umat Islam.
“Pembela menuntut agar kumpulan-kumpulan Kristian terbabit kembali menghormati persefahaman yang ada di kalangan penganut agama yang berdasarkan Perlembagaan negara, peruntukan undang-undang dan pelbagai keputusan-keputusan rasmi.
“Ini termasuklah Artikel 3(1), 11(4) dan enakmennya, Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu kalimah Allah, larangan Mahkamah terhadap penggunaan kalimah Allah selagi rayuan belum diputuskan, dan keputusan Kabinet 1986 tentang import masuk kitab Injil berbahasa Malaysia,” katanya.